Timbalan Pengarah (Bahagian Pendidikan) Yayasan Terengganu, Dr. Hashim Azmi Che Noh berkata, pelajar anak-anak Terengganu kelihatan seperti tidak bermaya untuk bersaing dan menonjolkan diri ketika diminta berucap dan juga menjadi pemimpin dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Kita tidak tahu kenapa perkara ini berlaku, saya masih mencari puncanya. Adakah kerana wujudnya perasaan malu atau kurang pendedahan. Saya harap masalah ini dapat diatasi segera bagi memastikan setiap pelajar yang cemerlang dalam akademik, juga hebat dalam bidang lain.

“Golongan ibu bapa dan pendidik diminta supaya terus berusaha menjadikan mereka lebih berani dan hebat sebagai persediaan sebelum meneruskan pengajian ke universiti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 peringkat Parlimen Marang di Sekolah Menengah Agama (SMA) Marang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE