MARANG 13 Feb. - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang yang baharu di mukim Rusila di sini yang bakal menjadi kenyataan merupakan satu lagi perkembangan cukup bermakna dalam bidang pendidikan di daerah ini setelah diperjuangkan keperluannya sejak sekian lama oleh pemimpin setempat.

Bangunan dua tingkat dengan kos sebanyak RM8.3 juta di tapak seluas hampir tiga hektar itu juga dianggap mercu tanda pendidikan daerah, selain simbol perpaduan warga pendidik dan masyarakatnya.
Ia dijangka siap pada Julai 2019 dan bakal mewujudkan suasana lebih kondusif dan efektif bagi lebih 70 kakitangannya yang selama ini menumpang di sebuah bangunan lama di Sekolah Kebangsaan Marang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang menyifatkan bangunan itu sebagai pemangkin pembangunan pendidikan di daerah ini, di samping bakal mencorak tanda aras kecemerlangan para pelajar ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan.
Katanya, perkembangan ini selaras dengan tahap pencapaian akademik di daerah ini yang pernah muncul antara daerah terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM-dari segi PNGK) di negeri ini.
“Kita berharap dengan adanya bangunan yang lebih kondusif dan efektif, tahap pencapaian akademik para pelajar semakin cemerlang melalui pemantauan berkesan dan pelbagai perancangan aktiviti bersesuaian,” katanya merujuk kepada PPD Marang, satu-satunya daerah di negeri ini yang masih belum mempunyai bangunan sendiri.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan PPD Marang baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
PPD Marang memberikan perkhidmatan kepada 21,047 orang murid, 2,099 orang guru dan 43 buah sekolah di samping secara tidak langsung kepada 105,100 orang penduduk.
Katanya, PPD yang berperanan memperkasakan sekolah dan murid dapat menyumbang ke arah impak besar kemajuan pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Oleh itu katanya, memang sesuai projek pembinaan bangunan baharu PPD Marang diberikan perhatian bagi memastikan kemenjadian guru dan para pelajar di daerah ini dalam pelbagai bidang khususnya akademik dan kokurikulum dapat ditingkatkan.
Beliau memberitahu, projek pembinaan PPD Marang akan dibangunkan dalam dua fasa, melibatkan pembinaan bangunan yang menempatkan pentadbiran serta bangunan sokongan lain manakala fasa seterusnya melibatkan sebuah dewan serbaguna.
“Lokasi projek amat strategik terletak di kawasan Bandar Marang, bersebelahan dengan Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dan berhampiran pula beberapa pejabat kerajaan lain bagi memudahkan masyarakat berurusan,” ujarnya.