Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, bagi keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku telah berjaya melahirkan 5 orang pelajar cemerlang semua A.

Katanya, kejayaan itu mele­takkan SMK Bandar Chiku pada kedudukan pertama di daerah ini.

“Lonjakan prestasi ini menjadi petunjuk usaha Kementerian Pendidikan yang berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-26 di SMK Bandar Chiku, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Pengetua SMK Bandar Chiku, Omar Ab. Rahman.

Tengku Razaleigh dalam pada itu berkata, sekolah di daerah ini bukan sahaja menunjukkan prestasi mem­banggakan apabila lulus penuh dalam peperiksaan, malah kehadiran pelajar ke sekolah juga didapati semakin meningkat.

“Saya mengucapkan sya­bas kerana keputusan PT3 lalu merupakan rekod yang paling cemerlang bagi SMK Bandar Chiku dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Seramai tiga orang te­lah mendapat 11 A dan dua orang mendapat 10 A. Saya yakin de­ngan komitmen guru dan murid, sekolah lain juga akan mencapai kejayaan,” katanya.