Kementerian itu dalam kenyataan berkata, pihaknya juga memperuntukkan sebanyak RM25.7 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf 135 buah-buah sekolah (termasuk sekolah daif) yang melibatkan kerosakan struktur dan pembaikan kecil di negeri berkenaan mengikut tahap kerosakan sekolah.

Menurut kementerian itu lagi, penyaluran peruntukan tahun ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan sekolah daif juga sedang dilaksanakan.

“Malah, untuk pembangunan dan menaik taraf sekolah-sekolah daif, pelaksanaan projek akan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya dan pemilihan serta pelantikan kontraktor adalah mengikut tender terbuka.

“Pihak kementerian juga tidak akan berkompromi sebaliknya akan mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak terhadap mana-mana kontraktor yang dilantik gagal melaksanakan projek mengikut masa yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Tambah kementerian berkenaan, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pembangunan sekolah di semua negeri khususnya di Sarawak demi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Kementerian juga sentiasa mengamalkan prinsip kerjasama membina dengan kerajaan negeri Sarawak dalam memastikan kemudahan pendidikan yang kondusif disediakan untuk murid-murid.

Malah, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sendiri telah menyatakan komitmen untuk menangani sekolah-sekolah daif di Sarawak dan juga seluruh Malaysia. -UTUSAN ONLINE