Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr Noel Robert berkata, kerjasama ini bagi memastikan kurikulumnya selaras dengan keperluan industri dan seterusnya melahirkan siswazah yang sedia bekerja.

“Menerusi kerjasama ini juga dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya di kolej dan dalam kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel baru-baru ini.

Memorandum perjanjian itu ditandatangani oleh Noel mewakili Kolej Antarabangsa YPC dan Pengarah Urusan Inspidea Sdn Bhd, Andrew Ooi.

Kerjasama ini mencakupi empat bidang utama iaitu Program Perantis Belajar-Kerja, Program Penempatan Pelatih, Bengkel dan Ceramah, dan Reviu Kandungan Kursus.

Sebagai permulaan, program penempatan pelajar semester akhir sebagai pelatih di Inspidea telah dilaksanakan pada 15 Ogos lalu bagi memberi pendedahan dan pengalaman sebenar dalam dunia pekerjaan.

Dalam tempoh terdekat, Inspidea akan membuat pembentangan mengenai kerjaya sebagai juruanimasi, menemuduga pelajar Kolej Antarabangsa YPC untuk menjalani latihan industri dan lawatan ke studio Inspidea.