Kedai makan tempat Hidayah bekerja terletak di pinggir Jalan Kluang, Batu Pahat. Jalan ini menjadi laluan alternatif pengguna jalan raya yang tidak mahu menggunakan Lebuhraya Utara – Selatan. Oleh itu, kedai-kedai makan yang terdapat di kiri dan kanan jalan mendapat tempias rezeki daripada penggunanya.

Kedai makan tempat Hidayah bekerja juga menerima banyak pelanggan. Para pekerjanya tidak berhenti-henti mengambil pesanan, menghantar makanan serta membersihkan meja. Tukang masak pula tidak putus-putus memasak pelbagai hidangan.

Semuanya kelelahan apabila pulang ke rumah. Lesu, hanya berehat di rumah sehingga tidak buat perkara lain. Apabila majikan Hidayah menambah jumlah pekerja, barulah Hidayah dan rakan-rakan lain boleh mengambil nafas lega.

Namun ketika majikan Hidayah gembira dengan kemajuan perniagaanya, Hidayah mengalami keadaan yang berbeza. Tingkah-lakunya tiba-tiba berlainan sekali hingga kawan-kawannya berasa pelik.

Sebagai insentif kepada para pekerja, majikan Hidayah membenarkan mereka semua makan dan minum apa sahaja yang mereka inginkan pada bila-bila masa.

“Engkau ada bela saka ke Hidayah?” tanya rakan sekerjanya.

“Mana ada, saka bela aku adalah…” balas Hidayah cuba bergurau.

Tiada ketawa menyambut gurauan Hidayah itu kerana mereka berasa pelik melihat selera Hidayah. Hampir setiap jam, ada sahaja yang ingin dimakannya. Sejam yang lalu baru dia makan semangkuk mi rebus, kini makan nasi goreng kampung pula.

Semalam juga sama. Ada sahaja makanan dinikmatinya setiap jam sedangkan sebelum ini, Hidayah hanya makan secara sederhana. Kini, dia makan bagaikan orang tidak jumpa makanan setahun lamanya.

Semua orang pelik akan perubahan pada diri Hidayah. Bukan itu saja, Hidayah juga kini acuh tidak acuh dengan kewajipannya sebagai seorang Islam iaitu solat.

Kawan-kawannya hairan kerana Hidayah dikenali sebagai seorang gadis yang menunaikan solat tepat pada waktunya. Malahan dialah yang akan mengingatkan semua rakan sekerjanya akan kewajipan itu.

Tapi kini Hidayah pula lalai dalam solatnya. Selagi tidak diingatkan, Hidayah tidak akan tunaikan. Pernah dia meninggikan suara kepada rakan sekerja yang mengingatkannya supaya segera bersolat. Malahan, dia pernah secara tiba-tiba mematikan televisyen ketika azan sedang dikumandangkan.

Bukan sahaja di tempat kerja, keluarga Hidayah juga menyedari perubahan-perubahan di dalam dirinya. Hidayah yang dahulunya seorang periang kini mudah sangat marah-marah walaupun kerana hal-hal yang remeh.

Dia malah berani meninggikan suara di hadapan kedua ibu bapanya. Perubahan ini benar-benar mengguris hati kedua orang tua Hidayah. Mereka hanya mampu berdoa kepada Ilahi agar Hidayah kembali seperti dahulu.

BERGAYUT

“Atuk, kenapa ada Upin dan Ipin peluk badan Cik Yah?” Haikal, anak saudara Hidayah memberitahu datuknya pada suatu petang. Mereka sedang duduk-duduk di atas pangkin di halaman rumah ketika itu. Terkejut si datuk mendengar kata-kata cucunya itu.

“Haikal nampak apa?” tanya datuk lagi cuba untuk mendapatkan kepastian.

“Haikal nampak Upin dengan Ipin tengah gayut-gayut di bahu Cik Yah tu. Badannya hijau, giginya kuning, kotor,” polos balasan Haikal.

Datuk cepat-cepat membawa Haikal ke bilik Hidayah. Kelihatan Hidayah sedang lena tidur di atas katil bujangnya. Datuk bertanya sekali lagi dalam berbisik, “Masih nampak Upin dan Ipin lagi?”

“Ada, dua-dua tengah peluk-peluk Cik Yah. Cium-cium muka, dada dengan badan Cik Yah,” balas Haikal.

Beristighfar panjang datuk mendengarkan kata-kata cucunya itu. Segera ditutupnya pintu bilik. Disuruhnya Haikal balik ke rumahnya yang cuma selang serumah dari situ. Kini separuh daripada teka-teki akan perubahan diri Hidayah terjawab sudah.

BUNGKUSAN

Malam itu, datuk membawa Ustaz Mat, seorang guru al-Quran ke rumahnya. Ketika itu Hidayah sudah pun pergi ke tempat kerjanya. Ustaz Mat pun masuk ke dalam bilik Hidayah sebelum mengelilingi sekeliling rumah.

“Pada hemat saya, rumah Tuan Haji ini tak ada masalah, bersih. Boleh bawakan saya ke tempat Hidayah bekerja?” pinta Ustaz Mat.

Datuk segera menyanggupi permintaan tersebut. Di bawah sinaran bulan penuh, mereka bergegas ke tempat kerja Hidayah. Setibanya di kedai itu, Ustaz Mat dan Datuk duduk di satu sudut jauh dari ramai orang. Sempat Ustaz Mat bertanya di manakah tuan kedai kepada seorang pelayan.

Menurut pelayan itu, majikan mereka tidak ada di Malaysia, khabarnya sekarang berada di Selatan Siam untuk satu urusan. Mereka hanya memesan air teh panas. Apabila pesanan itu sampai, Ustaz Mat tiba-tiba menegah Datuk meminumnya dan menolak ke tepi gelas minuman tersebut. Berkerut dahi datuk apabila Ustaz Mat berbisik, “Banyak sangat Upin dan Ipin kat sini.”

Mereka menunggu sahaja sehingga kedai mula ditutup. Apabila kedai mula ditutup, Ustaz Mat meminta sehelai beg plastik. Dia bangun daripada duduknya lalu pergi ke sebuah meja, kemudian tunduk mencari sesuatu di bawah meja tersebut.

Tidak lama kemudian Ustaz Mat menarik keluar satu bungkusan kecil berwarna kuning. Terlilit benang hitam dan merah di sekeliling bungkusan itu. Dia pergi ke semua meja dan menjumpai beberapa lagi bungkusan kecil yang sama. Semuanya dimasukkan ke dalam beg plastik.

Sebelum balik Ustaz Mat sempat berpesan kepada semua, “Jangan beritahu tuan kedai apa yang kamu lihat sebentar tadi.”

Semuanya akur dengan permintaan Ustaz Mat walaupun masing-masing tertanya-tanya apakah dia bungkusan kecil berwarna kuning itu.

“Pelaris ke?” Datuk menebak ketika dalam perjalanan pulang.

Ustaz Mat hanya mengangguk dalam diam. Mulutnya terkumat-kamit sepanjang perjalanan. Datuk diam sahaja apabila melihat Ustaz Mat berkelakuan begitu. Namun datuk masih hairan, dalam kalangan ramai pekerja, mengapa Hidayah seorang yang terkena gangguan ini?

“Saya rasa Hidayah tersentuh dan teralihkan salah satu daripada bungkusan ini,” Ustaz Mat memecah kesunyian.

Tambah Ustaz Mat lagi, oleh kerana Hidayah telah menyentuhnya, makhluk yang menjaga bungkusan itu telah mengikutnya pulang. Itulah makhluk yang dilihat Haikal. Itulah juga makhluk yang mendorong perubahan tingkah laku Hidayah.

“Esok saya akan bakar semua pelaris ini. Insya-Allah, Hidayah akan pulih seperti biasa,” janji Ustaz Mat kepada Datuk setibanya di rumahnya.

Datuk tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mat di atas segala bantuannya. Benar seperti dikata, tidak lama kemudian, Hidayah pulih seperti biasa. Kedai itu pula ditutup.

Kenapa ini berlaku?

“Itulah akibatnya apabila tidak bergantung kepada Allah dalam hal rezeki, sebaik sahaja tempat pergantungannya tiada, rezeki itu akan berlalu pergi. Lebih malang, iman melayang pergi. Sunardi, kamu ni penulis… tulislah cerita ni supaya jadi pengajaran kepada orang lain,” perlahan datuk menyelitkan nasihat dalam menutup ceritanya kepada saya dalam pertemuan kami awal tahun ini.

(Sunardi Maulan, Kajang, Selangor.)