Pemuda itu sifatnya progresif dan buah fikirannya segar. Kalau idea pun basi, jangankan dunia, reban ayam pun belum tentu tergoncang.

Sebab itu apabila membaca laporan akhbar tentang usul pengembalian program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh perwakilan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) semalam, penulis menggeleng kecewa.

PPSMI sudah enam tahun disemadikan, jasadnya mungkin sudah hancur berulat, tiba-tiba datang usul mahu baca jampi menghidupkannya semula.

Tidak perlu diulang hujah menolak PPSMI. Ia sudah cukup mantap. Sudah berulang-ulang disebut dalam ucapan, diabadikan dalam kajian.

Kita semua setuju dengan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini yang lemah, terutamanya orang Melayu tetapi tidak ada idea lainkah?

Sudah 15 tahun sejak ia dilaksanakan secara terburu-buru dahulu namun sehingga kini, seolah-olah hanya PPSMI sahaja boleh buat orang Malaysia bijak bahasa Inggeris.

Mungkin Armada boleh cadangkan supaya pedagogi subjek Bahasa Inggeris dikaji semula atau pentaksirannya dirombak semula. Banyak lagi langkah lain yang boleh diambil.

Jika hanya mengitar semula idea Pengerusi mereka, ini bukan Armada, ini setaraf rakit buluh saja. - UTUSAN ONLINE