Dekan FSPU, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah mengetuai delegasi UiTM untuk menandatangani perjanjian MoU bersama Rektor ITS iaitu Prof. Ir. Joni Hermana.

UiTM turut juga diiringi oleh Ketua PPSUG, Dr. Eran Sadek Said Md Sadek dan Prof. Dr. Wan Mohd Naim Wan Mohd, manakala delegasi ITS turut diwakili oleh Naib Canselor Inovasi, Alumni dan Hubungan Antarabangsanya, Prof. Dr. Ketut Buda Artana bersama beberapa profesor dan pensyarah dari Departemen Teknik Geomatika, ITS. PPSUG dan jabatan berkenaan merupakan salah satu pusat akademik dan penyelidikan berprestij dalam bidang geospatial dan geomatik di negara masing-masing.

Dengan adanya MoU ini, pelbagai manfaat dapat dicapai oleh kedua belah pihak. Ini termasuklah kerjasama dari segi pendidikan, penyelidikan dan pertukaran kepakaran. Kerjasama ini dipercayai mampu membuka peluang bagi kedua pusat ilmu ini untuk meneroka bidang geomatik bersama seperti membentangkan kertas kerja dalam konferens dan menghantar pensyarah masing-masing untuk belajar ke peringkat pascasiswazah.

Menurut Dr. Jamalunlaili, selain menandatangani MoU serta mesyuarat kolaborasi yang telah dijalankan, lawatan ini juga boleh dijadikan sebagai platform penanda aras bagi melihat sejauh mana keupayaan Departemen ini dalam bidang geomatik serta menerokai peluang kerjasama di dalam bidang pendidikan dan penyelidikan termasuklah di dalam bidang-bidang yang lain.

Menariknya, MoU ini telah menemui langkah positifnya kerana seramai lima orang pelajar PPSUG telah menjalani latihan praktikal ukur hidrografi di Pantai Delegan, Gresik, Jawa Timur Indonesia bermula pada bulan ini.

Pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada mereka yang mengambil kursus Dynamical and Physical Oceanography di UiTM.

Peluang untuk menjalani latihan praktikal ukur hidrografi di negara ini perlu diambil oleh pelajar bagi membentuk mahasiswa yang berkemahiran komunikasi dan keperibadian tinggi ke arah hubungan erat di antara pelajar UiTM dengan ITS.

Selain daripada itu, satu kuliah tamu juga telah disampaikan kepada pelajar-pelajar ITS oleh Dr Wan Mohd Naim berkaitan dengan penyelidikan-penyelidikan yang telah dijalankan di PPSUG bagi membuka ruang kerjasama yang lebih luas lagi di antara kedua universiti ini. - UTUSAN ONLINE