“Muda- muda inilah elok berkahwin, mudah nak dapat zuriat. Nanti dah berumur, jangan menyesal tak sudah.”

“Jangan terlalu memilih, ikutlah kemampuan diri. Sekarang zaman dah moden. Tak salah kalau perigi yang mencari timbanya.”

Bertubi- tubi soalan dan bebelan panas lagi menghiris yang diterima Ainnur ketika sesi merewang kenduri di rumah Adira, pengantin perempuan yang bakal berkahwin keesokan harinya.

Ainnur sekadar tersenyum menahan telinga, tidak berhajat untuk membalas.Sesi mengupas bawang, memilih beras, merebus telur pada petang itu dipenuhi jiran sekampungyang diselangselikan dengan sesi ‘membawang’, istilah anak muda masa kini, iaitu sesi bergosip dan saling menjaga tepi kain orang lain.

Kupasan bawang di tangan mereka sehebat kupasan bawang yang dilakukan di mulut, berceloteh tidak berhenti diselangi hilai tawa kelucuan.

“Nasib kamulah Ainnur.Layan jelah mak cik bawang ni. Itulah, siapa suruh tak kahwin lagi,”keluh hati kecil Ainnur.Senyum Ainnur! Senyum!

Ainnur tersenyum kegirangan melihat bawang terakhir di bakulnya.Bawang terakhir itu dikupasnya secepat mungkin dan segera beredar dari situ, bergerak ke dalam rumah, laju meluru ke bilik pengantin.

“Dira!!Sakit telingaku, berdarah dan berdesing.Mengupas bawang jer terasa seperti berada di medan perang. Kiri kanan mak cik bawang menyerang aku bertanya bila nak kahwinlah, andartulah, memilihlah.Ya Allah, sabarnya aku,” rungut Ainnur sebaik sahaja menolak pintu bilik Adira. Senyap!

Ainnur terdiam! Penuh! Padat! Beberapa pasang mata tertumpu ke arah dirinya.Ainnur kaget, tidak menyangka begitu ramai orang di bilik Adira.Adira yang sedang diinaikan jari- jemarinya tertawa melihat Ainnur yang terkejut dan malu.Rakan- rakan Adira tersenyum melihat gelagat Ainnur, ditambah dengan bebelan Ainnur mengenai sesi membawang sebentar tadi.

“Itulah kamu, masuk tak reti nak ketuk dulu.Kan dah malu sendiri.Ni kawan pejabat Dira.Esok semua tak dapat datang sebab ada Family Day jabatan.Kenalkan, ini Ainnur, kawan sekolah merangkap jiran sebelah rumah, merangkap pengapit perempuan untuk saya esok.

Single, baik, tapi itulah, suka bebel sorang- sorang. Cakap depan-depan, dia tak berani, nak jaga hati katanya,” usik Adira sambil memperkenalkan kawan- kawannya.

Ainnur tersipu- sipu bersalaman dengan mereka Malunya!!

“Adira... Kenapa tak cakap kau ada tetamu.Malunya aku. Maaflah ye, dah terbiasa rempuh je bilik dia ni. Tak apalah, berboraklah dulu. Saya nak pergi sambung membawang dekat dapur,” segera Ainnur cuba mengelakkan diri.

Kawan- kawan Adira tertawa kecil mendengar Ainnur ingin kembali membawang.Sepasang mata dilihat begitu tertarik dengan perwatakan Ainnur yang begitu selamba. Terpesona! Dan dalam masa yang sama Ainnur juga sempat mengerling melihat ketampanan salah seorang kawan lelaki Adira. Wah, kacaknya! Tall, dark and handsome gitu!

Atas permintaan Adira, Ainnur menolong membawa tetamunya ke khemah makanan untuk menikmati hidangan yang telah disiapkan.Adira sengaja memberi peluang kepada Ainnur untuk beramah mesra dengan kawan sepejabatnya. Setelah makanan diambil, masing- masing duduk berkumpul di meja yang sama.

Peluang! Pantas Ainnur cuba untuk menggunakan strategi yang diajarkan oleh mak cik bawang sebentar tadi. Biar perigi yang cari timba! Tekad! Dengan sedikit segan silu, Ainnur duduk di kerusi kosong yang ada di sebelah Farhan, kawan lelaki Adira yang paling tampan, yang mendapat perhatiannya ketika di dalam bilik Adira sebentar tadi.

Ainnur membuka mulut, bertanya itu dan ini, melayan seperti seorang tuan rumah, menggantikan Adira yang sibuk mempersiapkan diri. Setelah berbual beberapa lama, Ainnur sudah memahami betapa rapatnya mereka bekerja. Namun begitu dari gaya perbualan dan tindak tanduk mereka, Ainnur sendiri sudah dapat membaca, ada cinta yang sedang berputik di kalangan mereka. Mujurlah bukan Farhan, detik hati Ainnur, tersenyum keseorangan.

Tanpa disangka, ketika di akhir pertemuan, Adira membisikkan sesuatu yang di luar jangkaannya! Farhan, pemuda kacak dan tampan yang dilihat sangat pemalu itu meminta nombor telefon Ainnur daripada Adira! Yes! Berjaya! Tersengih Ainnur kegembiraan.

Adira tertawa melihat keterujaan Ainnur.Misinya semakin menyinar.

Ainnur tidak menyangka strategi perigi mencari timbanya berjaya.Sengaja diramahkan dirinya terhadap kawan- kawan Adira terutama di hadapan Farhan sepaanjang perbualan mereka.

Keesokan harinya pun menjelma.Sesi pernikahan berlangsung pada sebelah pagi dan seterusnya majlis jemputan perkahwinan pun berlangsung dengan meriahnya.

Ainnur setia di samping Adira, almaklumlah, sebagai pengapit. Wajahnya yang ayu berkurung moden, bertudung shawl dililit kemas menyerlahkan kecantikan yang selama ini disembunyikan.Tiba-tiba, pandangan mata Ainnur tertumpu ke arah tetamu yang baru sahaja tiba.

Matanya tidak berkelip- kelip memandang.Terkejut! Sama sekali tidak menyangka apa yang dipandangnya. Hatinya remuk, sukar berbicara.

Sudah berkahwin??Dua orang anak?? Ya Allah, dugaan apakah ini! Hati Ainnur seakan- akan dihiris seperti bawang- bawang yang dihiris untuk memasak lauk pauk kenduri.

Di kejauhan, Ainnur melihat kelibat Farhan berpimpin tangan bersama anak-anak dan isterinya.Penuh kegembiraan, cantik sedondon anak beranak.Malah yang lebih menyakitkan hati Ainnur ialah apabila mata mereka bertentangan, tiada rasa bersalah di wajah Farhan.

Ainnur menahan rasa, hati yang berkecamuk, geram, sedih, pilu, marah semuanya bergabung di saat itu.Dicapainya telefon bimbit.Mesej WhatsApp yang diterima daripada Farhan malam tadi dibaca semula sebelum mengambil keputusan membalas mesej tersebut dengan kata-kata yang bisa mengguris hati Farhan.

“Tidak semua perempuan bujang perlukan suami orang untuk mengisi kekosongan di hatinya. Hargailah jasa seorang isteri yang bersusah payah melahirkan dua orang anak dan masih menjaga kecantikan dirinya khas untuk sang suami. Belajarlah menghargai sebelum kamu merasa dilukai.”

Butang sent ditekan seiring dengan paluan kompang berkumandang tanda rombongan pengantin lelaki telah tiba.

Ainnur menarik nafas panjang, cuba mengawal emosinya. Wajah Ainnur dipandang, nampak gementarnya.Digenggam tangan sahabatnya itu dan mengukirkan senyuman yang ikhlas.

“Tahniah Dira. Cantiknya kau, dah macam Puteri Salju, menyerlah sungguh.Semoga kau berbahagia sehingga ke jannah” ucap Ainnur sambil mengipas pengantin yang kepanasan. Adira tersenyum mendengar ucapan Ainnur itu.

Paluan kompang semakin mendekat. Ainnur cuba tersenyum sebaik mungkin. Tidak mahu mencacatkan majlis yang serba indah itu.Matanya masih lagi mencuri pandang ke arah Farhan yang leka menjamu selera.

Dasar jantan! Masih ada sisa kemarahan di hatinya.Semakin menghampiri rombongan pihak lelaki, semakin laju dada Adira.Gementar, pertama kali menjadi tumpuan, menjadi raja sehari, menanti raja duduk di singgahsana.Ainnur tersenyum melihat wajah debaran Adira.

“Pengantin lelaki dah sampai, silalah sambut,” jerit mak andam cuba memeriahkan majlis. Masing- masing sibuk usik mengusik.

Ainnur memandang rombongan pengantin lelaki, ternyata ramai juga yang hadir.Matanya dilirikkan ke arah pengantin lelaki pula.Masih segak seperti di masjid ketika akad nikah pagi tadi.

Tiba-tiba, hatinya berdebar! Terkejut sekali lagi! Farhan???!!!Kenapa dia berada di situ??Pengapit lelaki??Bukankah dia sedang makan sebentar tadi??Segera ditoleh ke khemah jamuan, Farhan masih lagi di situ menyuapkan anaknya makan pula.Ainnur kebingungan.Segera dicuitnya Adira.

“Pengapit lelaki itu Farhan?Bukan dia tengah makan di khemah tu ke? Ke aku yang salah pandang ni” bisik Ainnur perlahan. Adira tersenyum dan tertawa kecil.Tidak dihiraukan lagi perasaan gementarnya sebentar tadi.Perkara sebegini sudah dijangkanya dari awal lagi.Sengaja tidak mahu berterus terang, Adira sekadar berbisik kembali agar Ainnur bertanya sendiri kepada pengapit lelaki tersebut.

Setelah selamat pengantin duduk di singgahsana, pengapit yang memakai sedondon warna dengannya itu memberikan senyuman manis beserta kenyitan mata yang tidak disangka. Ainnur terkesima, cukup tidak menyangka!

“Patutlah dia mesej malam tadi, nasihatkan aku jangan main mata dengan pengapit lelaki. Rupanya dialah pengapit lelaki itu.

Tapi siapa di khemah itu?Abang kepada Farhan? Kembar Farhan? Atau mungkin sekadar pelanduk dua serupa?”Ainnur tersenyum keseorangan.Dan sepanjang sesi tepung tawar berlangsung, Ainnur tersengih keseorangan, senyuman meraikan kebahagiaan sahabatnya dan juga kebahagiaan dirinya.

“Thanks Dira. That’s mean a lot for me,” bisik Ainnur sambil tangannya menyapu sisa bunga rampai yang ada di tapak tangan Adira.

“Insya-Allah, doakan yang baik- baik je.Let’s make it happen. Teruskan perjuangan perigi mencari timba kamu itu” bisik Adira kembali.Masing- masing tergelak kecil sesama mereka.

Sekali lagi Ainnur menjeling ke arah Farhan, melemparkan senyuman yang pastinya mampu mencairkan hati Farhan.Farhan tersenyum lebar menerimanya.

Maka bakal berakhirlah kisah andartu yang sering dimomokkan oleh mak cik bawang selama ini.Ainnur menarik nafas panjang dan bersedia untuk mengatur langkah seterusnya.Misi si perigi mencuri hati sang timbanya.

Tersalah hantar mesej?Abaikan. Itu tandanya aku sudah mulai mencintaimu.