Bukan itu sahaja, pelajar KKA juga layak untuk diberikan peluang menyertai mana-mana minggu fesyen anjuran tempatan termasuk KL Fashion Week yang merupakan program berprestij dan menjadi tumpuan pereka tempatan dan luar negara pada setiap tahun.



Ulasan itu diberikan Azhar Zainal yang merupakan seorang pereka fesyen terkenal dan pemilik AZ Brothers Studio di Puchong, Selangor yang bertindak selaku juri dan juga penaja utama pertunjukan fesyen itu.

Beliau tidak menjangka sama sekali apabila rekaan pelajar KKA sudah berada di tahap profesional.

Seramai 55 pelajar semester empat Sijil Fesyen dan Pakaian KKA terlibat dalam program itu.

Pengarah KKA Norasmah Saad berkata, buat pertama kali tahun ini, pihaknya bekerjasama dengan pihak industri iaitu Azhar Zainal untuk menjadi penilai dan juri bagi program tersebut.

Beliau berkata, berbanding sebelum ini, penilaian kerja kursus pelajar hanya dilakukan pensyarah KKA.

Katanya, apa yang menarik apabila kerja kursus yang dihasilkan pelajar kali ini juga dipertan­dingkan.

“Ini sekali gus memberi caba­ran kepada setiap pelajar untuk berusaha menghasilkan rekaan lebih hebat kerana ganjaran yang menanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan semalam.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Pensyarah Fes­yen dan Pakaian KKA, Irmayariani Kamalsha berkata, tenaga pengajar cuba mendedahkan ilmu yang terbaik untuk pelajar sepanjang tempoh kursus di peringkat sijil yang memakan masa dua tahun setengah.

“Tempoh untuk pelajar menyiapkan setiap rekaan ini sebenarnya lebih kurang sebulan sahaja tapi nampaknya masing-masing menunjukkan kesungguhan bagi menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Seperti yang dijangka, rekaan unik ciptaan Nur Natasha Sofian, 19, yang bertemakan The Black Fattich muncul sebagai juara dan meraih hadiah wang tunai RM500.

“Baju ini dihasilkan daripada kepingan-kepingan kain yang sudah pasti sangat menuntut kesabaran sebelum dapat direalisasikan rekaan ini,” kata Nur Natasha yang berhasrat membuka butik pakaian suatu hari nanti.

Tempat kedua pula disandang Nurul Faz­liana Bakhori, 19, yang mencipta busana Mus­limah bertemakan White Freedom dan menerima hadiah wang tunai RM300.

Nurul Faz­liana berkata, rekaannya itu akan membolehkan wanita yang menutup aurat terutamanya pada bahagian lengan tetapi masih boleh kelihatan bergaya.

Tempat ketiga pula, Siti Aisyah Che Amat, 19, yang menggunakan teknik stencil pada jubah ciptaannya dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200.

Siti Aisyah menggunakan tek­nik itu bagi menampilkan kelainan dalam rekaannya sekali pun ia agak rumit tetapi hasilnya amat memuaskan hati sehingga menambat hati juri.

Rata-rata keseluruhan pelajar menggunakan segala ilmu yang dicurahkan oleh tenaga pe­ngajar termasuk menggunakan pelbagai teknik dan kreati­viti untuk rekaan masing-masing supaya KKA melahirkan lebih ramai lagi usahawan dalam bidang fesyen.