Begitu juga pengalaman berharga yang dialami jawatankuasa penganjur program Holi Charity Colour Run 2.0 yang diadakan di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 23 Mac lalu.

Program yang disertai 230 kanak-kanak dari tujuh pusat perlindungan dan 300 fasilitator dari UPM, Universiti Asia Pasifik (APU) dan Kolej Universiti KDU itu melibatkan aktiviti lawatan ke sekitar UPM dan larian sejauh 2.5 kilometer.

Namun, ketika aktiviti sedang dijalankan, hujan secara tiba-tiba mencurah menyebabkan program tergendala seketika.

Menurut Pengarah Program, Has Umierah Ibrahim, 23, keadaan menjadi sedikit kelam kabut kerana angin yang kencang menyebabkan kawasan program mula basah dan berlecak.

“Angin yang sangat kencang menyebabkan khemah tidak stabil manakala kotak-kotak berisi makanan mula basah.

“Namun, ia tetap tidak menghalang kami untuk meneruskan program. Bagi kami, walau apa pun cabarannya matlamat untuk menceriakan kanak-kanak yang menjadi peserta tetap perlu dicapai,” katanya.

Ahli jawatankuasa program seterusnya mengambil langkah spontan dengan menyembur kanak-kanak yang hadir dengan pistol air sebelum mengeluarkan tepung berwarna-warna untuk dilempar kepada peserta.

Suasana meriah dan menyeronokkan menyebabkan Padang Kawad UPM dipenuhi peserta dan fasilitator yang saling melempar tepung dalam keadaan hujan masih belum berhenti.

Kata Has Umierah, dia berasa bersyukur kerana mempunyai ahli jawatankuasa yang sangat komited dan kreatif mencari jalan untuk memeriahkan acara.

“Biarpun ada halangan, saya tetap gembira apabila melihat kanak-kanak yang hadir tersenyum riang sepanjang program.

“Itu misi utama program dan ia berjaya dicapai,” katanya.

Program anjuran Kelab Debat Bahasa Melayu UPM dengan kerjasama MMICare Association itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.