Sejumlah 80 peratus penerima biasiswa itu terdiri daripada pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan dengan pendapatan bulanan isi rumah RM4,000 ke bawah.

Ahli Majlis Tertingginya, Datin Paduka Zaitoon Othman berkata, sejak 2012, Yayasan telah menganugerahkan biasiswa kepada pelajar yang layak bagi melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara dalam usaha membantu mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan tegar.

“Pendidikan adalah kunci untuk kejayaan dan peluang biasiswa ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dalam mendepani cabaran masa depan.

“Isu kekurangan dalam diri dan keluarga bukan penghalang untuk mereka berjaya dalam kehidupan.

“Kami di Yayasan Sime Darby akan membantu pelajar-pelajar ini melalui pemberian biasiswa dan dermasiswa supaya mereka yang mendapat tajaan ini dapat merealisasikan potensi diri dan keluarga demi masa depan yang lebih baik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zainal Abidin; Pengarah Hal Ehwal Korporat Sime Darby Motors, Datuk Aishah Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Raja Azura Raja Mahayuddin

Pada majlis tersebut, Zaitoon Othman turut menyampaikan Anugerah Pengerusi Yayasan Sime Darby 2018 kepada Nurul Akmar Abdul Aziz dan penerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sime Darby 2018 kepada Muhamad Amir Zainudin serta Anugerah Inspirasi Yayasan Sime Darby 2018 yang diterima oleh Naren Kumar Surendra.

Penyampaian anugerah biasiswa itu turut diberikan kepada 39 pelajar dengan pencapaian akademik cemerlang untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam Malaysia, United Kingdom dan China termasuk 19 pelajar penerima OKU yang turut dianugerahkan biasiswa Sijil Automotif dari Akademi Perindustrian Sime Darby.

Pendidikan adalah misi utama YSD, sejak penubuhannya pada 1982, program pendidikan YSD telah berjaya memupuk dan membina bakat negara. Sehingga kini, YSD telah memberi lebih daripada RM268 juta biasiswa dan dermasiswa kepada 3,786 pelajar daripada pelbagai latar belakang keluarga.

Ini termasuk dermasiswa yang berjumlah lebih daripada RM27 juta untuk penyelidikan dan advokasi awam mengenai pembangunan pendidikan serta inisiatif yang bertujuan untuk mengurangkan jurang dalam mengakses pendidikan berkualiti antara masyarakat bandar dan luar bandar serta usaha dalam meningkatkan akses kepada pendidikan asas bagi golongan kurang berkemampuan.