Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini beberapa sekolah sudah mempunyai papan tulis pintar (smartboard) dan tablet untuk kegunaan pembelajaran tetapi memerlukan lebih banyak pendedahan dari masa ke semasa.

"Salah satu kehendak pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kita mahukan guru-guru yang serba boleh dalam teknologi untuk pendidikan masa depan.

"Ketika ini terdapat beberapa buah sekolah sahaja yang mempunyai alat-alat teknologi seperti papan tulis pintar dan peralatan pintar malah tidak banyak yang mempunyai jalur lebar yang bagus jadi ini yang perlu diperbaiki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Kejohanan Robotik Dunia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif APIIT Education Group, Datuk Dr. Parmjit Singh dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd., Lee Yew Kein.-UTUSAN ONLINE