Program yang mendapat sokongan Pejabat Menteri Besar Perak itu turut dianjurkan bersama Persatuan Keturunan Banjar Perak dan Pejabat Ahli Parlimen Bagan Serai serta penduduk Kampung Jalan Banjar.

Pensyarah merangkap penasihat program, Ibrahim Ahmad berkata, selain memenuhi silibus mata pelajaran Hubungan Etnik, program itu juga membuka minda mahasiswa untuk mengenali adat dan tradisi etnik Banjar.

Beliau berkata, antara yang masih dipertahankan sehingga ke hari ini termasuklah adat meraikan pasangan pengantin, masakan tradisi dan kuih-muih.

“Kuih tradisi etnik Banjar iaitu balungan hayam dan wadai kiping boleh dikomersialkan sebagai tarikan dalam industri pelancongan.

“Begitu juga adat berpukong atau menidurkan anak secara duduk,” katanya pada program 
penutup yang  disempurnakan Pegawai Daerah Kerian, Muhammad Sabli Bakri.

Bersempena program itu, mahasiswa turut menziarahi beberapa penduduk kampung yang uzur, melawat sawah padi serta memancing ikan melalui acara Pencarian Raja Parit.

Sementara itu, pengarah program, Muhammad Irfan Hizami berharap, program itu dapat diteruskan pada masa akan datang supaya mahasiswa lebih menghargai tradisi nenek moyang terdahulu.

“Pada masa sama, ia dapat disebar luaskan kepada masyarakat bukan Banjar supaya tradisi ini dapat sama-sama kita kekalkan supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Seorang peserta, Nurul Haziqah Zainordin pula berpendapat, program Jelajah Etnik dapat dijadikan sebahagian daripada medium untuk mempromosi keunikan negeri Perak.

“Saya berasa bangga kerana dapat mengetahui pelbagai adat dan tradisi etnik Banjar yang selama ini hanya diketahui melalui bacaan,” katanya.