Pengarah Pengajian MTD, Razmi Abdul Razak berkata, penganjuran program ini merupakan sebahagian hasrat MTD untuk memenuhi kriteria Penarafan Sekolah PAK-21 bagi memperoleh status sekolah bertaraf empat bintang.

“Pihak pengurusan dan guru bergabung tenaga bagi melaksanakan program yang julung kali diadakan di MTD ini bagi melonjakkan penarafan daripada tiga menjadi empat bintang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program itu yang dilancarkan Komandan MTD, Kolonel Noorrul Azril Ariffin.

Penarafan bintang sekolah PAK-21 ini adalah bagi menye­marakkan program penjenamaan PAK-21 antara Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kriteria penarafan adalah me­nguruskan bekalan bahan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) Utusan Pelajar di pusat sumber sekolah, memperagakan poster PAK-21 di papan kenyataan, melaksanakan Modul 10 Minit dalam perhimpunan mingguan dan melaksanakan pelbagai aktiviti mengikut kreativiti pihak sekolah bagi menyemarakkan program penjenamaan PAK-21 yang digerakkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof sebagai pengasas dan ikonnya.

Terdahulu Noorrul Azril dalam ucapannya berkata, Gallery Walk ini menekankan peranan pelajar membimbing pelajar lain secara berkumpulan dengan memberi penerangan dan teori mengenai mata pelajaran elektif manakala guru hanya sebagai fasilitator.

“Melalui rujukan Utusan Pelajar, pelajar akan menggunakan kaedah PAK-21 dalam membuat penerangan mengenai sesuatu mata pelajaran elektif antaranya Biologi, Kimia, Matematik Tambahan dan Fizik,” katanya.

Selain MTD, program ini turut disertai 15 sekolah jemputan lain antaranya Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor, SMS Seri Puteri, Sekolah Menengah Agama (SMA) Wilayah Persekutuan, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, SMA Integrasi Tahfiz dan SMK Sungai Besi.

Sementara itu, Penyelaras program, Hairunnisa Khalid berkata, objektif Gallery Walk ini juga untuk memberi pendedahan kepada pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini agar lebih ya­kin, bersedia dan mampu berkomunikasi dengan baik.

Untuk maklumat lanjut mengenai program penjenamaan PAK-21 boleh hubungi wakil Sekretariat Utusan Pelajar, Fauzi Hamdan (019-5716282) atau rujuk laman rasmi www.utusanpelajar.com.my.