Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, ini disebabkan penganjuran sukan tersebut mampu menjadi medium terbaik kepada atlet untuk memupuk semangat muhibah dan persaudaraan dalam kalangan organisasi yang bertanding.

“Semangat dan budaya kerja secara berpasukan dilihat sebagai satu ruang kepada atlet untuk membina sahsiah diri yang lebih baik dan seterusnya membantu mencapai matlamat organisasi.

“Oleh itu pesanan saya kepada atlet semua agar bertandinglah secara positif dan sihat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Sukanun 2019 di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.

Karnival Sukanun 2019 dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mohd Azraai yang juga Naib Canselor UiTM berkata, UiTM turut berbangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada karnival sukan itu yang berlangsung dari 19 Julai hingga 26 Julai depan.

Beliau berkata, sebanyak 63 agensi kerajaan yang menganggotai Persatuan Badan Berkanun Malaysia bertanding dalam 23 acara sukan.

“Sukanun 2019 melibatkan penyertaan lebih 5,000 atlet dan pegawai, 300 sukarelawan dan 400 pegawai teknikal,” katanya.

Sukanun 2019 turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - UTUSAN ONLINE