Jika dahulu, aura cintanya kepada Rugina umpama rembulan yang terang menghiasi langit zulmat, isterinya kini umpama cahaya sang matahari yang menerangi jalan kehidupan. Tidak disangkanya, setelah enam tahun tidak bertemu dengan sang rembulan, setapak mungkin lagi, langkah Rugina berhenti di sisi tempatnya duduk dalam bilik persidangan yang serba sepi, sejuk dan terang disinari lampu-lampu kalimantang.

“Tidak boleh! Kamu berdua tidak boleh bersatu!” bentak ayahnya, ketika Aaron memberitahu tentang hubungannya dengan Rugina sewaktu makan tengah hari, beberapa tahun lalu. Ayahnya sudah seperti pengurus besar yang tidak bersetuju dengan cadangan yang diusulkan oleh pegawai eksekutifnya dalam suatu sidang mesyuarat tergempar.

Sebagai tetamu, Rugina hanya tertunduk diam bersebelahan Aaron, dengan perasaan yang bercampur baur, apabila mendengar bicara antara Aaron dan ayahnya di meja makan rumah mereka. Aaron yang melihat reaksi Rugina berasa hiba, apatah lagi ketika membayangkan perasaan kecewa yang dihadapi oleh kekasih hatinya.

Mendadak, lamunan pahit Aaron terhenti. Bagaikan ada daya tarikan seni, dia berpaling ke arah pintu utama mahkamah anak negeri. Suasana seakan tergantung serta-merta. Tanpa berkedip kelopak matanya, dia merenung kelibat Rugina yang baru sahaja muncul di sebalik daun pintu yang terbuka. Rugina, kelihatan masih seperti dahulu. Bagaikan rembulan yang menerangi langit zulmat. Begitulah perasaan Aaron apabila melihat langkah anggun seorang guru yang khabarnya belum berpunya, kemas dan bergaya.

Entah mengapa, bunyi hentakan pintu kayu mahkamah anak negeri yang tertutup itu, ibaratkan hentakan pada jiwa dan raga Aaron yang mengerang kesakitan. Kepedihan. Sepedih hati seorang ibu apabila bayinya diganggu oleh roh jahat, Rogon Gaiyah.

Sekelip mata, gambaran peristiwa lalu menerjah tiba. Beberapa bulan sebelum dia menyarungkan gaun, sementara Rugina, menyarungkan sinuangga. Kerana, hari itu ialah hari meraikan cinta mereka, di Kampung Mandahan, Papar.

“Perkahwinan kamu sepatutnya tidak dibenarkan sebab ada pertalian kekeluargaan yang dekat. Ini dianggap satu kesalahan yang dipanggil, mintarom. Sogit terpaksa dikenakan. Kena beri seekor kerbau, mengikut adat suku kaum Dusun.” Orang Tua yang mukanya berkedut-kedut namun penuh karisma, menjelaskan dengan sebaik-baiknya kepada keluarga Aaron ketika dalam upacara merisik di rumah keluarga Rugina.

“Faham, ketua,” kata Aaron sambil memandang ayahnya yang duduk bersebelahan dengan ibu Rugina dan para saksi yang hadir dalam upacara itu.

Ayahnya mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan kenyataan Orang Tua mereka. Ibu Rugina turut sama menganggukkan kepalanya. Manakala, Rugina yang menunggu di dalam bilik, hanya mendengar perbincangan itu sayup-sayup dari kejauhan. Hatinya turut menjauh.

“Selain itu, lelaki dan perempuan masing-masing kena sogit, seekor khinzir dan satu tajau yang harus kamu serahkan secara misulak antara sesama keluarga. Ia perlu dilakukan dengan sempurna sebelum bertunang,” jelas Orang Tua lagi yang mewakili mahkamah anak negeri di daerah Papar.

Meskipun kenyataan itu terasa amat pahit untuk ditelan pada ketika itu, Aaron mampu menganggukkan kepala sebagai tanda isyarat yang dia memahami implikasi pertunangannya.

Hubungan kekeluargaan antara Aaron dan Rugina ialah bersepupu. Di mana, datuk kepada Aaron dan Rugina telah berkahwin dua kali. Ayah Aaron merupakan anak sulung hasil daripada perkahwinan pertama, manakala ibu Rugina ialah anak sulung hasil perkahwinan kedua.

‘Demi hubungan persaudaraan yang sedia ada, biarlah aku berundur daripada cinta,’ getus Aaron dalam hatinya. Keputusan ini juga telah diredai oleh Rugina setelah mereka berdua berbincang dalam satu pertemuan, beberapa minggu sebelum hari pertunangan dilangsungkan.

Tiba-tiba, Aaron mengerutkan dahi. Benak fikirannya menumpu tajam. Terkenangkan tanah yang pada asalnya patut dimiliki oleh ibu Rugina, telah diserahkan secara terpaksa kepada ayahnya sebelum dia dan Rugina menyatakan hasrat untuk membatalkan pertunangan.

Alangkah, tanah seluas 100 ekar itu belum bergeran. Ia masih dalam proses permohonan tanah di Jabatan Tanah dan Ukur. Teringat dia bagaimana ibu Rugina terpaksa mengalah kerana tidak mampu menguruskan permohonan tanah tersebut.

Getus Aaron dalam hati, tertanya-tanya. ‘Kenapa ayah kepingin sangat dengan tanah yang bukan haknya itu? Kenapa tidak dibiarkan saja ibu Rugina yang uruskannya?’

Rentetan itu, ibu Rugina akhirnya bersetuju secara hibah, menyerahkan tanah tersebut kepada abang tirinya. Bersyarat, pertunangan antara Aaron dan Rugina dibatalkan. Ayah Aaron dengan leganya, bersetuju.

Didengari Aaron, ketika dalam upacara merisik dahulu, “harta yang paling indah ialah waktu dan kesempatan bersama insan-insan tersayang.” Yang dikatakan oleh ibu saudaranya kepada kekasihnya, sewaktu duduk di sofa rumah mereka.

“Selamat pagi semua,” ucap Pegawai Pembahagian Pusaka, mematikan ingatan Aaron serta-merta.

“Selamat pagi, tuan…” jawab Aaron, Rugina dan saksi-saksi, serentak.

“Terima kasih kerana hadir dalam sidang ini. Salam takziah di atas kehilangan saudara kita. Sebagai makluman semua,” ujar pegawai pembahagian pusaka, sebelum menghela nafas panjang. Sejurus, dia menatap wajah Aaron dan Rugina sambil menjelaskan bahawa wasiat yang akan dibacakan sebentar sahaja, telah ditulis sendiri oleh mendiang ayah Aaron pada 13 Oktober 2007 yang lalu, di hadapan dua orang saksi, selaras dengan Akta Wasiat 1959.

Setelah wasiat selesai dibacakan oleh pegawai itu, Aaron dan Rugina saling berpandangan. Isu tanah seluas 100 ekar itu bagaikan duri dalam fikiran Aaron dan dia yakin itu turut bagaikan duri dalam jiwa Rugina.

“Dari segi hukum, hibah ialah suatu amalan sunat yang digalakkan dalam agama Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat.” Kenyataan itu tiba-tiba melintas dalam benak hati Aaron pada ketika itu.

Aaron menghela nafas panjang, sebagai seorang anak tunggal yang telah berkahwin dengan seorang gadis warga Indonesia yang beragama Islam, sesungguhnya, Aaron berasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan isu pembahagian tanah pusaka daripada datuknya kepada ibu saudaranya dahulu.

Membulatkan tekad lalu diluahkan oleh Aaron, “Tuan, tanah yang diwasiatkan kepada saya itu, saya serahkan secara hibah kepada Rugina.”

Rugina dan para saksi yang hadir terkejut. Memandang dengan penuh hairan ke arah Aaron, yang matanya tidak berganjak memandang pegawai mahkamah itu. Sesungguhnya, niatnya ikhlas untuk mengembalikan hak milik tanah itu kepada Rugina, yang lebih berhak.

Sejurus selepas pembacaan wasiat itu, Pegawai Pembahagian Pusaka beredar dari bilik persidangan. Sekali lagi, Rugina berpaling ke arah Aaron. Dia seakan tidak mengerti alasan sepupunya yang sanggup menyerahkan semula tanah yang terlalu luas itu secara hibah kepadanya.

“Gina…kau okey? Sebenarnya, tanah itu milik ibumu. Dia serahkan kepada bapaku secara hibah dahulu,” kata Aaron kepada sepupunya yang masih kesima juga tergamam. Tambahnya lagi, “Pertelingkahan tentang tanah pusaka antara keluarga kita dahulu sudah dirancang sebenarnya. Tanah itu akan diuruskan oleh bapaku dengan syarat hubungan percintaan kita diputuskan.”

“Bagaimanapun, air yang dicincang takkan putus.” Perumpamaan yang disebut pada minggu terakhir sebelum putus nafas, oleh ayah Aaron dalam perbualan hati ke hati bersamanya. Ditambahkan, “Jangan pula kita putuskan tali persaudaraan menggunakan adat istiadat dengan cara yang memalukan… sepatutnya, yang jauh kita dekat-dekatkan, yang dekat kita rapat-rapatkan.”

Sedetik itu, sambil melangkah keluar dari bilik persidangan, Aaron memanjatkan syukur kepada Tuhan dalam sanubarinya, ‘terima kasih Tuhan, atas hikmah ini. Tanpa disedari, ayah telah menyelamatkanku dari melakukan kesilapan yang memalukan seluruh sanak saudara. Sangat benar, hati dan mataku pada ketika itu bagai dikaburi oleh semangat cinta remaja hingga sanggup melupakan dan menidakkan pantang larang suku kaumku.’

Diibaratkan sebuah syair nan indah, Aaron, dalam hatinya kini bagaikan dihurungi madu kelegaan yang bercampur baur rasanya. Mendoakan agar Rugina, sepertinya kini, telah memulakan hubungan persaudaraan baharu secara antarabangsa. Antara Malaysia dan Indonesia.


GLOSARI

Rogon Gaiyah - sejenis roh jahat dalam kepercayaan suku kaum Dusun

Gaung - baju tradisi suku kaum Dusun untuk lelaki

Sinuangga - baju tradisi suku kaum Dusun untuk wanita

Mintarom - sumbang mahram

Sogit - denda

Tajau - sebuah tempayan yang diperbuat daripada tanah liat

Misulak - pertukaran secara selang seli

Orang Tua - Ketua Kampung