fsu-pameran

Barisan tetamu kehormat pada majlis perasmian Pameran ‘What If?’ di CMT Hub, UiTM Shah Alam.

Pameran ini memaparkan hasil kerja pelajar dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), di bawah seliaan Puteri Mayang Bahjah Zaharin pada semester lepas.

Perasmian pameran pada 13 April itu disempurnakan oleh Dekan FSPU, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah. Majlis turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Azhar Hj. Abd Jamil (Pengarah CMT Hub), Dr. Masrur Mohd Khir (Timbalan Pengarah CMT Hub I), Prof. Madya Dr. Mohd Zafrullah Mohd Taib (Timbalan Pengarah CMT Hub II), Dr. Nor Rima Muhamad Arif (Ketua Pusat Pengajian Siswazah), Mohd AlJefri Husin (Ketua Pusat Pengajian Senibina), dan Dr. Abdul Rauf Abdul Rasam (Ketua Unit Komunikasi dan Korporat FSPU). 


Puteri Mayang Bahjah Zaharin, dalam ucapan pembukaan majlis perasmian tersebut, mengucapkan jutaan terima kasih atas usaha keras para pelajar dari Dasad Studio yang menyediakan bahan dan menyiapkan ‘setting’ bagi pameran ini.

Tambahan lagi, pameran di CMT Hub ini adalah susulan bagi pameran pertama yang telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan di Galeri Alam Bina, UiTM Puncak Alam.

Tema projek pelajar studio ini adalah ‘Unlocking The Default III: Reshaping The Future Through Bio-Inspired Design’, di mana para pelajar telah menghasilkan idea bagi projek senibina bangunan pencakar langit berdasarkan ‘urban context’ dan ‘bio-inspired design’ pada tahun 2050.


Jelas beliau lagi, rasional di sebalik istilah ‘Unlocking The Default’ adalah untuk menggalakkan sebuah pemikiran baru dalam senibina bangunan pencakar langit yang dilihat dari sudut yang luar dari kebiasaan. Melalui aspek ‘bio-inspired design’, rekaan senibina ini diinspirasikan oleh alam semulajadi dan benda-benda hidup yang diolah dari segi anatomi, perlakuan dan sebagainya.

Dan melalui proses rekaan senibina ini, para pelajar telah menghasilkan sebuah pengisahan cerita yang menggabungkan kesemua hasil kerja mereka yang dinamakan ‘What If?’. Istilah ‘what if’ adalah satu persoalan yang biasa didengari dalam kehidupan seharian, akan tetapi dalam konteks pameran ini, ia merupakan satu persoalan yang membawa imaginasi pengunjung pameran ke dimensi senibina bangunan pencakar langit pada masa hadapan.


Selain daripada sambutan hangat terhadap pameran ini, beberapa pelajar dari Dasad Studio juga telah berjaya memenangi pertandingan senibina peringkat anatarabangsa.

Antaranya adalah tempat pertama dalam ‘UN Habitat Urban Design Competition’ yang berlangsung di Wuhan, tempat ketiga dan ‘honourable mention’ dalam pertandingan ‘Project Earth 2’ di Netherlands, dan dua projek pelajar disenaraikan dalam 25 terbaik di ‘CTBUH International Student Tall Building Competition 2018’.

Bagi tahun ini, studio ini telah menghantar dua penyertaan dalam pertandingan ‘EVOLO 2019 Skyscraper’. Maklumat lanjut dan gambar hasil projek setiap pelajar studio ini boleh didapati dalam laman Instagram @dasaddesignlab. - UTUSAN ONLINE