Presiden Persatuan NutrisiMalaysia (NSM), Dr. Tee E. Siong berkata, sejajar dengan usaha itu, pihaknya melancarkan program pendidikan probiotik bermula di sekolah melalui kempen dan pengetahuan untuk makan secara sihat dan aktif setiap hari sebagai kunci amalan gaya hidup sihat.

“Melalui program itu, pihak­nya juga memberi kesedaran bahawa setiap individu tidak seharusnya mengabaikan kesihatan usus walaupun masalah berkaitan sistem penghadaman tidak mengancam nyawa namun tetap mengganggu kehidupan.

“Fakta Kesihatan 2017 Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini mempunyai tahap kesihatan usus yang kurang memuaskan dengan penyakit berkaitan usus dilaporkan sebagai punca keempat kemasukan ke hospital swasta dan menjadi punca ketujuh kemasukan ke hospital awam serta punca keenam kematian di kedua-dua jenis hospital,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Program Pendidikan Probiotik di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Objektif program itu adalah untuk membantu masyarakat mem­punyai pemahaman lebih men­dalam tentang probiotik dan bagaimana ia boleh mem­pe­ngaruhi kesihatan usus di sam­ping merungkai sebarang salah faham berkaitan produk probiotik.

Untuk itu, pihaknya mengedarkan buku Probiotik: Bakteria Baik untuk Kesihatan yang boleh didapati dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Cina.

Informasi tentang kesihatan usus yang mudah difahami oleh orang awam juga boleh diperoleh secara percuma di laman rasmi www.nutriweb.org.my/probiotics.

Selain itu, poster-poster infografik dengan gaya visual yang menarik juga dipaparkan di kli­nik dan sekolah terpilih.