“Dapat tengok malam begini pada musim sejuk, rasanya memang lain daripada lain.” Hatiku berdetik. Cuaca pun gembira dengan pemergianku agaknya.

Cardiff memang cantik namun sayang, tempat yang disangka dapat memberi hidup kepadaku tetap membunuhku. Botol beer yang entah ke berapa, kuteguk. Siapa sahaja yang perlukan kau.

Aku berdiri dengan kaki yang lemah, kulihat ke bawah,

“Ibu..., Fakhrul datang.”

Tingkat 13

“Fakhrul, solat?” Senyuman ibu yang lembut masih segar dalam memoriku.

“Datang ibu,” Imej tujuh tahun Fakhrul berlari ke arah ibu yang siap bertelekung dengan sejadah di hadapan. Dari kecil, ibulah ayahku, ibulah imamku.

“Ibu, siapa ayah Fakhrul? Bagaimana ibu boleh kenal dia?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.

“Kenapa tiba-tiba Fakhrul tanya pasal ayah?”

“Tak bolehkah ibu? Sudah 15 tahun, Fakhrul tidak pernah tanya tentang ayah.” Aku menundukkan kepala tidak mahu biadap dengan wanita mulia itu, namun aku perlu tahu. Perlu.

Ibu terdiam lama.

“Macam yang Fakhrul tahu, nama dia Izzat. Pertama kali ibu berjumpa dengan dia semasa kami mula-mula belajar di Universiti Malaya dahulu. Ibu bapanya menentang perkahwinan kami. Dan kenapa dia pergi, ibupun tidak tahu. Sayang..., ingat ni. Apa pun jadi, jangan cari dia. Fakhrul akan terluka nanti.” Ibu kemudian berlalu pergi.

Tingkat 11

Kulihat banglo mewah di hadapanku. Besar betul rumah ayah.

Aku mahu menatap wajahnya dan mahu dia menjawap persoalan di dalam mindaku.

Ke mana dia selama ini?

Seorang mak cik dalam pertengahan usia 50-an sedang berjalan masuk ke arah banglo itu sambil menjinjit barang dengan kedua-dua belah tangannya.Aku terfikirkan satu idea.

“Terima kasih, nak. Mak cik sebenarnya tak larat nak bawa barang banyak-banyak ni.” Aku mengikut wanita itu dari belakang. Aku terpegun saat melangkah masuk ke dalam rumah itu kerana ada sesuatu yang menarik perhatianku.

“Siapa itu mak cik?” Aku menggumam perlahan. Hatiku sedikit berdebar.

“Inilah keluarga Profesor Riyaz. Itu Dr. Halina, isteri beliau. Anak lelaki sulung, Tuan Izzat, dan itu, Puan Qaseh.” Kini mataku hanya memandang pada wajah anak sulung itu. Jadi, ini wajah ayahku.

“Semua ada hari ini kecuali Tuan Izzat. Sudah lima tahun dia menetap di UK.” Aku merasakan kekecewaan bersarang di hatiku. Aku cuba memuat naik imej ayahku di minda.

TINGKAT 9

Aku melihat pantulan wajahku pada cermin hotel itu. Kenapa air mata masih bersisa di pipiku? Takutkah aku? Takutkah aku dengan kematian? Sama takutkah rasanya ketika berita kematian ibu sampai kepadaku?

“Kami minta maaf. Allah lebih sayangkan ibu awak.” Duniaku gelap gelita. Hidup tanpa wanita yang ibarat nyawaku itu, tidak pernah terbayang olehku.

Di ruang hospital itu, aku meraung.

“CONGRATULATIONS. YOUR APPLICATION TO CARDIFF UNIVERSITY IS ACCEPTED.” Fakhrul datang..., ayah.

TINGKAT 7

“Hai. Awak orang Malaysia?”Seorang gadis menghampiriku. Aku mengangguk.

“Saya, Sofea. Sayapun orang Malaysia.” Dia tersenyum. “Ibu saya orang British, ayah saya orang Melayu.”

“Ya, saya kenal awak. Err, saya, Fakhrul.” Dia menghulurkan tangan ingin berjabat. Ya, apa yang dia tahu tentang hukum? Aku sambut tangan itu, sekali ini sahaja.

TINGKAT 3

Kakiku mula berasa lemah. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang aku sedang lihat.

“Apa nama penuh awak, Sofea?”

“Sofea Izzat Mcwilson. Kan saya sudah pernah beritahu?” Bagai hali lintar, berita itu sampai kepadaku.

“Jadi..., inilah Fakhrul. Sofea banyak bercerita pasal kamu.” Bapa Sofea memandangku tepat.

“Mariam binti Muhammad. Ingat nama ini?” Wajah lelaki itu serta merta berubah.

“Bagaimana awak boleh kenal perempuan itu?” Wanita yang aku kira ibu Sofea pula bersuara. Pandanganku masih melekat pada wajah lelaki itu.

“Dia ibu saya, isteri encik yang encik tinggalkan.” Perlahan, namun aku tahu cukup untuk didengari semua termasuk Sofea yang sudah berada di tepi meja itu.

“Jadi..., kau anak aku?” Dia tersenyum sinis.

“Kenapa kau rasa aku ayah kau?” Aku menarik kolar kemeja lelaki itu, menolak dia ke dinding.

“Jangan kurang ajar!” Keadaan di restoran mulai riuh.

“Kau tak periksa surat beranak kau? Tak sampai empat bulan lepas kami berkahwin, kau dilahirkan. Kau tak boleh berfikir?!” Cengkaman tanganku semakin kuat. Wajahnya hampir bertukar biru.

“Sudah Fakhrul, tolonglah.” Sofea cuba menghentikan aku.

Dan kemudian aku keluar, berlari. Entah dari apa, akupun tidak pasti.

TINGKAT 1

“Ibu..., Fakhrul terlalu rindukan ibu. Ibu pernah cakap yang kita semua akan mati juga. Apa kata Fakhrul cepatkan sahaja proses itu?” Aku keluar dari ruang Senghennydd Hall dan menuju ke arah bangunan tinggi yang terdekat denganku, Hotel Mercure.

“Fakhrul...,.” Ibuku yang bertelekung serba putih menghulurkan tangan mahu memimpin tanganku.

“Fakhrul tak tinggal solatkan sepanjang ibu tiada?” Solat? Sejak melangkah ke bumi asing ini, boleh dikira dengan jari, berapa kali sahaja aku meletakkan kepala menyembah Tuhan. Ya, terlalu sibuk dengan Sofea mungkin. Aku geleng.

“Kenapa sayang? Ibu pernah cakapkan, jangan tinggal solat. Itu senjata kita.”

“Kenapa ayah tidak mahu mengaku Fakhrul anaknya?”

“Ibu minta maaf, ibu tidak mahu Fakhrul membenci ayah Fakhrul. Memang betul kami berkahwin setelah ibu mengandungkan kamu kerana dia yang telah merosakkan kehormatan ibu. Ibu merayu dengannya untuk berkahwin dengan ibu, kemudian dia boleh tinggalkan ibu kerana ibu hanya mahu kamu mendapat tempat dalam masyarakat, supaya surat beranak kamu berbapa.”

“Ibu..., Fakhrul sudah tidak larat hadapi dunia ini. Fakhrul nak ibu.” Aku merengek-rengek seperti anak kecil, namun aku tidak peduli.

“Fakhrul nak dengan ibu? Dengan cara bunuh diri? Kalau macam itu, sampai bila-bila pun Fakhrul tidak dapat bersama ibu. Fakhrul ingat, dunia hanya satu perjalanan dan mati satu destinasi? Tidak, mati adalah permulaan, permulaan kembali kepada-Nya, kepada sesuatu yang selama-lamanya. Kembali kepada Allah SWT. Jangan putus asa, sayang. Cukuplah Allah bagiku. Fakhrul ingatkan?”

“Tapi Fakhrul sudah tidak mampu diuji sebegini. Tidak sayangkah Allah pada Fakhrul?”

“Sebab sayang, Allah uji. Dia tidak akan menguji hamba-hambaNya melebihi kemampuan mereka. Kembalilah, sayang.”

Sudah terlambat ibu, Fakhrul sudahpun membuat terjunan ini.

Ya Allah, apa yang aku buat ni?!

GROUND FLOOR

MERAH. Itu warna darah.

“Fakhrul, kenapa awak di luar ni? Mari masuk.” Suara Azri kudengari dari belakang.

“Boleh saya tanya sesuatu, Azri?”

“Tanyalah, Fakhrul.”

“Kenapa Allah SWT beri kita ujian?”

Lama dia diam. “Kerana Dia sayangkan kita. Dunia ini hanya sebuah perjalanan dan setiap liku yang kita hadapi, itu bekalan untuk kita sampai ke destinasi kita kelak. Baik bekalan kita, maka baiklah pengakhiran kita. Dalam mencari bekalan yang baik, Allah SWT hadirkan ujian sebagai satu cara untuk kita buktikan kasih sayang kita kepadanya.” Air mata mulai mengalir di pipiku.

“Allah akan ampunkan sayakah? Seorang hamba yang cuba membunuh diri. Satu dosa yang tak terampun.”

“Tapi awak masih di sinikan? Maksudnya Allah masih beri awak peluang untuk bertaubat. Tiada dosa yang lebih besar daripada keampunan Allah SWT.” Azri memegang bahuku.

“Hidup saya dah musnah. Saya cuba bunuh diri. Saya akan dibuang daripada universiti, MARA akan tarik biasiswa. Saya tidak punya sesiapa. Ayah saya sendiri tidak mengaku anak. Kekasih saya….”

“Habis itu sahaja nilai hidup awak? Belajar, keluarga, perempuan? Allah tiada nilai? Mana yang awak letak sebagai utama dalam hidup? Awak tak anggap ini suatu peluang dan rahmat Allah nak bagi kepada awak?!” Suara Azri sedikit mengeras. Tangisanku semakin jelas kedengaran.

“Sudahlah tu Fakhrul. Awak masih muda. Banyak lagi dalam hidup ini yang perlu awak kecapi. Marilah masuk.” Azri sudah mula menolak kerusi rodaku masuk ke dalam bangunan hospital. Aku mengelap air mata yang bersisa.

“Oh, awak nak tahu satu perkara? Kebanyakan bangunan tidak mempunyai tingkat ketiga belas. Ianya dipanggil ‘tingkat berhantu’.” Aku segera berpaling memandang wajah Azri. Dia tersenyum dengan lukisan senyuman yang tidak dapat aku tafsirkan.