Bukan kerana tidak berkelayakan tetapi akibat faktor kewangan bagi menampung perbelanjaan membataskan mereka untuk menyambung pengajian.

Sehubungan itu, Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan peluang kedua bagi golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian terutamanya dalam bidang perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PICOMS, Datuk Mohd. Zubir Sh. Saad berkata, transformasi menyeluruh yang dilakukan PICOMS pada Januari 2010 melonjakkan nama institusi tersebut, setanding dengan IPT terkemuka di seluruh negara.

“Bermula dengan satu program iaitu Diploma Sains Kejururawatan, PICOMS telah menambah 10 lagi program di peringkat diploma dalam bidang sains kesihatan bersekutu iaitu Farmasi, Fisioterapi, Sains Perubatan, Pembantu Perubatan, Kesihatan Persekitaran, Kesihatan & Keselamatan Pekerjaan, Pengurusan Hotel, Pengurusan Kesihatan, Teknologi Makmal Perubatan dan Terapi Cara Kerja.

“Sambutan sangat baik diterima dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutamanya anak-anak keluarga asnaf yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai kelayakan akademik.

“Sehingga kini, PICOMS mempunyai 4,019 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di empat buah kampus iaitu di Kampus Jalan Rahmat, Kampus Jalan Ipoh, Kampus Permata dan Kampus Batu Muda yang merupakan kampus induk,” katanya.

Ditubuhkan oleh Pusat Rawatan Islam Sdn. Bhd. pada tahun 1995, PICOMS yang dikenali sebagai Kolej Kejururawatan Pusrawi pada masa itu diwujudkan bagi menyediakan keperluan tenaga kerja di Hospital Pusrawi menerusi kursus Pembantu Klinik.

Di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta pada tahun 2003, PICOMS didaftarkan dan ditadbir oleh Hospital Pusrawi sehingga tahun 2007 sebelum dipisahkan kepada syarikat milik penuh MAIWP, Anggun Mulia Sdn. Bhd. pada tahun 2008 sehingga kini.

AKHIRI KEPOMPONG ASNAF

Bukan mengutamakan keuntungan, sebaliknya PICOMS ditubuhkan bagi membantu anak golongan asnaf supaya mendapatkan pendidikan sekali gus membantu keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bagi PICOMS melahirkan graduan yang cemerlang dan berjaya dalam kalangan keluarga asnaf merupakan keutamaan walaupun dalam masa sama turut mementingkan pendapatan bagi meneruskan operasi kolej.

“Pengambilan PICOMS adalah terbuka kepada semua kategori, bangsa dan agama. Namun lebih menjadi pilihan anak-anak keluarga golongan asnaf yang mempunyai kelayakan tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana kos pendidikan yang tinggi,” katanya.

Tambanhnya, pelajar yang termasuk dalam kalangan keluarga asnaf akan dibantu oleh MAIWP menerusi bantuan zakat.

“Menerusi peluang pendidikan kepada anak-anak keluarga asnaf ini, diharap mereka akan mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian. Secara tidak langsung jurang kemiskinan dapat dikecilkan dan mereka tidak akan mewarisi kemiskinan keluarga mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

PELUANG KERJA CERAH

Dalam pada itu, Mohd. Zubir berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati sebahagian besar daripada bekas pelajar PICOMS berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam bidang yang diceburi.

“Hampir 85 peratus daripada graduan lepasan PICOMS menepati kehendak majikan dari segi kemahiran teknikal dan telah mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing. Manakala selebihnya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Dalam masa sama, PICOMS sedang melaksanakan kajian terperinci kesesuaian latihan dan pembelajaran dengan keperluan sebenar di tempat kerja dalam usaha menambah baik kurikulum dan kemudahan pembelajaran serta latihan pada masa depan.

“PICOMS juga berusaha mewujudkan budaya cipta kerja baharu kepada pelajar supaya tidak hanya bergantung kepada peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam sektor kerajaan atau swasta tetapi juga menerusi bekerja sendiri,” katanya.

Di samping itu juga tambahnya, PICOMS dengan rangkaian “smart-partnership” bersama anak-anak syarikat di bawah MAIWP dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri turut memberi keutamaan kepada graduan PICOMS untuk mereka memulakan kerjaya.

“Manakala, PICOMS sendiri melalui cabang PICOMS Trade & Service Centre (PTSC) yang merupakan pusat kesihatan kendalian PICOMS telah menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan walaupun terhad. Ini adalah salah satu usaha PICOMS untuk melaksanakan istilah yang dinamakan “giving back”,” jelasnya.

MEMPERLUAS PERINGKAT PENGAJIAN

Bagi merealisasikan sasaran pengiktirafan sebagai Kolej Universiti penuh pada tahun hadapan, pelbagai transformasi dan langkah pembaharuan telah diambil PICOMS.

Mohd. Zubir berkata, selain bakal membina kampus tetap yang memiliki kesemua kemudahan infrastruktur, pihaknya turut merangka program baharu di peringkat lebih tinggi.

“Sebagai persediaan, PICOMS telah menyusun segala keperluan bagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Sekarang ini kita sedang giat pula menyiapkan program-program baharu peringkat diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD).

“PICOMS kelak tidak akan tertumpu kepada bidang Sains Bersekutu sahaja, kita juga akan mempelbagaikan program lain seperti pengurusan, pemasaran, perhotelan dan lain-lain bidang.

“Selain merealisasi impian fizikal tersebut, turut menjadi harapan utama PICOMS untuk melahirkan generasi insan kelas pertama iaitu graduan yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi,” katanya.