Aku tahu amarahmu cuma sebentar. Emosi itu tidak akan berlegar lama dalam tubuhmu, dalam hatimu, pada nalurimu sebagai seorang lelaki. Tetapi engkau juga harus tahu, betapa terlukanya jiwa aku saat amarah itu dilepaskan dengan terlalu kasar. Bagai gunung berapi yang meletuskan percikan api – memuncak-muncak nyalaan panasnya ke langit sana. Oh, Tuhan. Andai sahaja kau tahu seteruk mana parut-parut luka yang bergaris duka di hatiku ini, pasti kau akan hadir membawa sehelai kain kapas, lalu kau ubati parut yang terlalu lama berladung dengan darah kelukaan.

“Apa lagi yang kau mahu? Apa lagi yang kau tidak puas hati dengan aku? Cakaplah! Beritahu aku sekarang!”

Suasana yang tadinya sunyi kini pecah dengan pekikan dan persoalan-persoalan yang dibenci Mariam. Dia tidak suka melihat suaminya menengking kepadanya seperti itu. Justeru, dia memilih untuk berdiam dan memeluk tubuh kecilnya.

“Ah, itu sahaja yang kau tahu! Tunduk, diam, bisu dan jadi seperti batu. Kau memang tidak pernah bangun untuk melawan dan menunjukkan kebenaran. Kau memang tidak pernah sedar dengan kesilapan diri sendiri!” Mariam diherdik lagi. Dia masih menunduk. Tanpa dia sedar, sebuah pasu bunga seramik pecah di hadapannya, benar-benar di hujung jari-jari kakinya yang tersusun rapat.

Amukan sedang menjadi raja lagi. Pemujanya adalah manusia. Yang meluhurkannya adalah manusia.

Mariam lalu bangkit dari tempat duduknya dan mula bersuara. “Tidak perlulah abang pecahkan barang-barang di dalam rumah ini.” Maria merenung mata suaminya. Mata itu berubah merah, tajam dan menyengat. Kelihatan tangan suaminya yang menggigil akibat terlalu marah. Helaan nafasnya turun naik dengan cepat dan berbunyi kuat sekali. Mariam menjadi lemah. Dia memilih untuk duduk semula dan menundukkan kembali wajahnya.

Pujukan wanita sudah tidak berhasil memadam api yang sedang memarak. Kata-kata manis wanita sudah tidak mampu meleraikan persengketaan yang memuncak. Siulan wanita bukan lagi gubahan bunyi-bunyian merdu yang bisa mendodoikan jiwa lelaki yang sedang merusuh. Segala usaha tampak nihil taktala kasih yang menggunung diinjak-injak, lalu dijadikan alasan terakhir agar perdamaian kembali mengambil tempat.

Hampir satu jam pertelingkahan bermain di atas pentas rumah tangga Mariam dan suaminya. Sudah tentu, dalam pergelutan itu, suaminya akan menang dan Mariam seperti biasa, tidak ubah seperti hamba yang menagih pembebasan daripada tuannya. Air mata perempuan yang gugurnya seperti daun maple di musim luruh, dipandang hambar oleh suaminya. Air mata bukan lagi mata kail yang boleh memancing kembali hati seorang lelaki. Air mata hanyalah titis-titis kosong yang tidak bermakna dan tidak punya rasa.

Menghampiri senja, saat ketegangan beransur reda, dan suaminya memilih keluar dari rumah dengan menghempas pintu sekuat hati, Mariam mengutip serpihan pasu bunga seramik yang bersepai di jubin lantai. Anak-anaknya sedang meronta-ronta untuk dilepaskan dari bilik tidur mereka. Memang Mariam sengaja mengunci anak-anaknya di dalam supaya di antara mereka tidak ada yang tercedera atau terluka terkena serangan daripada ayah mereka.

“Peperangan telah selesai, anak-anakku. Ayah kalian menang lagi kali ini. Tetapi dia menang tanpa maruah. Dia menang sebagai seorang penindas.” Maria hanya mampu bermonolog dalam hatinya saat anak-anaknya berlarian memeluk dan merangkul tubuhnya.

***

Terkadang cinta berupa siulan pada awalnya, lalu bertukar menjadi tangisan pada akhirnya. Seindah begonia kuning yang mekar pada waktu indah, kemudian mengering tika musim suram. Kata orang, cinta adalah tsunami yang lebih dahsyat daripada badai – menghayutkan serta menenggelamkan keseluruhan manusia yang sedang menggila akibat dirasuk cinta. Kata orang lagi, cinta adalah muslihat paling keji – menipu sesiapa sahaja yang mudah terpedaya. Bagi aku pula, cinta adalah bulan yang tergantung sempurna di kaki langit. Bulan itu bersinar terang sambil bersiulan. Namun, adakalanya pula manusia hanya melihat kaki langit yang gelap gelita, tanpa diketahui di mana tergantungnya bulan itu.

“Ibu, kenapa ayah selalu menjerit dengan kuat?” Muhammad menyoal Mariam.

“Barangkali, ayah kamu sedang penat.” Mariam menggosok-gosok kepala Muhammad yang sudah terlentok di bahunya akibat mengantuk.

“Tetapi, perbuatan ayah itu tidak baik. Ibu juga pesan, kita semua perlu jadi orang yang penyabar, bukan pemarah.” Muhammad mengintai wajah ibunya dalam kesamaran cahaya lampu tidur. Wajah itu sugul dan tidak ceria. Dia tahu, itu adalah ekspresi kesedihan.

“Kamu harus bersangka baik dengan ayah kamu, anakku. Anggap sahajalah ayah kamu itu terlalu penat dengan lambakan kerja di pejabat.” Mariam cuba mengubah sudut pandang anaknya.

“Tetapi, tempoh hari, Kak Long pun ada beri tahu Muhammad, yang ayah ini jahat.” Muhammad masih tidak puas hati. Nalurinya sebagai seorang anak kecil kuat mengatakan bahawa ayahnya seorang pesalah.

“Astaghfirullahhala’zim. Hei, Muhammad!” Mariam separuh bertempik sambil memegang kedua-dua belah pundak anaknya. Mata Muhammad direnung tepat. Muhammad separuh ketakutan. Dia membayangkan ibunya akan berubah menjadi singa yang kelaparan dan membaham seluruh badannya.

Dengan tegas Mariam berkata, “Jangan sesekali kata ayah kamu jahat. Jangan sesekali panggil ayah kamu sebegitu. Ayah kamu itu manusia yang baik. Dia bekerja siang dan malam mencari rezeki untuk membesarkan kamu dan kakak kamu. Dia seorang manusia yang penyayang dan pemurah. Ibu sudah terangkan kepada kamu tadi, mungkin dia sedang kepenatan.” Pundak Muhammad masih digenggam erat oleh Mariam, sementara Muhammad terdiam seribu bahasa.

Malam merangkak bertemu jendela pagi. Embun pun mula bertunas di pucuk-pucuk rerumputan hijau. Pekikan katak selepas hujan memecah kesunyian, menambah bunyi simfoni alam. Masih ramai manusia yang menyepi di kamar beradu. Sementara Mariam, perlahan-lahan dihampiri suaminya, yang perlahan-lahan berbisik ke telinganya,

“Wahai cinta hatiku, maafkan abang kerana melukai hatimu. Maafkan abang kerana selalu berkata-kata kasar denganmu. Abang benar-benar tidak sengaja. Abang berada di luar kawalan. Abang terlalu sayang dan cintakan kamu, sepenuh hati abang.”

Sedari semalam Mariam ternanti-nantikan bisikan itu hinggap ke telinganya. Bisikan yang kerapkali hadir bila persengketaan lerai, dan puri-puri cinta bertona semula. Bisikan yang akan memusnahkan titik-titik dendam yang bertanda dalam hatinya. Bisikan yang mampu melumpuhkan ingatannya terhadap apa sahaja kesakitan, amukan dan amarah yang meledak dalam sukmanya tanpa peduli siapa sebenarnya dia sebagai seorang isteri. Bisikan bak mantera sihir – yang memukau semula cintanya, dan meletakkan cinta itu pada takhtanya semula.

Mariam memalingkan sekujur badannya dan memandang ke wajah lelaki yang paling dicintainya itu. Bibirnya menguntum senyum paling bahagia. Rambutnya diusap manja. Mariam merasakan dialah wanita yang paling dilindungi. Senyumannya seperti bulan yang bersiulan di kaki langit. Tanpa dia peduli, wujudkah lagi dendam dan persengketaan pada hari esok.