Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bina kemudahan, jangan jejas habitat

Gangguan habitat haiwan liar boleh menjelaskan populasinya. - 5
Gangguan habitat haiwan liar boleh menjelaskan populasinya. - Gambar hiasan

Pembangunan jalan raya atau jalan kereta api merentas hutan perlu diberi perhatian untuk keleastarian alam semula jadi.

Antara perkara yang penting dalam transformasi negara adalah sektor pengangkutan sama ada pengangkutan dalam bandar atau antara bandar.

Malaysia sudah pun mempunyai rangkaian jalan raya yang baik menghubungkan bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia dari utara ke selatan, timur dan barat dan sedang menaik taraf jalan-jalan raya Pantai Timur dan Pantai Barat.

Kebanyakan jalan raya baharu yang dibina melalui laluan yang sensitif dari segi pemuliharaan alam semula jadi. Jalan raya yang baharu dibina merentasi hutan simpan dan banjaran gunung yang merupakan habitat kepada hidupan liar dan mengganggu kawasan atau laluan mereka serta membentuk kepulauan hutan.

Selain itu gangguan kepada hutan simpan dan banjaran gunung akan memberi kesan kepada flora dan fauna umumnya, lereng bukit, sungai-sungai, paya hakisan tanah dan seterusnya memberikan kesan pencemaran hingga ke muara-muara sungai. Dari segi nilai alam sekitar dan alam semula jadi rangkaian lebuh raya merentasi hutan semula jadi adalah sangat sensitif.

Tambahan lagi, Malaysia sebagai sebuah negara memiliki kepelbagaian biodiversiti mega dunia, maka pemuliharaan hutan simpan adalah sangat penting dan menjadi perhatian utama kerajaan.

Kita selalu mendengar laporan pada media tempatan tentang kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir.

Ia diklasifikasikan sebagai haiwan yang terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Begitu juga kita selalu melihat haiwan liar seperti kera, musang, burung, tenggiling, kura-kura dan sebagainya mati dilanggar kenderaan di lebuh raya. Kejadian haiwan liar mati dilanggar kenderaan bukan sahaja berbahaya kepada manusia dan kerosakan harta benda tetapi yang lebih penting adalah kesan kepada populasi haiwan liar dan peranan mereka dalam ekosistem. Haiwan seperti gajah dan harimau memerlukan kawasan keliaran yang luas untuk mencari makanan dan tujuan pembiakan.

Tempoh matang yang panjang dan bilangan anak yang dilahirkan sedikit, peluang untuk mengawan jarang, kawasan keliaran yang berkurangan, laluan pergerakan mereka terganggu maka kejadian kemalangan yang melibatkan haiwan liar ini sangat sensitif dari segi pemuliharaan hidupan liar.

Misalnya harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) yang merupakan haiwan yang sensitif dan menarik perhatian dunia kerana terdapat di kawasan Selatan Thailand dan Semenanjung Malaysia. Berdasarkan laporan Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF), di Semenanjung Malaysia hanya hanya antara 250 hingga 340 ekor harimau yang sihat terdapat di hutan berbanding 3,000 ekor pada tahun 1950-an.

Kehilangan habitat kerana pembangunan kawasan pertanian, pemburuan haram yang aktif, telah mengurangkan populasi harimau dengan cepat. Setakat ini lebih kurang 90 peratus habitat harimau berada di empat negeri iaitu Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Dalam perancangan kebangsaan, keutamaan habitat harimau diberikan kepada Kompleks Hutan Belum-Temengor di Perak, Taman Negara di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kompleks Hutan Endau-Rompin di Johor.

Kawasan hutan yang diperuntuk ini boleh menjadi habitat yang sempurna kepada harimau dan hidupan liar lain.

Kewujudan bilangan harimau yang optimum dalam sesuatu kawasan hutan menjadi satu petunjuk kepada kestabilan sesebuah hutan simpan.

Kes pelanggaran gajah di Lebuh Raya Timur-Barat, harimau dan tapir di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) mendapat perhatian ramai daripada orang ramai hinggalah perbincangan hangat di Parlimen. Agensi berkaitan mestilah mengambil perhatian serius dan bertindak segera sehingga keadaan terkawal dan kes tidak berulang lagi. Kawasan berkaitan mestilah dibuat kajian terperinci, pemantauan, penandaan dan menyediakan papan tanda yang berkesan bagi pemandu lebih berhati-hati di kawasan aktif hidupan liar.

Cadangan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur mendapat perhatian baharu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta alam semula jadi.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) misalnya telah menyatakan pandangan dan perhatian mereka tentang kesan semasa dan selepas pembangunan ECRL ini terhadap alam sekitar dan alam semula jadi.

Mengikut pemerhatian MNS, ECRL yang dirancang sepanjang 600 kilometer (km) akan melalui kawasan hutan simpan dan kawasan pertanian yang dianggarkan sebanyak hampir 80 peratus.

Kehilangan kawasan pertanian dan hutan simpan yang penting kepada manusia dan hidupan liar ini perlu diberikan perhatian. Sebanyak 12 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Negeri Pahang dan Terengganu dijangka terlibat dalam pembangunan ECRL.

Walaupun pembangunan ECRL ini akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi Pantai Timur, sebagai sebuah negara maju hal-hal berkaitan pemuliharaan hidupan liar dan alam semula jadi juga patut diberikan perhatian kerajaan dan rakyat.

Seperti yang telah dibincangkan dalam banyak platform tentang hidupan liar dan alam semula jadi bukan sahaja penting dalam kestabilan ekosistem, kawalan perubahan cuaca dan pemanasan global, pemuliharaan flora dan fauna yang berkepentingan dalam perubatan, pertanian dan aktiviti ekopelancongan malah merupakan sokongan kuat kepada pembangunan ekonomi setempat dan negara. Kajian terperinci mesti dilakukan bagi memastikan pembangunan ECRL ini memenuhi keperluan pemuliharan hidupan liar.

Malaysia bernasib baik merupakan sebuah negara yang prihatin tentang pemuliharaan kepelbagaian biologi, mempunyai peraturan dan undang-undang yang mantap dan kepakaran dalam pengurusan hidupan liar.

Pengalaman negara maju dalam menguruskan hidupan liar berkaitan laluan jalan raya atau kereta api melintasi habitat mereka perlu dirujuk. Laluan asal hidupan liar perlu dilindungi dan dielakkan daripada diganggu semasa, selepas pembinaan dan sepanjang operasi ECRL.

Pemantauan pihak berkuasa mestilah berlaku berterusan demi perlindungan dan pemuliharan hidupan liar negara terutama haiwan yang sensitif seperti tapir, beruang matahari, gajah dan harimau. Kita tidak mahu mengulangi nasib badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) yang sudah tiada lagi di habitat asal di Malaysia.

Semua kawasan yang dilalui oleh ECRL ini perlu dipetakan dengan jelas terutamanya kawasan HSK supaya mendapat perhatian semua pihak.

Plan induk kerajaan Central Forest Spine (CFS), merupakan satu inisiatif kerajaan dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang bertujuan mengenal pasti fragmentasi hutan yang mengancam pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.

Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik dan mendapat perhatian antarabangsa. Projek CFS merupakan pelan jangka panjang kerajaan dalam memelihara, memulihara dan meningkatkan perhubungan antara kelompok hutan kecil dan kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia.

Inisiatif CFS bantu pemuliharaan 

Pelan induk CFS ini sangat penting kerana hutan semula jadi CFS akan diwujudkan bagi membentuk tulang belakang rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Oleh demikian, penyatuan kawasan hutan yang terpisah oleh pembangunan pertanian ini sangat penting dalam mewujudkan keseimbangan dan faedah antara arus pembangunan dan aktiviti pemuliharaan.

Semua pihak terutama agensi yang terlibat dengan perladangan menyokong projek CFS sebagai projek koridor ekologi menghubungkan hutan-hutan utama untuk kepentingan pergerakan haiwan liar seperti gajah, harimau dan tapir dan lain-lain.

Pembangunan ECRL dan CFS mestilah sehaluan demi untuk kelestarian alam semula jadi dan perlindungan hidupan liar dan habitat mereka.

Satu badan khas bagi memantau pembangunan merentasi hutan simpan perlu ada bagi memastikan projek mega seperti ECRL ini tidak memberikan kesan jangka pendek dan jangka panjang ke atas hidupan liar.

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain