Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata dengan penjajaran penilaian peperiksaan kertas bahasa Inggeris UPSR, PT3 dan SPM kepada CEFR, murid akan mengetahui tahap penguasaan CEFR bahasa Inggeris masing-masing.

Dr Maszlee Malik (dua, kiri) menyampaikan watikah pelantikan Panel
Dr Maszlee Malik (dua, kiri) menyampaikan watikah pelantikan Panel Pakar Bahasa Inggeris kepada Prof Adjung Dr. Zuraidah Mohd Don ketika majlis penyampaian watikah tersebut di Kementerian Pendidikan hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kiri) dan Pengarah Pusat Pengajaran bahasa Inggeris (ELTC) Farah Mardhy Aman.-- fotoBERNAMA

"Pernyataan tahap penguasaan dengan deskriptor 'can do' merupakan piawaian antarabangsa yang membuktikan kebolehan murid dalam penguasaan setiap kemahiran berbahasa Inggeris," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah pelantikan panel pakar Majlis Penarafan Standard dan Kualiti Bahasa Inggeris (MPSKBI) sesi 2018-2020 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini.

CEFR yang berasal dari Eropah kini merupakan kerangka yang digunakan secara global untuk pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Jepun dan Perancis.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Maszlee berkata MPSKBI ditubuhkan untuk mengawal piawaian dan kualiti bahasa Inggeris di Malaysia supaya mencapai tahap antarabangsa.

Sebanyak enam daripada tujuh ahli panel terdiri daripada pakar bahasa Inggeris dari universiti, badan profesional bahasa Inggeris dan individu yang aktif dalam penyelidikan, menerima watikah pelantikan sebagai panel MPSKBI pada majlis hari ini.

Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama para penerima Watikah
 

Mereka ialah profesor adjung di Universiti Pendidikan Sultan Idris Profesor Adjung Dr Zuraidah Mohd Don; Profesor Dr Anna Christina Abdullah dari Wawasan Open University Pulau Pinang; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Hazita Azman, dan mantan profesor madya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Datin Dr Mardziah Hayati Abdullah.

Tiga lagi ahli panel MPSKBI ialah profesor madya di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara Profesor Madya Dr Ramesh Nair Raman Nair, jurulatih pemeriksa bagi Cambridge International English Language Testing System (IELTS) P.Jaya Pushani dan Profesor Madya Dr Ranjit Singh Gill dari Quest International University, Perak. - BERNAMA