Ketokohan yang ada pada mereka menjadi azimat dan semangat kepada penulis-penulis kelahiran Jelapang Padi untuk terus mengasah bakat dalam menghasilkan karya yang bermutu. Ketajaman pemikiran yang ada pada mereka adalah menjadi inti pati yang terbaik kepada penulis-penulis Negeri Kedah untuk terus memartabatkan dunia sastera.

Sebagai sebuah persatuan penulis, Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) cukup beruntung kerana mempunyai barisan Ketua Satu yang begitu memahami kehendak ahli-ahli dengan mengadakan pelbagai program sastera untuk kebaikan ahli-ahli. Bekas Ketua Satu Asasi, Allahyarham Noorjaya atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Long’ adalah antara penulis yang begitu konsisten dalam melahirkan karya-karya sastera yang bermutu dan terbaik.

Bekas Ketua Satu Asasi, Shaidun Shaari juga adalah antara penulis mapan yang berjaya melahirkan banyak karya sastera yang bermutu dan berjaya memenangi pelbagai hadiah sastera sehingga melayakkan beliau untuk terus bertapak dalam dunia sastera.

Begitu juga dengan bekas Ketua Satu Asasi, Dr. Osman Ayob yang merupakan novelis terkenal di Negeri Kedah yang sehingga kini berjaya menempatkan diri dalam dunia sastera tanah air melalui penghasilan karya yang baik dan sempurna melibatkan genre novel.

Allahyarham Jihaty Abadi dan Allahyarham Affrini Adham adalah antara tokoh sastera Negeri Kedah yang sehingga kini masih dikenali dan dihormati kerana kedua-duanya berjaya menyumbang keringat dan ilham melalui karya-karya kreatif.

Nama Allahyarham A Rahmad adalah antara novelis Jelapang Padi yang begitu sinonim dengan dunia penulisan novel sehingga berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan penulis mapan Negeri Kedah yang lainnya. Begitu juga dengan Allahyarham Syed Mahadzir Syed Omar yang begitu pekat dengan loghat Kuala Nerang sehingga karya-karya yang ditulis oleh beliau begitu sebati dengan dirinya.

Walaupun Allahyarham Abdul Halim Yaacob telah meninggalkan dunia sastera ke alam abadi, kegigihan dan semangat yang ditaburkan oleh beliau sejak menjadi seorang penulis tetap diingati dan dihormati. Allahyarham banyak menulis berita dan rencana sastera untuk akhbar dan majalah.

Allahyarham Saad Taib adalah antara penulis Kedah yang begitu konsisten dalam menghasilkan karya sastera untuk akhbar dan majalah. Kesungguhan dan usaha yang bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh beliau menjadikan asas kepada kejayaan dalam menghasilkan karya-karya kreatif untuk tatapan pembaca dan juga peminat sastera. Inilah keazaman yang ada pada diri Allahyarham Saad Taib yang begitu teliti dalam usaha mengembalikan kegemilangan sastera di Negeri Kedah Darul Aman.

Allahyarham Syed Mahadzir Syed Omar, Allahyarham Jamaludin D dan Allahyarham Shaari AB adalah antara penulis Negeri Kedah yang banyak menabur bakti dalam memperjuang dunia sastera melalui penghasilan karya sastera yang mampu memberikan sesuatu yang terbaik dalam usaha bersama-sama memacu dan mengembalikan semula kegemilangan sastera di negara ini.

Kesinambungan Asasi sebagai sebuah badan penulis di utara Semenanjung diteruskan dengan jayanya oleh Ketua Satu Asasi yang baharu iaitu Saidin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Zaidin Abadi dengan dibantu oleh Ketua Dua Asasi, Puzi Hadi yang bertungkus-lumus dalam menyediakan pelbagai aktiviti serta program yang berkaitan sastera untuk kebaikan ahli-ahli ASASI.

Sesungguhnya, ahli-ahli Asasi cukup beruntung kerana mempunyai barisan pemimpin yang begitu peka dengan keadaan sekeliling dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan sastera dengan menyatupadukan ahli-ahli Asasi dalam satu bumbung melalui penganjuran program mahupun aktiviti sastera yang mampu membenihkan minda ahli-ahli Asasi dalam usaha menghasilkan lebih banyak karya sastera.

Dialog Puncak yang dianjurkan oleh Asasi pada setiap tahun iaitu pada penghujung tahun adalah kesinambungan yang terbaik dalam menghimpunkan ahli-ahli Asasi untuk bertemu dan bertukar fikiran dalam dunia sastera melalui penghasilan karya yang bermutu serta terbaik.

Sebagai ahli-ahli Asasi yang budiman, kerja-kerja dalam menghasilkan karya sastera adalah terletak pada diri sendiri. Sematkan iltizam dan berusahalah bersungguh-sungguh dalam merencanakan falsafah untuk menjadi seorang penulis sastera yang berjaya menghasilkan sesuatu karya yang terbaik untuk tatapan pembaca.

Minat dan kesungguhan adalah rencah utama untuk menjadi seorang penulis yang disegani dan dihormati. Bidang sastera adalah satu bidang seni yang menghimpunkan penulis-penulis untuk lebih kreatif dalam melaksanakan tugas sebagai seorang penulis yang berjiwa seni. Erti semangat adalah inti pati yang tinggi untuk berdiri di atas kaki sendiri dalam usaha melahirkan lebih banyak karya sastera yang mampu membenihkan minda untuk lebih berdaya maju.

Sebagai sebuah persatuan penulis, Asasi terus komited dalam usaha menggembleng tenaga dan usaha dalam membantu penulis-penulis Negeri Kedah untuk lebih berdaya maju ke arah memantapkan diri untuk menghasilkan lebih banyak karya sastera. Kesungguhan Asasi melalui penganjuran program mahupun aktiviti sastera diharap mampu menyatupadukan ahli- ahli ASASI untuk lebih bersemangat dalam memacu kegemilangan sastera di Negeri Kedah Darul Aman.