Tengku Muhammad Fa-iz Petra

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, pelantikan Pemangku Raja Kelantan sebagai Canselor bagi tempoh lima tahun bermula 16 Februari lalu telah diperkenan oleh Sultan Muhammad V bagi menggantikan baginda.

Beliau berkata, majlis Pema­syhuran Tuanku Canselor akan diadakan di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota UMK di Pengkalan Chepa pagi esok yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bagi membaca watikah pelantikan.

“Kita yakin pelantikan baginda adalah kesinambungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Tuanku Canselor sebelum ini yang mana Sultan Muhammad V mempunyai buah fikiran sangat strategik dan hala tuju jelas yang mahukan universiti memberi tumpuan kepada isu kemiskinan dan kemajuan dalam bidang pertanian.

“Pihak UMK berusaha menterjemah hasrat Yang di-Pertuan Agong dalam program-program akademik dan penyelidikan yang kita jalankan serta hasilnya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InspeK) ditubuhkan sejak 2014 bagi mengatur strategi terbaik membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Menerusi saranan Yang di-Pertuan Agong juga kita telah tubuhkan Institut Penyelidikan Jaminan Makanan dan Pertanian Lestari (IFSSA) pada 2016 untuk kita fokus kepada kajian teknologi pertanian bagi menjamin penghasilan terbaik dan bekalan makanan negara mencukupi,” katanya ke­tika ditemui pemberita di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Mortaza berkata, terdapat pelbagai program dijalankan melalui Inspek dan salah satunya adalah memberi bimbingan kepada kira-kira 550 usahawan kecil luar bandar sejak 2015 yang akhirnya berjaya menambah sekurang-kurangnya RM1,500  kepada pendapatan asas bulanan dan perkembangan mereka terus dipantau hingga ke hari ini.

Menurutnya lagi, sebagaimana dititikberatkan Yang di-Pertuan Agong, UMK banyak menumpukan kepada projek menangani masalah kemiskinan termasuk kalangan Orang Asli malah turut menjadi pemain utama di peringkat serantau melalui penglibatan dalam program Perusahaan Sosial untuk Pembangunan Ekonomi (SEED) dan Jaringan Serantau Pembasmian Kemiskinan (RENPER).

Sementara itu, Mortaza berkata, Tuanku Canselor yang baharu akan menyampaikan titah pada majlis pemasyhurannya dan ia akan menjadi sesuatu yang amat ditunggu-tunggu warga universiti yang kini sudah mempunyai hampir 10,000 siswa dengan bilangan kakitangan lebih 1,200 orang di ketiga-tiga kampus iaitu Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli.

“Pemasyhuran Pemangku Raja sebagai Canselor yang baharu pada ketika ini juga sa­ngat mengujakan kita kerana tahun ini kita memasuki ulang tahun ke-10 penubuhan UMK.

“Apatah lagi kita semua mengenali baginda sebagai seorang yang sangat dekat dengan dunia akademik, Tuanku Canselor memiliki kelulusan tertinggi Doktor Falsafah (PhD) dari University College of London (UCL) dalam bidang Sejarah yang juga merupakan sebahagian daripada asas pengajian yang ditekan di UMK.

“Kita jangkakan perkembangan UMK akan terus melonjak terutama dalam hubungan dengan universiti luar negara dan penghasilan kertas akademik malah tidak mustahil Tuanku Canselor sendiri akan turun padang membuat kertas penyelidikan serta bersedia menyelia calon-calon sarjana dan PhD,” katanya.

Jelasnya lagi, sempena Majlis Pemasyhuran Tuanku Canselor juga, acara Pameran Raja Kita akan berlangsung serentak di waktu dan tempat yang sama manakala pada sebelah petang­nya konvoi basikal dan motosikal warga UMK dari Kampus Jeli dan Bachok akan bergerak ke Kampus Kota, Pengkalan Chepa sebagai simbolik memaklumkan pema­syhuran Canselor baharu kepada orang ramai.