Kampung Aman sangat damai, tenang dan selamat. Tetapi sejak berlaku peristiwa berdarah itu, kampung yang aman sudah tidak aman lagi.

Kampung itu terletak dalam daerah Kampung Gajah, Perak, tempat J.W.W. Birch dikuburkan. J.W.W. Birch dikatakan tidak tahu cara memerintah orang Melayu. Dengan beraninya orang Melayu telah membunuh residen itu. Jadi, penduduk daerah Kampung Gajah dapat semangat daripada peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch itu.

Segala-galanya bermula pada tarikh 6 Mac 1946. Di pagi yang dingin hari Rabu itu, penduduk Kampung Aman masih lagi tidur lena. Pada malamnya, hujan turun dengan lebatnya, mencurah-curah. Ada juga antara penduduk kampung itu yang sudah jaga. Ketua Kampung yang bernama Pak Ngah Rauf sudah jaga. Pak Imam dan Pak Bilal kampung pun sudah jaga. Waktu itu, waktu sembahyang fardu Subuh masih belum tiba. Mereka semua bersedia menunggu ketibaan waktu Subuh.

Ketika Pak Ngah Rauf, sedang mandi kedengaran beberapa letupan. Pak Ngah Rauf memasang telinga. Kedengaran lagi dua tiga das tembakan. Bunyi tembakan di zaman itu, bukanlah sesuatu yang aneh. 1946 itu ialah zaman pertumpahan darah. Jepun baru saja menyerah kalah. Dua buah bom atom telah digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki. Sewaktu Jepun menyerah kalah, penduduk Tanah Melayu menunggu pemerintahan lnggeris semula. Tetapi pemerintahan lnggeris lambat sampai, kira-kira dua minggu Tanah Melayu tidak diperintah oleh lnggeris. Pada masa inilah komunis mengambil peluang.

“Itu bunyi tembakan. Agaknya komunis menyerang kampung kita?” kata Pak Ngah Rauf kepada isterinya.

Isterinya, Mak Bibah memasang telinga. “Memang betul itu bunyi tembakan. Makin banyak.”

Memang bunyi letupan dan tembakan semakin banyak. Bunyi itu juga semakin dekat. Pak Ngah Rauf segera mengambil golok, lalu hendak pergi.

“Haaah, hendak ke mana?” tanya Mak Bibah dengan wajah cemas.

“Saya nak tengok apa sebenarnya!” kata Pak Ngah Rauf sambil menyisipkan sarung golok di pinggang.

Mak Bibah agak khuatir. Mana tahu ada orang mengamuk atau ada komunis menyerang kampung.

Sekarang ini komunis selalu saja menyerang kampung. Mana-mana kampung yang tidak bekerjasama atau memberi kerjasama dengan komunis akan mereka serang. Lagipun komunis hendak membalas dendam. Sewaktu pemerintahan Jepun dahulu, komunis ditekan dan dibunuh oleh orang Jepun. Komunis tahu ada rakyat biasa yang menjadi pembantu atau tali barut Jepun. Sekaranglah masanya komunis membalas dendam.

Komunis tidak peduli sama ada orang itu betul-betul tali barut Jepun atau tidak. Orang yang disyakinya akan diserang, ditangkap dan dibunuh. Apa lagi, memang komunis hendak berkuasa di Tanah Melayu ini. Komunis mahu jadi pemerintah di negeri ini. Rakyat tidak suka dengan komunis. Komunis sangat zalim. Komunis suka membunuh, membakar dan sebagainya.

“Awak baik-baik,” kata Mak Bibah mengingatkan suaminya.

Sejurus kemudian Pak Ngah Rauf sudah hilang ditelan kegelapan malam di waktu Subuh.

Bunyi tembakan itu, datangnya macam dari belakang kampung. Pak Ngah Rauf hendak memastikan sebenarnya peristiwa tembakan itu. Mana tahu di pagi-pagi ini ada orang berkelahi. Boleh jadi ada penduduknya yang bergaduh. lni bukan perkara mustahil. Sebagai ketua kampung Pak Ngah Rauf wajib menjaga keselamatan kampung.

Tembakan masih kedengaran lagi.

Sewaktu Pak Ngah Rauf sampai di tempat kejadian, tembakan sudah reda. Tetapi telinga ketua kampung itu terdengar suara orang mengerang kesakitan. Pak Ngah Rauf terus mendekati orang itu.

“Aduh, tolonngggg!” kata bunyi suara minta tolong.

“Engkau Muraaad!” ketua kampung itu segera memapah anak muda yang luka parah kena tembak.

Kemudian kedengaran bunyi orang mengerang yang lainnya. Pak Ngah Rauf segera minta bantuan penduduk kampung. Empat orang penduduk kampung itu kena tembak. Mereka semua dibawa ke surau. Sempat juga Pak Ngah Rauf sembahyang Subuh pagi itu.

“Ketika kami berkawal tiba-tiba kami diserang!” kata Murad menceritakan. Pahanya ditembusi peluru.

“Kau nampak siapa yang menyerang kau?” tanya Pak Ngah Rauf ingin tahu.

“Saya tak nampak Tok,” jawab Murad.

“Boleh jadi komunis,” ketua kampung itu cuba membuat ramalan. Kalau tidak komunis, siapa lagi?

Bagi Pak Ngah Rauf yang penting ialah menjaga keselamatan kampung. Ia tidak mahu peristiwa berdarah ini terjadi lagi. Dari jauh Ah Cing berjalan dengan Tong Lam. Kedua-duanya menghampiri ketua kampung. Wajah kedua-duanya sedikit sedih bercampur marah.

“Ada apa Ah Cing?” tanya ketua kampung.

“Macam ini tidak baik Tok Ketua!” kata Ah Cing dengan suara tinggi.

Terangkat kepala Pak Ngah Rauf. “Haaah, mengapa kau ni tiba-tiba macam orang lapar saja?”

“Dua orang saudara saya kena serang. Dia kata, ya dia nampak orang Melayu yang serang dia!” kata Ah Cing dengan kesal.

Ketua kampung memandang-mandang penduduk Kampung Aman. Mereka semua berpandangan. Kampung Aman itu, memang ada juga didiami oleh beberapa keluarga Cina. Penduduk Kampung Aman, kurang lebih tiga ratus semuanya. Orang Cina tinggal di kawasan yang bersambung dengan pekan. Mereka membuka beberapa buah kedai di situ.

“Macam mana dia kata orang Melayu serang dia?” tanya ketua kampung ingin kepastian.

“Dia nampak,” kata Ah Cing.

“Apa saudara awak sedang buat?”

“Dia mahu buka kedai, tiba-tiba ada orang serang dia. Dia nampak orang Melayu,” kata Ah Cing menerangkan.

Ketua kampung memerhatikan penduduk Kampung Aman. “Sekarang awak boleh tanya awak punya saudara, siapa yang pukul dia. Saya boleh tangkap. Boleh jadi itu orang dari tempat lain. Boleh jadi komunis!”

“Betul Ah Cing, tengok ... malam tadi komunis juga serang kampung kita. Berapa orang sudah luka. Ini semua komunis yang buat!” ketua kampung berumur lima puluhan menerangkan sungguh-sungguh. Ketua kampung tidak mahu timbul buruk sangka atau perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Ini akan menimbulkan huru-hara. Perpaduan tidak dapat diwujudkan, ini akan merosakkan negara.

“Kita rasa pun memang komunis yang menyerang kita,” kata Murad.

Semenjak komunis bermaharajalela, kampung-kampung diadakan kawalan. Sudah banyak kampung yang diserang oleh komunis. Jika komunis dapati, penduduk kampung itu tidak memberi kerjasama, mereka akan menyerang.

Tuduhan

“Oh komunis yang serang?” tanya Ah Cing sambil mengangguk faham. Terasa ia telah melakukan kesilapan membuat tuduhan. “Kalau begitu, kita mesti lawan komunis,” kata Ah Cing lagi.

“Ya, kita mesti lawan komunis. Tadi malam komunis cuba main-mainkan kita. Dia buat serang kecil. Mereka akan datang lagi,” kata Pak Ngah Rauf kepada Ah Cing dan juga penduduk kampung yang lainnya. Kemudian suatu perbincangan diadakan. Mereka ingin mencari jalan bagaimanakah hendak mengelakkan daripada serangan komunis. Ataupun jika komunis menyerang bagaimana mereka akan bertahan.

“Kita kuatkan kawalan. Setiap malam lebih ramai pengawal. Kita harus berjaga-jaga!” kata Pak Latiff, bilal kampung itu.

“Kita kurang senjata!” kata Pak Imam pula.

“Saya akan cuba dapatkan senjata,” kata ketua kampung Aman dengan azam yang penuh.

Tengah hari itu Pak Imam pergi ke tebing sungai. Dia hendak mengambil air sembahyang. Tiba-tiba dua orang bersenjata menahannya di tengah jalan.

“Penduduk kampung ini kalau mahu selamat mesti tolong kami,” kata salah seorang. Orang itu berbadan besar. Dia berjambang. Matanya agak sepet sedikit.

Pak Imam tidak terperanjat. Dia tahu kedua-duanya ini mestilah komunis. Apakah pertolongan yang dikehendaki oleh komunis ini. Pak Imam menunggu.

“Sekarang kami berkuasa. Komunis berkuasa. Kami mahu tangkap orang yang tentang komunis,” kata salah seorang daripadanya. Dia ini pula berbadan kurus.

Pak Imam diam saja. Dia berdiri dengan tenang.

“Kita tahu, ketua kampung ini tentang kita. Kami mahu tangkap dia. Kamu mesti serahkan dia pada kami. Kami tahu kamu imam di kampung ini,” kata yang berbadan kurus lagi.

Pak Imam tersenyum. Bagaimana mereka boleh tahu, dia adalah Pak Imam? Ini menunjukkan komunis itu memang sudah lama mengintip di kampung itu. Kemudian kata Pak Imam, “Kamu cukup pandai, ya. Kamu serang kampung kita. Kemudian kamu serang orang Cina. Ini menimbulkan pergaduhan antara kami. Kami rasa orang Cina serang kami. Orang Cina rasa, orang Melayu serang mereka. Ini tentu tidak baik.”

Kedua-duanya tersenyum lebar. Tetapi nampaknya kedua-duanya tidak berani untuk ketawa. Mata kedua-duanya juga meliar. Barangkali mereka tidak mahu kedatangan mereka diketahui oleh orang lain.

“Itu memang cara kami. Kami mahu rakyat sendiri berpecah-belah. Kami tahu kampung ini sangat kuat menentang komunis. Masa Jepun dulu, orang-orang di sini berkawan dengan Jepun serang komunis,” kata yang berjambang dan bermata sepet.

“Itu salah,” kata Pak Imam selamba. “Masa Jepun dulu kami juga diserang Jepun. Kami benci dengan Jepun kerana menyeksa kami.”

“Tapi kami tahu, kampung ini tak mahu kerjasama dengan kami. Kami mahu ketua kampung.”

“Kalau kamu mahu ketua kampung mengapa jumpa saya?” tanya Pak Imam menduga.

“Sebab kami masih beri masa. Kami mahu kampung ini jadi markas kami. Kami mahu semua penduduk kampung ini...”

“Jadi macam kamuuuu?” Pak Imam memotong dengan berani. Serban di kepalanya bergerak-gerak. Serban itu sebenarnya menakutkan kedua-dua komunis itu.

Tidak berapa lama kemudian komunis itu pun pergi. Pak Imam terus ke sungai. Dia mengambil air sembahyang. Naik dan terus berjalan ke surau. Selepas sembahyang Zohor, dia terus ke rumah ketua kampung.

Semuanya diceritakannya kepada Pak Ngah Rauf.

“Kita tidak akan bekerjasama dengan komunis!” kata Pak Ngah Rauf dengan penuh nekad. “Kita mesti pertahankan Kampung Aman ini supaya betul-betul aman. Kita takkan benarkan mereka nak jadikan kampung kita sebagai markas mereka!”

Ketua kampung itu faham, kedudukannya yang baiklah yang menyebabkan Kampung Aman hendak dijadikan markas. Kampung ini duduknya di tengah beberapa buah kampung yang lain. Ia menjadi kampung induk.

“Kita akan pertahankan setiap inci bumi kampung kita,” kata Pak Ngah Rauf dengan suara keras.

Kampung Aman telah dikawal dengan rapi. Penduduk kampung baik yang muda atau tua telah memberi kerjasama yang padu. Mereka berazam untuk mempertahankan kampung itu daripada jatuh ke tangan komunis. Orang Cina juga memberi jaminan akan bekerjasama. Mereka akan sama-sama bekerjasama. Orang Melayu dan orang Cina, seharusnya bekerjasama untuk mempertahankan kedaulatan negera ini. Tetapi komunis sangat pandai. Komunis telah memasang jarumnya. Komunis ingin menimbulkan perpecahan dalam kalangan penduduk antara Melayu dengan Cina. Dengan adanya perpecahan senanglah mereka menguasai Tanah Melayu.

Inilah yang berlaku di Kampung Aman. Orang Cina dengan orang Melayu telah berjanji untuk bekerjasama. Komunis melihat kerjasama ini akan mengancam kedudukan mereka. Lalu komunis mencari jalan kedua-dua kaum itu bersengketa. Komunis telah menabur fitnah. Caranya mudah sahaja. Malam itu tiba-tiba sederet rumah kedai kepunyaan orang Cina telah dibakar. Api menjulang-julang tinggi naik ke awan. Suaranya mengaum macam harimau. Komunis telah memasang perangkap.

“Saya nampak orang Melayu dari Kampung Aman bakar kedai orang Cina,” kata Ah Sai memberitahu orang-orang Cina.

Ah Sai adalah seorang anak muda Cina. Rumahnya juga turut terbakar. Sebenarnya, inilah yang tidak diketahui oleh orang Cina bahawa Ah Sai ialah seorang komunis. “Mana kamu tahu, Ah Sai?” tanya Ah Cing. Ah Cing dianggap sebagai ketua bagi orang Cina.

“Saya nampak dengan kepala saya sendiri. Saya nampak orang-orang Kampung Aman bakar kedai, bakar rumah kita. Orang Kampung Aman kata, kita tolong komunis,” Ah Sai menanamkan jarum fitnahnya kepada orang Cina.

lni sudah tentu memanaskan darah orang Cina. Pada hal perjanjian sudah dibuat, kedua-dua kaum itu harus bekerjasama.

“Saya nampak ketua kampung sendiri yang membakarnya,” kata Ah Sai lagi.

Ini kebetulan pula, Pak Ngah Rauf berada di tempat kebakaran. Apabila nampak kebakaran, Pak Ngah Rauf segera menuju ke tempat itu. Sebagai ketua kampung ia hendak melihat bagaimana keadaan kebakaran. Ia perlu menolong supaya tidak ada jiwa terbakar. Sampai sahaja di tempat kebakaran, Pak Ngah Rauf terus menolong membakar bahagian yang belum terbakar, supaya bila api bercantum, kebakaran itu berhenti.

“Kalau macam ini tak boleh jadi,” kata Ah Cing marah.

Ah Cing telah mengumpulkan orang Cina. Tujuannya hendak membuat bantahan kepada penduduk Kampung Aman. Apa yang dilakukan oleh ketua kampung itu tentulah tidak kena. Perbuatan itu dianggap aniaya. Pada masa angkatan Cina itu hendak ke Kampung Aman, masa inilah komunis telah menyeludup sama. Komunis seperti orang Cina biasa masuk ke dalam barisan orang Cina itu. Ini tidak disedari oleh Ah Cing. Tujuan Ah Cing ialah inginkan penjelasan. Ia sendiri kurang percaya dengan kata-kata Ah Sai. Apa yang berlaku adalah 
sebaliknya. Kumpulan Cina itu 
terus menyerang Kampung Aman. Mereka melepaskan tembakan. Sebenarnya komunislah yang menembak.

“Bersedia semua, kita diserang. Kumpulkan orang-orang,” kata Pak Imam setelah melihat ada tembakan diarahkan ke Kampung Aman.

Penduduk Kampung Aman terpaksa mempertahankan diri mereka. Pertempuran telah terjadi. Orang Melayu tidak banyak memiliki senjata api. Jadi mereka memakai buluh runcing, tombak dan parang. Senjata itulah juga yang mereka bawa untuk berkawal. Pihak komunis memang mempunyai senjata. Mereka menembak ke arah penduduk Kampung Aman. Ramailah penduduk Kampung Aman ditembak oleh komunis. Mayat bergelimpangan. Namun ketua kampung dan Pak Imam terus dengan beraninya melawan. Ramai juga komunis kena buluh runcing dan tombak. Orang Melayu terpaksa bersembunyi dan melontar senjata dengan sembunyi. Ada juga penduduk kampung yang memiliki senjata api. Senjata api kebanyakannya buatan sendiri. Walaupun ia senapang buatan sendirl, banyak juga komunis yang dapat dibunuh.

Dalam pertempuran yang sedang terjadi, komunis semakin ramai datang. Mereka datang dari hutan. Komunis membakar Kampung Aman. Dengan kejamnya juga komunis membunuh siapa saja tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak. Kanak-kanak kecil dilambung dan terus ditembak. Mana kanak-kanak yang hendak lari, juga ditembak.

“Kita lari,” kata Pak Ngah Rauf memerintahkan penduduk kampung itu.

Suasana bising dan riuh dengan tangisan dan kesedihan. Mana yang tidak mahu lari terus saja dibunuh oleh komunis. Ramai yang lari dengan terjun ke sungai. Mana yang lari ke sungai tidak dapat dikesan oleh komunis. Nampaknya, komunis benar-benar hendak mengambil kampung itu. Atau mereka hendak membalas dendam dengan menghancurkan kampung itu. Seluruh kampung itu telah terbakar. Rumah telah dibakar. Di sana sini api marak. Sewaktu Pak Ngah Rauf hendak membawa keluarganya, beberapa orang komunis berdiri di hadapan.

“Ohooo ini rupa-rupanya ketua kampung, ya! Sekarang kamu akan terima balasannya,” kata komunis itu. Ia mengangkat senjata lalu terus menembak.

Pak Ngah Rauf tidak sempat berbuat apa-apa. Dua tiga das tembakan bersarang di dadanya. Juga bersarang di dada isteri dan anak-anaknya. Sejurus kemudian ketua kampung itu pun menghembus nafasnya terakhir.

Begitulah yang terjadi kepada Kampung Aman. Hampir enam bulan kampung itu terbiar. Bila lnggeris berkuasa semula di Tanah Melayu, mereka yang lari kembali semula ke kampung itu.

Kampung itu tidak lagi mereka panggil dengan nama Kampung Aman. Peristiwa sejarah berdarah dan terbakar itu telah mengubah namanya kepada Kampung Bakar. Laman kelamaan lidah mereka mengubahnya menjadi Kampung Bekor.