Kemenangan itu melayakkan Nur Eliesha Yasmin menerima sebuah piala, RM70 serta sijil, selain akan mewakili Melaka ke konvensyen peringkat kebangsaan dalam masa terdekat.

Anak kelahiran Merlimau, Jasin itu berkata, program yang diatur sempena konvensyen itu ba­nyak membantunya meningkatkan ilmu pengetahuan ter­utamanya dalam bidang kesihatan yang amat diminatinya.

“Melalui program ini, saya banyak membaca dan didedahkan tentang ilmu kesihatan yang sangat berguna sejak dari darjah tiga.

“Segala ilmu yang saya peroleh ini membantu saya menjawab soalan-soalan para juri di peringkat akhir dan tak sangka terpilih sebagai juara,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam penutupan Konvensyen Hepili peringkat negeri di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (Create) Jabatan Kerja Raya (JKR) yang disempurnakan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman di sini hari ini.

Sementara itu jelas Ghazali, program Doktor Muda adalah program perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pendidikan yang telah bermula sejak 1989, malah dijadikan aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah rendah sejak 2006.

“Secara peribadi, saya melihat program ini sewajarnya dilaksana­kan di peringkat sekolah rendah dan menengah terutama dalam memupuk amalan hidup sihat sejak kanak-kanak lagi.

“Justeru, pelaksanaan Kelab Doktor Muda ini diperkukuhkan lagi ke program Pendidikan Khas Intergrasi dan dua kementerian ini telah memperkenalkan Tunas Doktor Muda untuk prasekolah,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat 111 buah sekolah di negeri ini telah menubuhkan Kelab Doktor Muda dan pihaknya menyasarkan penubuhannya di semua sekolah dari semasa ke semasa.