“Makanlah dedak ini, ayam dan itikku. Makan sehingga kenyang. Rezeki aku, rezeki kamu semua. Aku bukan ada isteri lagi, aku sudah sendiri,” itulah omelan Ayah setiap kali ditabur dedak di belakang rumah dalam kedudukan mencangkung, sebelah tangannya menongkah dagu, berkain pelikat dan tidak berbaju. Ayah tabur dedak-dedak itu dengan penuh rasa kasih, rasa sayang.

“Jangan risau ayam dan itikku, aku tidak akan menyembelih kamu. Dedak ini makananmu. Tak mungkin aku mahu menganiaya kamu semua,” seperti sudah menjadi satu janji yang Ayah luahkan buat ternakannya. Ayah tahu, kalau dia menyembelih seekor ayam pun, belum tentu dia mampu untuk makan seorang diri. Terlalu banyak. Duit yang Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul kirimkan setiap bulan masih banyak. Tidak habis mahu digunakan seorang. Ada yang Ayah simpan sahaja, ada yang Ayah habiskan dengan bersedekah dan selebihnya Ayah gunakan buat membeli dedak untuk ayam dan itiknya.

Kalau Ayah bosan, pasti sahaja ada kerja tukangan yang Ayah buat. Ayah betulkan reban-rebannya, Ayah bina pagar di sekeliling rumah, Ayah buat meja dan bangku kayu untuk diletakkan di halaman rumah. Ayah memang handal bertukang kayu. Rumah yang Ayah duduki sekarang pun, Ayah yang bina sendiri sewaktu kudrat Ayah masih muda remaja. Ayah bukan orang yang berpelajaran tinggi. Setakat darjah lima sahaja. Cukuplah pandai membaca menulis sahaja, bak kata Opah dengan Tok dahulu. Belajar tinggi-tinggi, kalau tidak pandai ilmu kemahiran tidak boleh hidup nanti. Setidak-tidaknya kena tahu cara memaku, memahat, bertukang dan apa sahaja kemahiran untuk hidup.

“Anak-anak aku nak balik minggu depan. Semua bersemangat mahu mengundi. Inilah masanya kita nak mengubah negara. Aku tak ada masalah. Aku mengundi atau tidak, hidup dah tak lama. Entah esok lusa aku pergi. Kalau aku pergi, kamu pandai-pandailah berdikari ayam, itik. Jadi macam anak-anak aku. Semua berjaya di kota sana, hidup mewah,” panjang lebar Ayah menasihati ayam dan itiknya walau tidak pernah diendah. Yang mereka tahu, terus mematuk dedak-dedak yang bertaburan untuk dimakan. Selagi ditabur, selagi itulah dimakan.

Bukannya Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul tidak pernah mengajak Ayah tinggal bersama mereka, tetapi Ayah yang menolak. Katanya, kudrat dia masih kuat. Dia mahu terus tinggal di kampung. Ayam dan itiknya perlu dijaga. Rumah itu juga mesti dijaga. Biarlah Ayah tinggal seorang diri, dia lebih selesa. Ayah tidak mahu menyusahkan anak-anak, tidak pula mahu membebankan sesiapa. Sebab itulah anak-anak Ayah berjaya. Hidup dalam keredaan Ayah dan mereka menghormati keputusan Ayah. Pun begitu, tidak pernah sekalipun kebajikan Ayah terabai. Mereka kirim duit selalu, makan minum Ayah dipastikan terjaga, pakaian Ayah terpelihara dan kesihatan Ayah sejahtera. Tahulah mereka berganti giliran pulang ke kampung setiap minggu. Kalau sudah rutin, tidak langsung rasa bebannya. Begitulah rasa manisnya kalau faham makna amanah dan tanggungjawab.

“Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul akan balik ke kampung nanti, Ayah. Cutinya panjang. Musim orang mengundi,” ujar Kaklong Tipah dalam panggilan telefon semalam. Ayah hanya mengangguk. Gembira juga kalau ada anak cucunya di rumah. Bolehlah dia bawa Khaira, Amira dan Lutfi, anak Kaklong Tipah pusing keliling kampung. Dapatlah dia bawa Maisarah, anak Angah Osman memberi makan ayam dan itiknya bersama-sama. Bolehlah dia dukung Firdaus, anak Ucu Epul yang baru hadir dalam keluarga mereka. Ayah sayang cucu-cucunya. Kalau mereka balik, sayang kepada cucu menjadi nombor satu. Ayam itiknya menjadi nombor dua.

“Boleh Kaklong Tipah tolong belikan Ayah baju Melayu baharu. Ayah nak warna putih. Samping hitam dan songkok jangan lupa. Ayah nak pakai hari mengundi nanti,” pinta Ayah kepada Kaklong Tipah. Semangatnya luar biasa sungguh. Mahu sepersalinan lengkap untuk pergi mengundi nanti. Padahal sudah masuk kali ke-10, Ayah mengundi. Sebelum ini elok sahaja Ayah pakai baju-baju hariannya. Tidak pernah pula meminta yang pelik-pelik.

“Buang tabiat agaknya Ayah ni. Bersemangat sungguh mahu mengundi. Siap nak berbaju Melayu lengkap,” Kaklong Tipah, Angah Osman dengan Ucu Epul sekadar mengiyakan sahaja. Geli hati dengan permintaan Ayah. Tinggi benar semangat nasionalisme Ayah mahu mengundi. Padahal sebelum ini, tidak pernah pula Ayah sibuk dengan urusan politik. Saat melihat bendera berkibaran dengan pelbagai warna politik, dengan kuningnya, dengan ungunya, dengan merahnya, Ayah sekadar memandang. Tidak mengulas, tidak ambil peduli.

Seusai Subuh lagi Ayah sudah bersiap-siap. Melihat Ayah memakai baju Melayu putih lengkap dengan samping dan bersongkok, tetap segak bergaya seperti orang muda. Pada pinggangnya disisipkan sebentuk keris lekuk sembilan yang memang menjadi kesayangan Ayah sejak dahulu. Warisan simpanan yang tidak akan Ayah tinggalkan.

“Ayah pergi sendiri,” itu sahaja ucap Ayah sebelum meninggalkan rumah pada awal pagi itu. Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul tidak menghalang. Memang perangai Ayah begitu. Dia gemar buat keputusan sendiri. Biarlah dengan motor usangnya sekalipun, asalkan sampai tempat yang dituju. Dibiarkan Ayah yang bersemangat itu. Berseri-seri wajahnya, tersenyum lebar sahaja.

Tengah hari itu Ayah balik ke rumah. Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul masing-masing berada di tengah ruang tamu. Ralit menonton televisyen bagi mendapatkan informasi terkini berkaitan proses pilihan raya pada hari itu.

“Balik pun Ayah. Sudah selesai mengundi?” Angah Osman sekadar berbasa-basi. Ayah terus menaiki tangga rumah. Berhenti di daun pintu.

“Tak pergilah,” jawab Ayah bersahaja seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. Kaklong Tipah, Angah Osman dan Ucu Epul tergamam. Masing-masing terkejut dengan jawapan Ayah. Masakan keluar awal pagi, masih belum pergi mengundi.

“Habis tu Ayah ke mana?” Ucu Epul terus bertanya. Mahukan kepastian daripada Ayah. Ayah mengangkat tangannya, ditunjukkan tiga jarinya yang merah berinai dalam sengih tersipu-sipu malu. Tiba-tiba muncul seorang wanita ayu, berpakaian sedondon dengan Ayah. Semua bola mata menjegil.

“Ini emak muda kamu semua.”