Kejadian itu berlaku tiga tahun yang lepas. Ketika itu, aku bergelar seorang penganggur kerana baru saja menamatkan pengajian di universiti. Disebabkan tiada pendapatan, jadi masaku lebih kerap dihabiskan di rumah. Rutin harianku menonton filem, membaca buku, bermain gitar dan menjaga anak buah yang berumur setahun lebih. Sebelum terlupa, mendengar deham dan batuk ibuku, juga termasuk dalam salah satu rutin harian itu.

Hubungan aku dan ibu tidak begitu akrab. Kami tak boleh saja-saja berbual seperti pasangan ibu-anak yang lain. Kadangkala terasa diri seperti anak derhaka. Tapi, itulah hakikatnya. Setiap kali kami bersama, aku akan berasa kekok. Pernah juga aku memasang niat untuk mengajaknya berborak. Tapi, niat itu selalu terbatal kerana aku tak tahu apa yang hendak diborakkan.

Pada suatu petang, sewaktu aku sedang membaca buku, ibu memberitahu tentang penyakit yang sedang dihidapinya. Kata ibu, dia menghidap kanser tahap empat. Sebab itu, dia selalu batuk-batuk dan tidak larat lagi untuk membuat kerja-kerja rumah seperti dulu. Yang anehnya, kenyataan itu tidak membuat aku terkesan pun. Aku hanya diam mendengar dan kembali membaca buku seperti biasa.

Pada mulanya, aku fikir semuanya akan menjadi normal, mendengar deham dan batuk ibu setiap hari tanpa fikiran negatif. Namun aku salah. Semenjak mendengar pengakuan ibu, fikiranku selalu diserang kecelaruan apabila mendengar batuk ibu dari dalam bilik. Lebih-lebih lagi pada waktu malam; batuk itu akan menjadi lebih teruk, dan ia selalu mengganggu konsentrasi aku untuk menulis atau membaca. Sampai ke satu tahap, memang tak boleh tahan, aku akan sumbatkan fon telinga dan memasang white noise sekuat-kuatnya.

Kejamkah aku?

Semenjak disahkan menghidap kanser, ibu lebih banyak menghabiskan masa terbaring di atas katil. Tugas ibu seperti memasak, mengemas rumah dan menjemur pakaian diambil alih sepenuhnya oleh ayah. Saban hari aku melihat ayah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa tanpa jemu. Tidak pernah sekalipun aku mendengar dia mengeluh. Bagi aku, ayah adalah definisi seorang ketua keluarga, mampu untuk menggalas semua tanggungjawab tanpa berkira.

Ibu, walaupun sakit dan perlu berpantang, selalu saja meminta makanan yang pelik-pelik. Bukan pelik sebab apa, tapi sebab dia tak pernah makan pun sebelum itu. Misalnya, sushi. Tapi sebab tak mahu hampakan hati ibu, kami sekeluarga turutkan juga. Kalau perlu dibeli, biasanya kakak dan abang akan belikan. Kalau perlu dimasak, ayah pula akan mainkan peranan. Cuma aku saja kurang terlibat dalam hal ini. Kerana ibu, sejak dari dulu lagi, memang tak gemar meminta aku untuk buat itu dan ini. Kata kakak dan abang, ibu sebenarnya terlebih manjakan aku. Sebab itulah kalau ada apa-apa kerja, mesti kakak dan abang yang akan disuruh.

Pada suatu petang, ibu tiba-tiba mengidam nak makan aiskrim McDonald’s. Tiada siapa-siapa di rumah ketika itu kecuali aku, ibu dan anak buahku.

“Nantilah,” jawab aku. “Tunggu akak balik.”

Bukan aku tak nak turutkan permintaan ibu. Kalau aku keluar, tak ada orang boleh menjaga anak buahku. Kudrat ibu memang tidak cukup. Anak buahku sangat aktif dan lasak. Aku bimbang kalau ditinggalkan dengan ibu, makin bertambah teruk pula keadaan ibu.

Namun, permintaan itu tidak tertangguh sehingga kakak aku pulang, sebaliknya tertangguh untuk beberapa hari sebab aku fikir, permintaan itu bukannya penting sangat pun. Setakat aiskrim, bila-bila masa boleh beli.

Tapi, masa tidak boleh dibeli.

Bak kata pepatah, bertangguh itu pencuri masa. Dan sepanjang tempoh bertangguh itu, tidak pernah sekalipun aku tersedar akan kesalahanku.

Aku terus-terusan menjadi pencuri dan melupakan permintaan mudah ibu. Sehinggalah pada suatu malam, ketika pulang dari melepak di kedai mamak, aku lalu di hadapan sebuah McDonald’s. Ingatan tentang permintaan ibu sekonyong-konyong timbul di fikiranku.

Tapi aku tidak ada terfikir pula untuk berhenti singgah kerana aiskrim tidak dijual pada lewat malam. Lagipun, ibu sudah tidur. Tiada gunanya juga kalau aku berjaya membeli aiskrim pada waktu itu.

“Bila nak belikan aiskrim untuk ibu?”

Soalan itu diajukan ibu pada keesokan harinya. Aneh. Dia seolah-olah tahu akan kejadian malam sebelumnya.

“Kejap lagi orang pergi beli.”

Sudahnya, aku tak beli-beli juga aiskrim itu kerana sepanjang hari terbongkang lena di atas katil. Bila sedar, aku tak ingat apa-apapun tentang aiskrim. Yang aku ingat, aku perlu segera mandi dan bersiap untuk keluar bermain badminton.

Pulang dari dewan badminton, aku lalu lagi di hadapan McDonald’s. Kali ini lebih awal. Di laluan pandu lalu tiada orang. Jadi, aku boleh dapat aiskrim itu sekejap saja.

Masalahnya, ketika aku membuka dompet cuma ada dua keping syiling 20 sen. Baki duitku yang lain sudah habis digunakan untuk membayar sewa gelanggang badminton dan membeli bulu tangkis. Boleh saja aku ke bank dan keluarkan duit. Tapi aku tak buat sebab malas dan…

Setakat aiskrim, bila-bila masa boleh beli.

Keesokan harinya, ibu tidak keluar dari bilik. Aku mengintai dari celah pintu yang sedikit terbuka. Ibu tampak sangat tenat. Wajahnya lesu dan tidak bermaya. Terbaring lemah di atas katil sambil terbatuk-batuk. Namun, kondisinya berubah 180 darjah menjelang senja.

“Dik, nah duit.” Ibu hulurkan not 10 ringgit. “Kejap lagi belikan aiskrim tau?”

Daripada seorang yang lemah dan tidak bermaya, dia tiba-tiba menjadi seorang yang cergas dan ceria. Katanya, dia ingin memasak makanan kegemaranku untuk makan malam.

Selesai makan malam, aku bergegas ke McDonald’s. Aku beli dua cawan Sundae Vanilla; satu untuk ibu dan satu lagi untuk anak buah aku. Dalam perjalanan pulang, telefon pintarku berdering. Panggilan daripada kakak. Di hujung talian, suaranya tenang dan sayu.

“Dik,” katanya. “Ibu dah takde, dik.”

Aku tak mampu berkata apa-apa. Seolah-olah ada sesuatu yang tersekat di kerongkong. Suara kakak masih kedengaran, tapi tidak jelas. Yang jelas pada waktu itu hanyalah dua cawan aiskrim penuh dengan deraian harapan.

“Abah!”

Astaghfirullah. Makin liar pula nostalgiaku kali ini. Nasib baik lampu isyarat masih merah. Dan mujurlah anakku menegur. Jika tidak, makin jauhlah aku dibawa arus masa lampau.

“Abang tak apa-apa ke?” tanya isteriku di sebelah.

Aku menguntum senyum. Aku tak mahu buat sesiapa risau sepertimana aku pernah merisaukan arwah ibu. Aku mahu nampak kuat dan bertanggungjawab seperti arwah ayah. Tapi, keadaan mentalku ini semakin lama semakin parah. Aku bimbang kalau suatu hari nanti, aku tak mampu lagi untuk mengawal kesedaran dan terus hilang dalam nostalgia sendiri.

“Abah,” tegur anakku. “Boleh ke tak?”

Lampu isyarat bertukar hijau. Aku melepaskan brek dan menekan pedal minyak. Kereta meluncur perlahan-lahan di bawah warna-warni neon Bandaraya Melaka. Dari jauh, huruf M gergasi tersergam indah diterangi neon berwarna kuning.

“Boleh apa?” tanya aku.

“Abang ni,” sampuk isteriku. “Abang berangan apa tadi?”

Aku hanya mendiamkan diri. Berpura-pura fokus memandu. Aku cuba mengingat semula apa yang dikatakan anakku. Tapi…

“Kan tadi Aidil kata dia nak makan aiskrim McD…?”

Aku tersentak seketika. Liur direguk. Perit. Terasa seolah-olah kerongkong berpasir. Tanpa berfikir dua tiga kali; aku memberi signal, memulas stereng dan meluncur masuk ke laluan pandu lalu.