Aku sedang khayal dengan duniaku di Apartmen Seri Lexus bersama Nureen. Lunak suaranya dan manis senyumannya membuatkan aku merasa dibelai mesra olehnya. Aku sanggup tidak menghantar ibu bapaku pergi menunaikan umrah di lapangan terbang semata-mata mahu menghabiskan masa dengan Nureen yang sedang meliuk-lentok di hadapaanku.Meskipun aku merasa serba-salah, namun hatiku tetap memujuk untuk menemui Nureen daripada menghantar ibu bapaku. Perasaan itu aku tepis pergi setelah figura Nureen merasuk fikiran, membuai syahwatku.

Masih terbayang di ruang mataku saat aku mendengar ibuku bersuara lembut kepadaku “Razif..., jangan tak hantar mama dan papa pergi ke umrah. Kalau tak diingatkan, tak pergilah nanti, sebab asyik-asyik kerja saja yang diutamakan.” Mama yang berwajah bening muncul di balik pintu mengingatkan aku kepadanya.

“Ya, tengoklah macam mana nanti, sebab kerja Razif yang sedia ada dekat pejabat sudah berlambak,”kata aku yang tidak ingin ibu memanjangkan bebelannya.

Lamunanku terhenti apabila kawasan sekitar kediamanku mula bergegar. Duniaku yang tadinya indah dan penuh warna-warni bagaikan bertukar menjadi tragedi apabila lantai rumahku di tingkat 12 tiba-tiba sahaja bergoyang. Ketika itu, aku terdengar bunyi teriakan yang dahsyat dari penghuni kawasan kediamanku, diselang-seli dengan tangisan, menyebabkan aku mula menyedari bahawa apartmen yang aku diami akan runtuh. Dalam keadaan yang huru-hara itu, Nureen terjerit-jerit seperti orang terkena histeria . Aku cuba menenangkan diri dan juga Nureen, namun Nureen tetap memberi tindak balas yang sama.

Gegaran mula menjadi lebih dahsyat apabila tiang apartmen mula tumbang.Aku berusaha menyelamatkan diriku dan Nureen. Namun, aku melihat Nureen telah terbaring dihempap tiang pada dadanya.Aku berusaha mengejutkannya, tetapi dia tetap tidak sedarkan diri. Tidak lama kemudian, lantai tempat aku berpijak runtuh dan aku terjerumus ke dalam satu lubang gelap yang tidak mempunyai jalan keluar.

Aku bagaikan berada di sebuah tempat yang menyaksikan bergelimpangan mayat penghuni Apartmen Seri Lexus. Di tepinya, mengalir sungai darah yang merah kehitaman, manakala pohon di sekeliling kelihatan mati.

Bau dari sungai darah membuatkan aku mula merasa mual. Dari atas tebing curam, aku berhati-hati mengatur langkah.Dalam keadaan huru-hara, aku terdengar jeritan di belakangku.Kelihatan Nureen di seberang sana, cuba memanggilku.

“Abang Raz, tolong selamatkan Nureen! Nureen rasa panas Abang Raz! Tolong!Abang Raz, tolong!” jerit Nureen dari seberang tebing.

Aku cuba menggunakan batang pohon yang mati untuk menyeberang ke tebing di sebelah sana, namun begitu batang pohon tersebut jatuh ke dalam sungai darah kerana tebing di seberang kelihatan semakin menjauh. Dalam aku cuba memikirkan cara untuk menyelamatkan Nureen menemui jalan buntu kerana kami dipisahkan sebatang sungai darah yang berbau hanyir, tiba-tiba muncul sekumpulan makhluk berjubah hitam. Makhluk tersebut mengheret Nureen dengan kasar sehingga menyebabkan darah berhamburan keluar dari rambut dan tubuhnya.

“Abang Raz! Tolong!Abang Raz!Tolong Nureen!” jeritan Nureen dari jauh kelihatan mula sayup kedengaran dan beransur hilang dibawa bayu yang berbau hanyir.

Suasana alam mula menjadi senyap semula sehingga kocakan air yang mengalir dari atas bukit kedengaran.Aku mula menjadi tidak keruan memikirkan cara Nureen diperlakukan oleh makhluk tersebut. Aku mula memanggil-manggil semula Nureen tapi tiada jawapan. Sedang aku dalam keadaan cemas, rupa-rupanya ketika itu ujian belum habis. Alam mula bergegar semula dan menyebabkan aku jatuh akibat gegaran yang sangat kuat. Cecair darah mula membasahi kepalaku, namun aku tidak mempedulikan kerana aku berusaha menyelamatkan diriku.

Aku cuba bangun dengan berpaut pada sebatang pokok berhampiran tebing. Walau bagaimanapun, aku tergelincir menyebabkan pautanku longgar. Setelah aku cuba beberapa kali, akhirnya aku berjaya mendaki tebing tersebut.Pemandangan sekeliling mula beransur-ansur hilang dan ditelan oleh kegelapan.Keadaan yang tadinya gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang apabila satu cahaya yang entah dari mana munculnya telah memancarkan sesuatu, umpama projektor yang memaparkan wajah ibu dan ayahku di hadapan Kaabah, seolah-olah meminta sesuatu kepada Sang Pencipta.

“Ya Allah, Ya Rabbi, Ya Rahim, hamba datang merafakkan rindu hamba kepadamu.Aku bersyukur kerana telah dicipta ke dunia ini dan menjalani ketentuanMu. Wahai Sang Pencipta, aku memohon seribu kekuatan demi melenturkan kalbu satu-satunya zuriatku agar amanah yang Kau kurniakan kepadaku mampu aku laksanakan dengan sebaiknya. Amin Ya Rabaal Alamin,” beningnya ayah merafakkan doa kepada Sang Pencipta dan tulusnya mutiara jernih saat ibu mengaminkan doa ayah.

Kemudian lembaga yang tadinya berjubah hitam yang telah memperlakukan Nureen dengan kasar muncul di hadapanku semula dan memegang cemeti, seakan-akan mahu dilibas ke tubuhku.

Dalam keadaan yang cemas itu, aku cuba melarikan diri, tetapi seakan-akan dataran yang menjadi tempat aku berpijak bagaikan semakin membawaku kepada makhluk tersebut.Makhluk tersebut menghampiri dan mencengkam tubuhku dengan tangannya yang tajam.

“Wahai manusia, mengapa kau tidak bersyukur dengan nikmat yang sedang kau perolehi, sedangkan ramai lagi yang layak memperolehi nikmat kasih sayang mereka daripadamu? Kenapa kau memilih untuk bergelumang dengan maksiat daripada mematuhi perintah Allah?

Bukankah kau telah mengangkat janji di hadapan Sang Pencipta bahawa kau akan patuh segala perintahNya dan menjauhi laranganNya sejak azali lagi?

Bukankah mematuhi ibu bapa itu merupakan tanggungjawab setiap insan?Tidakkah kau bayangkan betapa kecewanya hati orang tuamu saat kau memungkiri janjimu?Aku telah datang untuk memenuhi janji Allah untuk mencabut nyawamu kerana masamu di dunia ini telah tiba,” kata makhluk tersebut sambil menghampiriku.

Tubuhku menggeletar kerana memikirkan ajalku sudah hampir, sedangkan aku belum meminta ampun kepada kedua ibu bapaku. Aku mula merasa nafasku tercungap-cungap kerana oksigen di sekeliling mula menipis dan pemandangan cahaya tadi mula terang.

Aku bagaikan berada di satu tempat yang divakum. Pada ketika itu, aku merasa seperti menghadapi sakaratulmaut kerana ruang tersebut sudah tiada lagi udara. Di saat itu, baru terbayang di tubir mataku wajah tulus ayah tatkala aku menghampakan mereka.

Terngiang-ngiang juga di telingaku saat aku melafazkan janji kepada ibuku dan ayahku untuk menghantarnya menunaikan umrah yang akhirnya dimungkiri kerana tewas dengan pujukan syaitan laknatullah.

Saat itu mengalir juraian manik–manik putih dari mataku, bagaikan tiada henti.Aku merasa berdosa kerana mengabaikan kedua ibu bapaku. Pada ketika itu, aku bagaikan tiada rasa malu. Aku menangis di sisi makhluk tersebut sambil merafakkan doaku kepada Allah untuk meminta ampun .

“Ya Allah, aku pohon kepadamu..., ampunkan dosaku dan Nureen meskipun aku tahu aku telah melakukan banyak dosa kepadamu termasuk mengingkari perintahMu dan kedua ibu bapaku.Berilah aku kesempatan untuk berjumpa dengan orang tuaku Ya Allah meskipun di hujung sisa hidupku.Berilah aku peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka.

“Namun andai ini takdirnya, aku reda dengan ketentuanMu,” aku meminta dengan setulus hatiku dan menyerahkan nasibku sepenuhnya kepada Sang Pencipta.

“Bertaubatlah hai manusia, nescaya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang mengampunkanmu. Mintalah ampun kepada kedua ibu bapamu kerana reda Allah seiring dengan reda mereka. Jadilah hamba dan anak yang taat kerana kerana kau merupakan daripada umat yang terbaik,”kata makhluk tersebut.

Saat aku menoleh ke atas, makhluk tersebut sudah tiada lagi di sisiku.Wayang yang memaparkan wajah ibu bapaku juga telah padam seiring dengan makhluk tersebut. Muncul pula cahaya yang sangat terang sehingga menyilaukan pandanganku, diikuti dengan bunyi bising . Aku merasakan dadaku sangat sesak. Saat aku membuka mata, rupa-rupanya aku telah dihempap oleh tiang.

Kemudian aku melihat beberapa orang figura sedang membantu mengeluarkanku dari tanah runtuh di lokasi kejadian.

“Di sini ada lagi seorang yang masih bernafas.Masya–Allah hebatnya kuasa Allah.Sudah dua minggu tertimbus tetapi masih bernyawa. Ambil anduh supaya kita dapat papah dia keluar,” jerit seorang lelaki

“Baik, tuan,”jawab seorang wanita.

Ketika itu, aku mendongak ke horizon yang memaparkan warna ceria bagaikan memahami situasiku.“Terima kasih Ya Rabb, dengan peluang kedua yang kau berikan kepadaku. Ibu! Ayah! Raz akan bersatu dengan ibu dan ayah kembali dan Raz berjanji akan jadi anak yang baik,” aku bermonolog dan berdoa semoga orang tuaku selamat pergi dan kembali ke tanah air. Bunyi ambulans kemudian membelah kesibukan pagi itu.