Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan Pendidikan YPJ, Abdul Rashid A. Rahman berkata, pi­haknya berpuas hati dengan kem yang kali pertama diadakan de­ngan kerjasama Utusan Malaysia ini.

“Penganjuran kem ini dapat dimantapkan lagi dengan sedikit penambahbaikan pada masa de­pan bagi memberi kemudahan ter­baik kepada pelajar dan guru,” katanya.

Seramai 200 pelajar tingkatan 5 sekolah menengah seluruh negeri Johor mengikuti kem selama tiga hari ini di Pusat Kecemerlangan dan Pembangunan Insan (PKPI) YPJ, Sekakap dekat Mersing, baru-baru ini.

Mereka merupakan kumpulan perintis yang dipilih daripada 4,000 pelajar yang mengikuti program Tuisyen SPM aliran Sains anjuran YPJ setelah dinaik taraf pa­da tahun 2014.

Sepanjang kem ini, pelajar didedahkan dengan bengkel dan teknik menjawab soalan mata pelajaran Matematik, Sejarah, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris oleh guru pakar subjek Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Peserta juga diberi suntikan motivasi dan tip persediaan sebelum menduduki peperiksaan oleh Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain.

Kem ini merupakan sebahagian daripada usaha progresif kerajaan negeri Johor dalam memastikan ru­ang meningkatkan prestasi pen­didikan terus terbuka kepada pe­lajar kurang berkemampuan.

Pada masa yang sama, kem ini juga untuk membantu me­ringankan beban golongan berpendapatan rendah di samping memastikan pelajar kurang berkemampuan menikmati pendidikan terbaik.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi, Noorhafizee Ridzwan berkata, dia rasa bertuah kerana terpilih menyertai kem yang sangat membantu melengkapkan persiapan dirinya sebelum menduduki SPM.

“Banyak ilmu dan pengetahuan baharu yang saya peroleh terutama dalam membantu menjawab kertas soalan Matematik,” katanya.

Bagi pelajar SMK Air Tawar, Kota Tinggi, Akmal Danial Zainudin, dia amat menghargai peluang yang diberikan dan komited untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan nanti.

Pelajar SMK Ledang, Muar, Ezza Natasha Mohd. Azlan memberitahu, dia akan menggunakan kesempatan ini bagi melengkapkan persediaan mental dan fizikal.