Anugerah ini yang diasaskan oleh beberapa badan korporat dan badan bebas di Thailand mendapat dukungan total daripada raja dan kerajaan Thailand.

Anugerah tahunan ini berjalan lancar dengan acara gilang-gemilang pada setiap hujung tahun.

Penulis-penulis terpilih dari negara ASEAN (selain tuan rumah), Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Laos, Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

Selain daripada mendapat hadiah wang yang lumayan, mereka diberi sambutan sebagai tetamu kehormat sepanjang acara itu berlangsung di kota raya Bangkok.

Penerima anugerah akan menginap di hotel mewah – The Oriental Hotel, Bangkok, sebagai tetamu istimewa. Mereka dibawa melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di samping pelbagai acara diatur dan masing-masing menyumbang kepada setiap aktiviti yang dijalankan.

Tidak dapat dinafikan bahawa anugerah S.E.A. Write Awards merupakan acara kerjasama dalam bidang kesusasteraan yang secara langsung merapatkan hubungan bukan sahaja di peringkat sesama negara, malah di peringkat komuniti masyarakat seni khususnya ‘sastera’ yang menjadi salah satu teras identiti juga ukuran kejayaan dan kemajuan sesebuah negara bangsa.

Sejak tahun 1979 sudah 36 orang penulis terkenal Malaysia telah dianugerahkan hadiah tersebut.

Bermula dengan A. Samad Said dan berakhir dengan Jasni Matlani pada tahun 2015.

Bermula dari tahun 2016, 2017 dan 2018 anugerah yang berprestij itu telah terhenti tanpa diketahui khabar beritanya hingga sekarang.

Kemangkatan

Umum mengetahui bahawa salah satu sebab adalah kerana kemangkatan Raja Bhumiphol Adulyadej – Raja Negara Thailand pada 13 Oktober 2016.

Ekoran itu, satu tempoh perkabungan diisytiharkan. Bagi menghormati kemangkatan baginda, semua acara bukan sahaja yang berunsur hiburan malah yang berunsur rasmi; seperti S.E.A. Write Awards telah ditangguhkan.

Bagaimanapun, upacara pengkebumian raja tersebut telah berlangsung pada 20 Oktober 2017 dan kini putera baginda, Raja Vajiralongkorn telah pun secara rasmi menaiki takhta.

Ketika Raja Bhumiphol uzur, Putera Vajiralongkorn atau adik baginda Puteri Sirindon bergilir ganti mencemar duli ke majlis penyampaian S.E.A. Write Awards.

Ini bermakna Raja Thailand mempunyai komitmen penuh ke atas anugerah yang berprestij ini.

Yang menjadi tanya sekarang ialah, apa sudah jadi dengan anugerah tersebut?

Adakah atas sebab-sebab tertentu, ia masih ditangguhkan kerana pihak penganjur mempunyai ‘format’ baru sebelum meneruskannya setelah tertangguh dari tahun 2016 - 2018?

Ataupun atas sebab-sebab penajaan, maka anugerah ini terhenti sehingga mendapat penaja baharu?

Sebenarnya ada banyak pertanyaan yang timbul. Hanya pihak penganjur dan mereka yang berkaitan di Bangkok dapat menjawabnya.

Di pihak Malaysia, Bahagian Anugerah dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka tentu ada maklumat yang boleh dikongsikan.

Dalam hubungan apa pun, penulis di Malaysia tentu ternanti-nanti bila anugerah tersebut akan diteruskan. Masing-masing mengharapkan ia tidak akan terhenti begitu sahaja.

Negara kita tidak kurang penulis yang berkelayakan untuk menerima anugerah tersebut.

Nama-nama yang layak mudah disebut seperti Mohd. Mansor Abdullah (M. Asyikin), Rejab Ismail (Rejab F.I.), Ahmad Sarju dan ramai lagi.

Apa yang penting pengiktirafan merupakan motivasi yang akan menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja kepada penulis yang menerimanya.

Malah mereka yang giat menghasilkan karya tentu menyimpan hasrat pada masa hadapan untuk menerima anugerah yang berprestij tersebut.

Kini terserahlah kepada pihak penganjur untuk memberi jawapan. Pengumuman rasmi perlu dibuat mengenai nasib anugerah ini.

Untuk itu semua penulis, bukan sahaja di Malaysia malah di semua negara Asean ternanti-nanti jawapan daripada pihak yang berkenaan.