Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong, selaku panel tuan rumah iaitu Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) & ATMA UKM dalam ucapannya membantah sekeras-kerasnya apa jua pertikaian oleh mana-mana pihak terhadap sebarang institusi Melayu seperti bahasa Melayu, budaya Melayu sebagai teras Kebudayaan Kebangsaan dan institusi Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Biarpun dalam bidang bahasa sahaja, saya membantah keras, apa-apa jua pertikaian oleh mana-mana pihak terhadap sebarang institusi Melayu iaitu amalan yang merupakan tradisi dan warisan bagi Orang Melayu. Ini agaknya kerana sudah wujud ‘rasa kasih sayang’ atau ‘passion’ dalam bahasa Inggeris, pada diri saya terhadap dunia Melayu,” katanya yang diberikan tepukan gemuruh para hadirin.

Berbalik kepada bantahan tersebut, Kok Seong menyatakan ia merupakan reaksi beliau sendiri iaitu pertama mengenai pertikaian tentang kemampuan bahasa Melayu untuk memandaikan anak bangsa serta kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan negara. "Sesiapa yang mempertikaikan bahasa Melayu saya akan bantah!"

“Kedua, saya juga akan bantah bila ada pertikaian mengenai budaya Melayu sebagai teras kepada Kebudayaan Kebangsaan dalam konteks ia sebagai jati diri bangsa dan identiti kebangsaan kita, yang perlu bersifat Melayu-Muslim. Sesiapa pertikai saya bantah.

“Ketiga, terhadap pertikaian berhubung institusi Raja (Melayu), yang kini semacam diragui tentang kesesuaiannya akan tentang keberkesanannya pada era moden,” katanya.

Mengulas lanjut bantahan terhadap usaha menganaktirikan bahasa Melayu dalam apa jua urusan kerajaan, Kok Seong menyatakan urusan kerajaan yang sememangnya rasmi wajib dikendalikan hanya dalam bahasa Melayu, yang merupakan bahasa negara yang mendukung dua peranan sekali gus, sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

“Dalam konteks sebagai bahasa rasmi, dengan jelas lagi tegas, penggunaan bahasa Melayu diwajibkan,” katanya.

Menurut Kok Seong, perkara ini dapat dilihat pada Perlembagaan Persekutuan (PP) pada Perkara 152 yang mengandungi enam bahagian. Bahagian 1(a) menyatakan keperluan wajib menggunakan bahasa Melayu untuk maksud rasmi.

Urusan kerajaan

Jelasnya, Bahagian 6 pula menjelaskan maksud rasmi yang merujuk khusus kepada urusan kerajaan, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri dan badan awam. Selain PP, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (ABK) yang terdiri daripada sepuluh bahagian, ikut menyatakan keperluan wajib ini pada Bahagian 2.

“Dengan catatan perundangan ini, adalah amat jelas bahawa urusan rasmi kerajaan wajib dikendalikan dalam bahasa Melayu sahaja, lebih-lebih lagi dalam bentuk tulisan.

“Maka dengan pernyataan yang tegas ini, urusan kerajaan tidak boleh sesekali dikendalikan dalam bahasa lain, kecuali bahasa Melayu sahaja atas dasarnya selaku bahasa rasmi negara yang tunggal,” katanya.

Kok Seong menyatakan, peranan bahasa rasmi sama sekali tidak sama dengan peranan bahasa kebangsaan yang lebih bersifat simbolik, antaranya sebagai lambang kepada kedaulatan negara. Bahasa rasmi rata-ratanya bersifat fungsional, iaitu ia hendaklah digunakan dalam semua sistem negara.

Antaranya adalah pentadbiran, pendidikan dan perundangan. Ini kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang dipilih khas oleh kerajaan untuk digunakan dalam semua urusannya.

“Oleh itu, bahasa Melayu wajib digunakan dan bukannya bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin atau Tamil, untuk komunikasi rasmi dengan warganegara sendiri. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa Inggeris untuk kegunaan khalayak asing dibenarkan kerana kita memilih bahasa Inggeris untuk tujuan komunikasi antarabangsa.

“Bahasa vernakular, misalnya Mandarin yang diiktiraf dalam sistem pendidikan negara, sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya untuk urusan kerajaan, sama ada dalam bentuk suratan atau notis dan lain-lain yang sifatnya bertulis dan formal pula,” katanya.

Perlu difahami

Kok Seong menegaskan, hal ini perlu difahami semua pihak, lebih-lebih lagi oleh ketua pentadbiran dalam agensi kerajaan, yang ikut terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, seperti yang dinyatakan pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 oleh Kerajaan Malaysia, dalam Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Kok Seong menyatakan setelah sekian lama kita bernegara, secara umumnya semua rakyat Malaysia patut sudah boleh memahami bahasa Melayu dengan baik. Oleh itu tidak perlu lagi diterjemahkan ke dalam bahasa lain.

Senada dengan Kok Seong, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang juga salah seorang ahli panel forum tersebut turut mempersoalkan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.

“Kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dihormati sekali gus penggunaan bahasa lain termasuk bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kerajaan wajar dihentikan,” katanya.

Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan itu berkata, edaran kenyataan selain daripada bahasa kebangsaan tidak wajar dilakukan kerana ia sudah mencukupi dan difahami semua pihak.

Malah, menurut beliau yang kini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), amalan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin tidak pernah dilakukan sejak beliau terlibat dalam mahupun di luar kerajaan selama lebih 40 tahun.

“Saya fikir amalan tersebut tidak wajar dilakukan kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dalam bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan atau bahasa Inggeris yang dibenarkan di bawah prosedur Parlimen.

“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati memohon jika benar terdapat amalan sedemikian supaya tidak diteruskan dan kita menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan menggunakan Bahasa Kebangsaan,” katanya.

Selain Kok Seong dan Rais, Forum turut mengundang Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz dan Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar selaku moderator.

Isu menganaktirikan bahasa Melayu tercetus apabila laporan sebuah portal berita memetik Guan Eng sebagai mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange (TRX).

Guan Eng dilaporkan mempertahankan tindakannya itu menerusi kenyataan dimuat naik dalam laman Facebook beliau yang hanya menggunakan bahasa Mandarin sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak.