Cermin tak boleh dibuang malah diketepikan dengan begitu sahaja. Dia terus memandang cermin sambil menarik nafas yang panjang. Sesekali dia tersenyum sambil memeluk erat tubuh. Tiba-tiba wajah dan susuk tubuhnya hilang dan tidak lagi kelihatan pada cermin. Lalu dia kehairanan dan jadi terpinga-pinga. Sambil tertanya-tanya dalam hati. Kenapa jadi begini? Cermin tak pernah mengubah sesuatu itu dan berbohong. Apa yang ditunjukkan padanya itulah yang akan digambarkannya.

“Asmadi!” tegur cermin tiba-tiba.

Terkejut! Cermin boleh bercakap. Cermin apakah ini? Adakah aku bermimpi? Pertanyaan yang menendang-nendang hati kecilnya. Pandangannya seakan-akan melekat pada cermin itu. Rasa kehairanan juga jelas kelihatan pada wajahnya.

“Macam mana kau tahu nama aku?” dia bertanya.

“Aku rasa aku tak perlu jawab soalan kau itu,” jawab cermin.

“Aku betul-betul pelik dengan kau. Tiba-tiba saja boleh bercakap!” katanya lagi.

Cermin tidak berkata sebaliknya hanya tersenyum sahaja. Dia semakin terperanjat apabila dengan tiba-tiba sahaja cermin menayangkan apa yang telah dilakukan selama ini. Seolah-olah cermin tahu dia banyak melakukan keburukan daripada kebaikan.

“Saya boleh luluskan projek Encik Ibrahim ni. Tapi …,” dia bersuara.

“Tapi apa, Encik Asmadi?” Tingkah Encik Ibrahim dengan pantas.

Melalui jendela kaca jelas kelihatan bangunan-bangunan tinggi menjulang sehingga mencakar langit. Kesejukan alat pendingin hawa terasa mengepung seluruh ruang bilik. Hawanya termampan pada dinding batu yang dicat dengan berwarna putih.

“Tender projek ni bukannya kecil. Juta. Jadi, bukan mudah nak dapat. Bukan Encik Ibrahim saja yang masuk bersaing dalam tender ni. Ramai!” jelasnya sambil duduk tersandar di atas kerusi pusing.

“Saya faham maksud, Encik Asmadi tu. Berapa yang Encik Asmadi perlukan. Asalkan saya dapat tender ni,” balas Encik Ibrahim.

“Cuma RM10,000,” pintanya.

“RM10,000?” ulang Encik Ibrahim sambil terperanjat dan memandang wajahnya.

“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.

“Kalau tak, Encik Ibrahim lupakan sajalah tender tu!” ujarnya lagi.

“Baiklah! Saya akan beri wang yang Encik Asmadi minta tu!” angguknya.

Dia lalu tersenyum. Dalam kepalanya sudah terbayang akan hidup yang akan dinikmatinya. Hasil daripada wang yang diberikan Encik Ibrahim tersebut.

“Rasuah bukan saja salah di sisi undang-undang. Bahkan juga tak berkat. Carilah rezeki yang halal,” nasihat cermin. Sebaik sahaja situasi Encik Ibrahim bertemu dengannya di pejabat hilang dan tidak lagi dipaparkan cermin.

“Macam mana kau tahu semua ni, hah?” tengkingnya.

“Sabar dulu. Bukankah aku ni cermin. Jadi, aku tahu segala tentang diri kau,” jawab cermin dengan tenang.

Rasa kemarahannya semakin meluap-luap. Macam gunung berapi yang meletup. Apabila mendengar apa yang dikatakan cermin itu.

“Sudah! Kau jangan nak naikkan darah aku. Aku pecahkan kau nanti!” Dia meninggikan suara dengan sekuat-kuat hati pada cermin yang besar itu.

“Nanti dulu. Sebelum kau nak pecahkan aku kau tengok ni dulu,” ucap cermin pula.

Situasi Bahari bertemu dengannya di bilik jelas kelihatan pada cermin.

“Ini adalah arahan saya sebagai ketua di jabatan ni. Awak mesti ikut!” tegasnya.

“Itu saya tahu, Encik Asmadi. Tapi sebagai penjawat awam kita tak boleh salah guna kuasa terhadap harta kerajaan,” ingatan Bahari kepadanya.

“Awak jangan nak mengajar saya. Sebagai ketua jabatan awak mesti turut segala arahan saya dan bukannya ingkar.” Dia memandang muka Bahari dengan rasa marah dan bengis.

“Maafkan saya, Encik Asmadi. Saya tak bermaksud hendak ingkar arahan. Tapi …,” dia terhenti.

“Sudah! Kerana awak ingkar arahan saya akan mengambil tindakan tegas terhadap awak. Awak tunggu saja nanti,” potongnya dengan pantas.

Selang beberapa minggu kemudian dia telah mengeluarkan surat. Bahari telah ditukarkan tempat bertugas. Alasan dia menukarkan Bahari adalah untuk menimba pengalaman dan meningkatkan lagi kerjaya. Bukannya kerana kenaikan pangkat. Semua ini adalah kerana dendam dan marah pada Bahari kerana tidak menurut apa yang telah diarahkannya itu.

“Walaupun Bahari orang bawahan kau tapi kau mesti dengar nasihat dia. Harta kerajaan tak boleh disalah guna,” cermin berkata. Setelah itu situasi dia bertemu dengan Bahari di bilik tidak lagi kelihatan pada cermin.

“Kau ni dah melampau!” marah Asmadi kepada cermin semakin hangat menyala. Macam api yang panas membakar.

“Kau yang sebenarnya melampau. Tergamak kau membuat penganiayaan terhadap Bahari. Seorang kakitangan yang telus dan jujur,” cermin membalas.

“Ah! Aku ketua. Aku punya kuasa. Kakitangan aku tidak ada hak untuk mempertikaikan apa yang aku buat. Sebagai kakitangan suka atau tidak mereka harus melaksanakan apa yang aku arahkan. Dah bukannya membantah. Sebab itu Bahari menerima akibat daripada keingkaran yang dilakukannya itu,” bantahnya dengan penuh panjang lebar.

“Ternyata kau ni memang seorang yang gila kuasa,” tegur cermin pula.

“Apa kau peduli! Kan aku dah kata tadi. Aku ketua. Aku berkuasa. Semua yang aku lakukan adalah betul.” Dengan rasa penuh sombong dan bongkak dia berkata kepada cermin.

Disebabkan kau berasa amat berkuasa kau sanggup membuat perlanggaran peraturan. Kau lihat ni,” ulas cermin pula.

Cermin kemudian lalu memaparkan situasi Noni bertemu dengannya di bilik.

“Ini tuntutan palsu, Encik Asmadi. Salah di sisi peraturan kewangan,” kata Noni.

“Awak buat aje la. Tak usah banyak cakap. Kalau kita pandai tutup hal ni tak ada siapa yang tahu,” balasnya.

“Tutup macam mana sekalipun pasti akan terbuka juga satu hari nanti, Encik Asmadi. Bukan saja Encik Asmadi akan dikenakan tindakan bahkan juga menjejaskan nama baik jabatan,” nasihat Noni.

“Awak nak buat ke tak ni. Baik! Tak lama lagi awak akan ditemuduga untuk kenaikan pangkat. Jangan awak marah dan salahkan saya bila awak tak terpilih untuk kenaikan pangkat nanti!” ugutnya.

Kerana ingkar arahan Noni tidak dinaikkan pangkat. Padahal dia sudah lama berkhidmat dan layak untuk mendapat pengiktirafan itu.

“Kau seorang ketua yang berkuku besi. Siapa yang tak mengikut arahan kau akan menerima padah. Sedangkan arahan kau tu menyalahi peraturan yang telah ditetapkan dalam perkhidmatan awam,” cermin bersuara. Setelah situasi Noni bertemu dengannya di bilik padam daripada cermin.

“Aku akan pecahkan kau!” dia bertempik dengan sekuat-kuat hati. Rasa kemarahannya pada cermin semakin memuncak. Dia memandang sekeliling. Mencari benda yang boleh digunakan untuk memecahkan cermin. Yang menyakiti hati dan mencabarnya. Tiba-tiba dia terpandang sebatang kayu besar yang tersandar di dinding. Dia pantas mencapainya dan menghayun ke arah cermin.

“Tunggu!” tahan cermin.

Dia lalu terhenti daripada menghayunkan kayu ke arah cermin yang besar itu.

“Apa lagi yang kau nak?” Nada suaranya yang keras dan meninggi itu seakan-akan menggegarkan serta mahu meruntuhkan seluruh ruang bilik.

“Lihat. Apa yang kau akan terima. Akibat daripada kesalahan dan perbuatan yang telah kau lakukan itu,” kata cermin.

Lalu kelihatan dalam cermin situasi dia ditangkap oleh pihak berkuasa. Atas kesalahan dan penyelewengan yang telah dilakukannya itu. Dia telah dibicarakan di mahkamah dan didapati bersalah. Hukuman yang dijatuhkan kepadanya adalah penjara.

Berita mengenai dia dimasukkan ke dalam penjara kerana melakukan salah guna kuasa dan penyelewengan telah tersebar luas dalam dada akhbar dan televisyen. Isteri dan anak-anaknya bukan sahaja malu di atas perbuatannya itu malahan juga menangis dan meratap apabila dimasukkan ke dalam penjara.

Kehidupan mereka turut bertukar menjadi perit dan susah. Tidak semewah sebelum ini. Barulah kini dia menyedari bahawa langit itu tinggi atau rendah. Selama ini dia menganggap sebagai ketua jabatan kuasa adalah di tangannya. Apa saja boleh dilakukannya dan tiada siapa yang boleh menghalang. Tapi dia lupa bahawa sejauh mana dia berkuasa sekalipun dia tidak dapat menandingi kuasa Tuhan Yang Esa. Yang menjadikan makhluk dan seluruh alam semesta ini.

Ketika itu juga Encik Ibrahim, Bahari dan Noni muncul di hadapannya.

“Inilah akibatnya apabila menjadikan rasuah sebagai darah daging!” kata Encik Ibrahim.

“Terimalah akibat melakukan penganiayaan terhadap orang lain!” ucap Bahari.

“Ini baru balasan dunia belum lagi di akhirat!” kata Noni pula sebaliknya.

Kata-kata yang dilemparkan oleh ketiga-tiga mereka itu seperti memulangkan buah paku keras. Seluruh tubuhnya terasa lemah dan tak bermaya. Kayu di tangannya lalu jatuh. Perlahan-lahan dia tunduk ke bawah. Air matanya mengalir membasahi pipi. Dia benar-benar menyesal dengan apa yang telah dilakukannya selama ini.

Perlahan-lahan dia mengangkat semula muka dan memandang cermin. Segala yang dilihat dalam cermin tadi telah hilang dan tidak kelihatan lagi. Hanya yang kelihatan adalah wajah dan susuk tubuhnya sepertimana yang dilihatnya pada awal tadi. Cermin tidak lagi berkata dan kembali kepada asal.

Dia kemudian lalu mengangkat kepala semula dan memandang cermin. Dengan linangan air mata dia bersyukur ke hadrat Tuhan Yang Esa. Kerana telah diberikan taufik dan hidayah untuk meninggalkan segala perbuatan yang bukan sahaja salah di sisi undang-undang malahan juga agama. Dia juga nekad dan berjanji. Mulai dari saat ini dia akan menjadi seorang ketua jabatan yang bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang telah diberikan.

Terima kasih, cermin! Kerana kau telah menyedarkan aku. Yang selama ini hanyut dengan pangkat dan kuasa! Demikian detik hati kecilnya.