Melalui ruangan tersebut, golongan belia khususnya para pelajar berpeluang untuk menulis tentang isu-isu semasa sekali gus berkongsi pendapat masing-masing bagi menggalakkan budaya membaca.

Menurut Ketua Pemasaran Produk Digital Utusan Malaysia, Mohamad Asra Adlan Mohamed Asri, ruangan Malaysia Kita juga menyediakan pelbagai platform kepada pihak universiti.

“Antaranya, segala aktiviti, acara dan pencapaian yang diterima oleh sesebuah universiti itu dapat dipaparkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan juga portal Utusan Online.

“Selain itu, Malaysia Kita dibangunkan dengan tujuan mahu generasi hari ini sentiasa menyalurkan maklumat berita yang benar, bersifat intelektual serta menggalakkan pemikiran yang kritis dan analitis,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Asra berkata demikian sewaktu ditemui Utusan Online dalam program siri Forum Nasional Membincangkan Isu Impak dan Tanggungjawab Institut Pendidikan Dalam Membina Budaya Dan Tamadun Bangsa anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) - Kumpulan Utusan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur.

Turut hadir Setiausaha Agung MPM, Prof. Datuk Dr. Hasan Mad, Pengerusi Biro Sosio Budaya MPM, Prof. Emiritus Datuk Dr. Zainal Kling, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Jamal Ahmed Ali Ahmad, dan mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniKL, Farah Izzati Ahmed Othman.

Program itu turut menyaksikan sebanyak 500 akaun percuma e-Paper turut diserahkan kepada pelajar dan pensyarah UniKL yang terpilih. - UTUSAN ONLINE