Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2), Zulkifli Che Shukri berkata, program yang dibuat merupakan suatu kelainan kerana dianjurkan di luar sekolah sekali gus memberi suasana baharu kepada para pelajar.

“Pihak sekolah dahagakan perkongsian program dan ilmu daripada pihak luar bagi membantu pelajar yang sudah ‘tepu’ dengan sentuhan dalaman.

“Sentuhan pakar motivasi pendidikan, Dr. Ismail Zain, bukan sahaja membantu 249 ca­lon SPM dilengkapi dengan tip belajar berkesan malah mereka dibim­bing untuk cemerlang dalam kerjaya serta kehidupan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Motivasi SPM 2018 UMW di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

SMK Seksyen 24 (2) merupakan sekolah ketiga daripada lima sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana yang terpilih untuk mengikuti Program Motivasi SPM 2018 UMW.

Sementara itu, guru penyelaras, Alwardah Dolhalit memberitahu, program suntikan motivasi terutama yang melibatkan jaringan komuniti dan syarikat swasta amat penting dalam membantu melengkapkan persediaan pelajar untuk menghadapi saat kritikal menjelang peperiksaan sebenar.

“Ceramah motivasi yang di­sampaikan sungguh mengujakan dan memukau justeru kami harap program ini dapat diteruskan,” katanya.