Perasmian dan penyampaian diploma disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad di kampus institusi itu di Bukit Bauk dekat sini.


Sidang kedua bagi lulusan sesi Disember 2015 dan Jun 2016 itu akan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa esok.


PSMZA menawarkan sembilan program di peringkat diploma dan satu program pradiploma melibatkan empat jabatan induk iaitu Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Teknologi Maklumat & Komunikasi.


Kamel dalam ucapannya berkata, graduan lepasan politeknik seluruh negara menjadi pilihan majikan khususnya pemain industri kerana kemahiran mereka relevan untuk memenuhi keperluan semasa.

Menurut beliau, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menumpukan pembangunan pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), PSMZA turut mengorak langkah ke hadapan dan menyumbang lebih ramai graduan berkemahiran.

“PSMZA mencatat kejayaan membanggakan apabila kadar kebolehpasaran graduannya mencecah 96.03 peratus tahun lalu, dan ia satu peningkatan besar berbanding 90.23 peratus sebelumnya,”ujarnya dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah PSMZA, Pauzi Ibrahim.


Beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan peranannya, dan menterjemahkan hasrat kerajaan, institusi itu telah mendapat pengiktirafan lima bintang prestasi pencapaian terbilang bagi KPI Politeknik 2016.


“PSMZA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petronas merangkumi latihan kepakaran mengikut hidang kepada tenaga pengajar politeknik dan bantuan peralatan.


“Di bawah projek inovasi kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu “Public Private Research Network (PPRN), PSMZA berjaya menyerahkan tiga peralatan dihasilkan oleh penyelidiknya untuk dimanfaatkan oleh kepada usahawan tempatan,”ujar beliau. - UTUSAN ONLINE.