Begitu juga dengan pelajar program Diploma Senibina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Mereka tidak melepaskan peluang menonjolkan diri dalam karya seni abstrak untuk dipertontonkan kepada khalayak umum.

Seramai 30 mahasiswa program diploma senibina UTM Pusat Pengajian Diploma SPACE Johor Bahru menyertai pameran perdana buat julung kali diadakan pada 23 Februari 2019 di Residensi UTMSPACE Kuala Lumpur.

Pameran itu dirasmikan Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau lebih sinonim dikenali sebagai Datuk Lat. Pameran yang bermula dari 23 Februari sehingga 3 Mac 2019 mempamerkan lebih 30 hasil lukisan daripada mahasiswa pengajian senibina UTM di Johor Bahru.

Menurut Datuk Lat, karya generasi muda adalah sentiasa berwarna dan cerah, melambangkan kenalurian jiwa muda yang sangat agresif dan bertenaga.

“Mereka mencuba untuk menonjolkan diri dengan pelbagai teknik lukisan dan menjadikan karya yang terhasil begitu tersendiri dan mempunyai nilai estetika,” katanya.

Memetik intipati ucapan aluan Pengerusi Bagi Pameran Perdana Diploma Senibina UTM, Dr. Fawazul Khair Ibrahim pula, beliau tidak menyangka masih ada lagi pelukis-pelukis muda yang minat dalam lukisan abstrak, selain mempunyai bakat besar dan kreatif.

Berdasarkan penghasilan yang dipamerkan, menunjukkan bahawa seni lukisan abstrak masih diminati pada zaman ini. Pameran itu juga merupakan satu kejayaan, bukan sahaja kepada Pusat Pengajian Diploma, malah sebuah kejayaan kepada semua, khususnya UTMSPACE kerana menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap projek pameran perdana itu.

Bagi mahasiswa yang terlibat, mereka berkarya dengan tujuan mengetahui jauh mana kebolehan dimiliki dalam bidang seni lukisan abstrak. Begitu juga mampu memberi impak kepada umum tentang seni abstrak yang masih diminati golongan muda.

Hasil lukisan yang terjual akan disumbangkan untuk tabung fakulti bagi membantu perkembangan seni di universiti awam berkenaan.

Cenderamata berupa cetakan lukisan yang bertajuk Tajung Ayahanda dihasilkan Dr. Fawazul Khair diberikan kepada Datuk Lat bagi menghargai kehadirannya ke majlis itu. Lukisan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Akademik dan Pembangunan Pelajar UTMSPACE, Prof. Madya Mazlan Mohamad Abdul Hamed.

Datuk Lat pula menghadiahkan senaskah buku karikatur beliau kepada Dr. Fawazul Khair. Buku itu mengandungi hasil lukisan Datuk Lat sejak mula berkecimpung dalam dunia lukisan dan dibukukan serta diterbitkan bagi koleksi umum.

Kartunis AR. Helmi dan Ayie Sulong antara yang hadir memeriahkan pelancaran pameran perdana tersebut. Mereka adalah rakan artis yang seangkatan dengan Datuk Lat.

Orang ramai boleh memiliki hasil lukisan-lukisan yang dipamerkan itu dengan menghubungi Ulaiya dan Mohammad Dzul Azrie di talian 03-27722500.