Dr. Nagalingam Karuppiah
Dr. Nagalingam Karuppiah 

Pengarah IPGKBA, Dr. Nagalingam Karuppiah berkata, institut ini sememangnya telah dipilih oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa sebagai pusat latihan bagi mana-mana program antarabangsa.

“Justeru, melalui penganjuran program KOMTEP ini melengkapkan lagi profil institut ini sebagai pusat latihan program antarabangsa dan menjawab kepada objektif lantikan IPGKBA sebagai pusat latihan program pendidikan antarabangsa<” katanya ketika berucap pada sesi perkongsian pengalaman guru-guru yang menyertai KOMTEP 2018 di Korea Selatan.

Dr. Nagalingam berkata, KOMTEP julung kalinya dianjurkan di IPGKBA pada tahun 2014 setelah mendapat lantikan sebagai urusetia dan tuan rumah dari Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan dan IPGM.

Katanya, ketika itu IPGKBA telah diberi mandat untuk menguruskan program tersebut yang melibatkan 12 orang peserta Korea yang terdiri dari guru-guru pelbagai bidang.

“Modul pertama bagi pelaksanaan KOMTEP telah dibina di peringkat IPGKBA dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) dan Bahagian Pedidikan Guru.

“Tanpa sebarang rujukan khusus diperingkat awalnya, namun berkat kesungguhan Unit Latihan Dalam Perkhidmatan pada waktu itu, modul yang dihasilkan telah mendapat pujian dan maklum balas yang amat baik daripada pihak UNESCO , APCEIUdi Korea,” katanya.

KOMTEP
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Datuk Sulaiman Wak melihat pameran selepas menutup sesi perkongsian pengalaman guru-guru yang menyertai KOMTEP 2018 di Korea Selatan di IPGKBA di Kuala Lumpur hari ini..

Katanya, berdasarkan asas dan kandungan yang dihasilkan dalam modul itu pelbagai penambahbaikan telah dilakukan dengan suntikan idea yang segar sehingga membawa KOMTEP menjadi antara program utama di bawah kerjasama Malaysia-Korea.

Pada tahun 2018 katanya, sebanyak 10 orang guru di bawah Kementerian Pendidikan telah terpilih sebagai peserta KOMTEP dan mereka telah berada di Korea Selatan selama tiga bulan.

“Di Korea Selatan, para peserta yang terlibat telah berjaya memberikan sumbangan bukan sahaja dari aspek pedagogi yang menjadi kepakaran utama, malah turut terlibat dalam memperkenalkan budaya dan adat resam pelbagai bangsa di Malaysia, yang sememangnya sangat unik terutamanya di mata rakyat Korea yang hanya terdiri dari satu bangsa.

“Saya juga difahamkan para peserta KOMTEP yang terdiri daripada guru-guru KPM dari sekolah rendah dan menengah juga turut terlibat secara aktif dalam seminar-seminar antarabangsa di Korea selaku pembentang selain dari sesi-sesi diskusi professional yang mengupas tentang diversiti dalam pendidikan antara kedua buah negara,” katanya.

Sehubugan itu, beliau berharap para peserta KOMTEP sama ada yang baru pulang atau alumni KOMTEP, perlu berlaku bijak dalam menggunapakai setiap peluang dan ilmu yang diperolehi dari perkongsian sewaktu di Korea.

“Jadikan setiap ilmu yang dikutip sebagai data dan input penting bagi dijadikan panduan kepada peningkatan mutu pendidikan kita.

“Seandainya data-data dan pengalaman yang dikutip, mampu diterjemahkan ke bentuk kajian, saya pasti ianya akan memberi impak yang lebih positif untuk rujukan dan dokumentasi di masa depan,” katanya.