Sepurnama lagi aku bakal menamatkan zaman daraku dengan seorang jejaka idaman.

Seperti insan lain sudah pastilah ada gejolak rasa bahagia yang semakin melebar di hatiku.

Mengharapkan agar segalanya berjalan dengan indah dan meninggalkan nostalgia untuk dikenang. Segala persiapan telah diatur dan disiapkan sejak dari awal lagi. Justeru, aku merasa sedikit lega dan tenang.

Bunyi suara batuk dari arah luar bilik benar-benar mengganggu keterujaanku pada waktu itu. Keningku berlaga-laga sesama sendiri cuba meneka siapa yang sedang berada di ruang tamu. Dentingan jam yang berbunyi sebanyak dua belas kali menyedarkan aku betapa malam sudah semakin larut. Aku memulas tombol pintu dan tatkala pintu ternganga dibuka pandanganku tertancap pada sekujur tubuh tua yang sedang duduk berlunjur di atas sofa sambil tekun melakukan sesuatu. Aku tersentak.

“Mak?” Aku terkejut.

Mak tersengih tatkala melihat wajahku yang penuh curiga. Bunyi suara mak yang batuk-batuk itu membuatkan aku jadi tidak menentu. Lama aku memerhatikan wajah tua itu.

Kelihatan wajah mak sedikit pucat. Barangkali mak kurang sihat. Namun melihatkan kelincahan jari-jemari mak yang sedang melakukan sesuatu, aku jadi bingung.

“Apa yang mak buat ni?” Soalku sambil melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengan mak.

Mak tidak menjawab. Malah mak masih lagi asyik melayan tugasan di hadapannya.

Kemudian mataku mula tertancap pada butiran manik yang berwarna-warni. Di dalam sebuah kotak kecil pula ada banyak labuci berwarna. Aneka manik dan labuci itu menyilau pandangan mataku. Apa sebenarnya yang dibuat oleh mak? Desis hatiku ingin tahu.

“Manik dan labuci ini untuk apa?” Aku masih lagi bertanya kepada mak.

Mak tersenyum. Kemudian mak memegang sebutir manik berwarna merah dan menunjukkan kepadaku.

2

“Ini dipanggil manik beras atau manik padi. Yang ini sesuai bagi semua jahitan mengikut kesesuaian corak. Biasanya corak bunga teratai atau bunga kekwa boleh kita gunakan manik seperti ini.” Ujar mak menyebabkan aku tergumam.

Mataku terkebil-kebil tatkala mendengar penerangan daripada mak yang tidak ubah seperti seorang penjual manik dan perhiasan. Malah cara mak yang bersahaja itu seumpama memancing pelanggan untuk membelinya pula.

“Sudah lewat malam tapi mak masih menjahit? Untuk apa?” Tanyaku lagi.

Mak masih lagi tersenyum. Mak memegang dengan kedua-dua belah tangannya lalu menggayakan sehelai baju kebaya baldu berwarna biru. Pada kaki baju kebaya itu sudah ada sulaman daripada benang emas. Mak memilih motif flora iaitu bunga bercula kelopak pecah lapan bersama-sama daun atau buah padi yang menjadikan coraknya sangat cantik tatkala melihatnya.

Sememangnya mak mewarisi kemahiran menekat daripada arwah nenekku. Arwah nenek mempunyai kepakaran dalam bidang tekat. Seni tekat dikenali juga dengan nama bersuji. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar (jenis baldu).

Nenek mengambil upah untuk menekat sekiranya ada permintaan. Setiap kali ada majlis perkahwinan di kampung, gubahan tekat nenek akan menjadi pilihan. Nenek bukan sahaja boleh menekat pada helaian baju pengantin malah hasil tekat nenek turut menghiasi tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar dan peralatan upacara perkahwinan.

“Cantikkan! Ini hadiah daripada mak untuk kamu. Baju kebaya ini mak jahitkan untuk kamu memakainya semasa hari persandingan nanti. Sudah hampir siap hanya bahagian kolar baju sahaja yang mak mahu tambahkan manik dan labuci.” Terang mak menyebabkan aku tersentak.

Aku amat terkejut. Mahu tersenyum namun tidak ada riak senyuman pada bibirku. Aku terdiam dan kaku. Jika orang lain sudah pasti mereka akan gembira kerana mendapat hadiah istimewa daripada ibu mereka. Namun tidak bagi diriku!

Lantas terlintas di fikiranku kira-kira dua bulan yang lalu. Waktu itu aku dan tunanganku telah mengunjungi sebuah butik ternama di ibu kota. Di situ aku memilih sepasang baju pengantin potongan moden berwarna putih. Berpadanan dengan tema yang kupilih iaitu tema kayangan seperti mana yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Aku membayangkan wajahku yang cantik disolek. Sebuah tiara bertatah batu permata berwarna merah dan biru akan tersangkut di atas kepalaku nanti. Dihiasi pula dengan sehelai kain net veil yang panjang hingga menjejak ke tanah. Sejambak mawar merah akan mengiringi langkahku nanti. Saat itu aku merasakan seperti watak seorang puteri raja dan diiringi pula beberapa orang pengapit yang memakai baju sedondon dengan warna bajuku.

Aku juga tidak lupa untuk menempah sepasang baju kebaya songket berwarna biru untuk dipakai ketika bertandang ke rumah pihak pengantin lelaki. Kerana itu permintaan mak justeru aku tidak mahu menghampakan permintaannya.

“Baju yang cantik sudah pasti akan lebih cantik apabila kamu memakainya nanti.”

Ulang mak membuatkan aku tersentak daripada lamunan yang panjang.

Jari-jemari mak masih ligat menyusun butiran manik di bahagian kolar baju itu. Mak menyanyi-nyanyi kecil sambil tersenyum. Barangkali ada perasaan bahagia yang sedang berbunga-bunga dalam hati mak. Berlainan benar dengan diriku yang pada waktu itu yang tidak tenteram dan gelisah. Melihatkan baju pengantin baldu itu membuatkan hatiku menjerit kebencian.

“Sebenarnya kerja-kerja menekat ini mengambil masa yang agak lama. Barang-barang menekat ini mak ambil daripada kotak simpanan nenek kamu. Pemidang kayu, cuban (laola), irasan atau kain dasar, mempulur semuanya daripada peninggalan tekat arwah nenek kamu.

Mak hanya membeli benang emas daripada seorang kawan mak yang tinggal di Perak.” Ujar mak tanpa memandang wajahku. Aku tidak menjawab. Diam seperti patung cendana. Lidahku tiba-tiba sahaja jadi keras dan kaku. Anak zaman sekarang seperti diriku mana mahu mengambil berat tentang perkakasan lama malah aku langsung tidak mengenali perkakasan yang disebut oleh mak itu.

Aku lebih selesa berseluar jean, memakai blaus dan memakai pakaian kasual jika ke pejabat.Jarang-jarang aku memakai baju kurung atau berbaju kebaya ketika waktu bekerja. Hanya ketika berhari raya atau ada kenduri-kendara di kampung barulah aku memakai baju kurung atau kebaya. Itupun hanya memakainya tidak sampai setengah hari. Habis sahaja kenduri maka aku mula menukarnya dengan baju kebiasaanku.

Mak masih lagi tekun menjahit manik tanpa mempedulikan perasaanku. Melihat senyuman di bibir pudar mak membuatkan hatiku tertekan. Dalam keresahan itu mataku tertancap pula pada sehelai gambar lama yang berada di dalam kotak jahitan mak. Pantas sahaja tanganku menyambar gambar itu lantas aku merenungnya berkali-kali.

“Gambar lama. Gambar masa mak dan ayah duduk bersanding di atas pelamin. Waktu itu mak memakai baju kebaya baldu tekat benang emas. Mak pernah berjanji sekiranya kamu akan berkahwin nanti, mak akan menjahit baju pengantin baldu untuk kamu. Seperti mana arwah nenek kamu lakukan untuk mak. Mak juga begitu.”

4

Aku mengenyeh-ngenyeh mata seperti mahu menangis mendengar kata-kata mak itu.

Perasaan sebak tiba-tiba sahaja bertandang di lubuk hatiku.

“Itulah, mak suruh kamu belajar dengan mak menekat kamu tidak mahu. Nanti bila anak kamu berkahwin tentu tidak ada baju pengantin daripada ibunya.” Mak menyindir aku pula.

Aku tergumam. Barangkali mak tidak menyindir aku. Mak hanya mengingatkan aku betapa putaran kehidupan ini akan turut dialami oleh diriku. Terasa hatiku pedih dengan kata- kata mak itu.

“Zaman sekarang orang sudah tidak pakai baju pengantin baldu lagi mak. Malah seni tekat itu sudah lama dilupakan. Zaman sekarang jika kita ke butik pengantin ada bermacam-macam jenis kain dan baju yang cantik-cantik. Tak perlu bersusah payah untuk menekat dan bersengkang mata.” Aku memberanikan diri untuk bersuara.

Ternyata daripada kata-kataku itu membuatkan jari-jemari mak terhenti. Barangkali mak terasa hati tatkala mendengar kata-kataku itu.

“Inilah perangai budak-budak sekarang. Langsung tak peduli dan tak hormat dengan khazanah nenek moyang kita dahulu. Sudahlah tidak mahu belajar, malah tidak pula mahu memakainya. Ahkirnya semua kepakaran dan kecintaan kita kepada kraf tangan tradisional dilupakan begitu sahaja.” Nada suara mak sedikit tegang tatkala itu.

Aku terdiam. Ada kebenaran di sebalik kata-kata mak itu. Pada zaman serba maju ini sudah banyak adat resam yang telah hampir lupus daripada ingatan generasi kini. Kenduri-kendara lebih banyak menggunakan khidmat katering dan perancang perkahwinan. Tidak ada lagi adat merewang dan bergotong-royong seperti yang dilakukan pada zaman dahulu. Teringat aku kepada perkahwinan ibu saudaraku pada masa lalu. Ibu saudaraku juga memakai baju pengantin baldu yang ditekat daripada benang emas. Malah cadar katil juga daripada kain baldu.

Majlis perkahwinan yang diadakan selama tiga hari tiga malam itu sungguh meriah.

Keakraban di antara penduduk kampung juga terserlah.

Arwah atuk menumbangkan dua ekor lembu untuk majlis perkahwinan ibu saudaraku.

Segala persiapan dan memasak juga dilakukan secara bergotong-royong. Malah ada di antara jiran-jiran yang menghulurkan bahan masakan seperti gula, beras, minyak dan sebagainya. Itu sebagai tanda hadiah dan budi kepada tuan rumah. Malah apabila ada di antara anak-anak jiran yang akan berkahwin, arwah atuk pula akan membalasnya dengan memberikan barang masakan sama seperti yang mereka berikan. Namun amalan seperti ini sudah semakin terpinggir malah semakin langsung dilupakan oleh generasi sekarang.

5

Arwah atuk juga menjemput Ghazal Pati iaitu persembahan nyanyian secara berkumpulan. Waktu itu Ghazal Pati sangat popular dan sering diundang dalam majlis perkahwinan. Majlis akan lebih meriah dengan joget lambak dan paluan gendang. Pada waktu inilah pemuda dan pemudi cuba mencari jodoh. Tidak seperti sekarang kemeriahannya sudah tidak terasa. Majlis perkahwinan sudah semakin hambar. Baju pengantin yang disarung hanya lekat di tubuh dalam tempoh satu hari sahaja.

“Mak...” panggilku sedikit menggeletar.

Mak tidak menjawab. Mata mak hanya memandang manik-manik yang dijahit pada kolar baju itu.

“Sal sudah tempah baju pengantin dari butik di Kuala Lumpur. Sal dan abang Az sudah sepakat tentang baju persandingan kami. Jadi...”

Mendengarkan kata-kataku itu membuatkan mak mendongak memandang mataku.

Ada air jernih yang semakin bertakung di kelopak mata mak. Ada sedu yang semakin kuat daripada bibir mak tatkala itu. Aku tidak berani melihat ke dalam mata mak. Aku tahu tentu mak berasa kecewa dengan sikapku.

“Sampai hati...” ujar mak sendu.

Mak bingkas bangun lalu masuk ke dalam bilik meninggalkan baju pengantin baldu, manik-manik serta labuci dan perkakasan tekat di situ. Kilauan manik dan labuci di sisiku itu menyilaukan pandangan mataku seolah-olah mengkhabarkan betapa mereka juga turut berdukacita dengan kata-kataku itu.

Natijah daripada kebiadaban tindakan dan kata-kataku itu membuatkan mak mengurung diri di dalam bilik. Puas aku memanggil mak namun mak tidak memberikan respons. Mak hanya diam membisu di dalam bilik. Memikirkan tentang mak membuatkan hatiku dilanda keresahan. Tatkala hati dirundung keresahan, ayah pulang ke rumah usai menghantar kad-kad perkahwinanku di kampung. Aku kemudiannya menceritakan segala- galanya kepada ayah. Wajah ayah berubah tatkala itu.

Ayah meluru ke bilikku dengan pantas. Aku mengekori ayah dengan perasaan curiga.

Ayah menyelongkar dan mencari sesuatu. Beberapa minit kemudian, ayah menjumpai sesuatu di dalam almari pakaianku. Kotak lama yang ditutupi dengan sehelai kain batik itu ayah bawa ke ruang tamu. Ayah membuka kotak itu dengan berhati-hati dan tatkala melihat isi kandungan kotak itu membuatkan aku hampir pitam.

Sehelai baju pengantin baldu yang seiras dengan baju pengantin yang dijahit oleh mak ada di dalam kotak itu. Aku tergumam.

6

“Ini baju pengantin mak kamu. Baju pengantin yang mak kamu jahitkan untuk kamu juga serupa dengan baju ini. Sudah hampir 27 tahun baju ini disimpan. Baju pengantin yang membawa banyak kenangan untuk dikenang.” Ujar ayah sayu.

Aku menghela nafas yang panjang. Ada air mata yang semakin bertakung di kelopak mataku. Saat itu timbul rasa penyesalan di hatiku.

“Baju tetap baju anakku. Tidak ada apa-apa yang istimewa. Barangkali mak mahu kamu kekal bahagia seperti mana yang mak dan ayah kecapi sekarang.” Ayah mengakhiri kata-katanya di situ.

Dan untuk kesekian kalinya aku memeluk baju pengantin baldu dengan penuh erat.