Karnival pendidikan selama dua hari yang berlangsung di Busana Mara dan Hotel Premiera di Jalan Raja Laut tersebut menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Koordinator Pengurusan Jenama Utusan Malaysia, Norliah Abdullah berkata, gerai Utusan Malaysia menjadi tumpuan pada Karnival Pendidikan Mara 2017 yang berlangsung di Perlis pada 25 dan 26 Februari serta di Kelantan pada 4 dan 5 Mac lalu.

"Gerai Utusan Malaysia sememangnya menjadi tumpuan sebelum ini kerana kita menyediakan pelbagai aktiviti terutama interaktif yang menjadi perhatian pengunjung.

“Antaranya termasuk permainan 'Meh!! Ce...Celup'  serta permainan putar dan menang yang menawarkan pelbagai hadiah bagi kepada pengunjung," kata Norliah.

Selain itu studio mini Utusan Malaysia turut menarik minat pengunjung yang mahu bergambar sama ada secara individu atau berkumpulan.

Karnival Pendidikan Mara 2017 dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Karnival tahunan iitu menyediakan pelbagai maklumat mengenai kursus serta peluang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Selepas Kuala Lumpur, karnival itu akan berlangsung di Pahang dan Melaka pada 11 dan 12 Mac ini.- UTUSAN ONLINE