Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, program itu yang dijenamakan semula daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) kini lebih menyeluruh dan tidak tertumpu kepada bidang serta kumpulan tertentu sahaja.

“Bersandarkan matlamat ‘tiada belia terpinggir’, Protege kini merupakan satu program latihan keusahawanan dan kebolehpasaran.

“Jika dahulu kita fokus kepada kebolehan pasaran graduan, tetapi kali ini kerajaan mengubahnya daripada pencari pekerjaan kepada pencipta peluang pekerjaan menerusi bidang keusahawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Protege Duopharma Biotech Berhad di sini hari ini.

Menurut Wan Suraya lagi, pihak kerajaan mahu bakal para belia di negara ini dapat digilap dalam pelbagai aspek sama ada dalam di bidang perniagaan, keusahawan dan pemasaran.

Katanya, menerusi Protege, pihak kerajaan dapat mengenalpasti cabaran dan masalah dihadapi para belia dan seterusnya menyelesai kekangan dihadapi mereka selama ini.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, kita ada banyak agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan daripada di situ, kita boleh membantu memperkenalkan saluran pembiayaan sedia ada.

“Kerajaan mahu para belia hari ini mendapat peluang dengan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan semata-mata, tetapi juga menceburi cabang lain seperti perniagaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE