Baru-baru ini, seramai 30 atlet dari UPSI berjaya menempa nama dalam acara silat apabila kontinjen universiti itu berjaya meraih tempat kedua keseluruhan dalam Kejohanan Silat Terbuka Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jemputan Antarabangsa Taming Sari 9 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut jurulatih Kelab Silatnya, Amir Kasturi, rejim latihan yang diamalkan pasukan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila pasukan itu pulang dengan tujuh pingat emas, dua perak dan lapan gangsa dalam kejohanan tersebut.

“Kem latihan bermula pukul 8 pagi setiap hari merangkumi tiga sesi iaitu pagi, petang dan malam. Selain itu, pesilat turut menjalankan aktiviti merentas hutan dan berjalan lasak sejauh sepuluh kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi Penasihatnya, Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak pula, sasaran terbaik bagi kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) menjadi keutamaan beliau.

Kata beliau, kegigihan dan fokus sentiasa diutamakan baik semasa latihan mahupun pertandingan.

“Konsistensi atlet sentiasa menjadi perhatian kami. Sebagai persediaan, kami telah mengharungi kem selama 12 hari bagi memastikan peserta kekal dalam prestasi terbaik,” katanya. - UTUSAN ONLINE