Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, peruntukan tahunan itu bagi digunakan kumpulan pelajar cemerlang yang layak secara menyeluruh tanpa tertumpu kepada satu bidang sahaja.

Menurutnya, antara bidang itu termasuklah pengajian agama, kedoktoran, kejuruteraan malah bidang sukan sekalipun layak untuk diberi peluang sekiranya ada yang benar-benar layak.

“Aspek sumbangan pinjaman dan dermasiswa Tapem ini menyeluruh dan bukan hanya menumpukan bantuan kepada satu bidang dan satu kaum sahaja.

“Selain bidang yang biasa menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian, kita juga sedang menilai bidang sukan untuk mengenal pasti tokoh pelajar yang berkemampuan dalam bidang sukan agar dapat dihantar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Pelepasan Delegasi Penghantaran Pelajar Pene­rima Dermasiswa Pe­nga­jian Islam Melaka ke Universiti Al-Azhar, Mesir di sini hari ini.

Hadir sama, Mufti Kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Tawil; Pengurus Besar Tapem, Azrin Ab. Majid dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz.

Jelas Adly, program dermasiswa Tapem yang julung kali diperkenalkan itu membabitkan 27 pelajar yang akan menyambung pengajian dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000 seorang bagi empat tahun pengajian.

Katanya, kaedah pemilihan itu dinilai oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (SPPLN) terhadap pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memperoleh mumtaz dan jayyid jiddan dalam peperiksaan 2018.