Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mediu, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, tawaran pengambilan pelajar baru bagi peringkat sarjana muda dan pra ijazah itu adalah jumlah tertinggi yang pernah ditawarkan oleh universiti tersebut kepada orang ramai.

Menurutnya, kampus Mediu yang sebelum ini beroperasi di Shah Alam, Selangor hanya mampu menampung sekitar 400 pelajar untuk satu-satu masa bagi proses pembelajaran dalam kelas.

Katanya, menerusi pembinaan kampus baharu Mediu yang terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur, jumlah pengambilan pelajar dapat dipertingkatkan sekali gus membuka peluang lebih besar kepada orang ramai untuk menimba ilmu di universiti Islam antarabangsa tersebut.

“Dengan jumlah kelas lebih banyak, pelbagai kemudahan serta ruang sokongan aktiviti pelajar disediakan di kampus baharu di Desa Petaling. Mediu berjaya menawarkan tempat yang lebih banyak kepada mereka yang berminat menuntut ilmu di universiti ini.

“Selain pelbagai kemudahan disediakan, yuran yang dikenakan adalah sangat berpatutan serta kumpulan tenaga pengajar berpengalaman luas,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan CEO (Bahagian Hubungan Akademik), Prof. Dr. Ab. Rahim Ismail.

FOKUS PELAJAR TEMPATAN

Mengulas lanjut Ismawi berkata, Mediu yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pusat pengajian dalam talian mempunyai seramai 4,318 pelajar dari lebih 100 negara seluruh dunia.

Jelasnya, jumlah tersebut melibatkan pelajar dari Turki, Somalia, Nigeria dan satu program khas untuk pelajar di United Kingdom (UK).

Katanya, pihak Mediu kini berusaha menarik lebih ramai pelajar dalam kalangan anak tempatan bagi mengambil manfaat daripada universiti tersebut sekali gus melangkah lebih jauh dan memperbaiki taraf kehidupan dengan ilmu yang diperoleh.

Sehubungan itu menurutnya, beliau berharap semua lapisan masyarakat dapat mengambil manfaat dan menggunakan kelebihan yang ada di universiti tersebut bagi mengembangkan bakat dalam diri masing-masing.

“Peluang ini bukan sahaja terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tetapi kepada seluruh lapisan masyarakat yang ingin meningkatkan taraf pendidikan masing-masing.

“Selain boleh mendaftar secara dalam talian dalam laman web universiti www.mediu.edu.my, orang ramai boleh terus ke kampus Mediu di Desa Petaling untuk mendaftar yang dibuka pada setiap hari bekerja bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang. Dalam masa sama boleh mendapat maklumat pengajian secara langsung daripada pensyarah,” katanya.

Tambahnya, pendaftaran awal yang ditawarkan oleh Mediu adalah bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat persediaan lebih awal terutama kepada lepasan SPM, SPTM dan STAM.