Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

Menteri Mentor JPB 2017, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merupakan projek khas daripada inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak yang bermatlamat menyediakan peluang kedua kepada golongan pelajar Melayu dan bumiputera yang miskin dan kurang berkemampuan terutamanya yang berada di pedalaman dan luar bandar.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjelaskan, tiga prinsip utama yang menjadi asas bagi program kali ini adalah mencari, mengenal dan membantu.

Tambahnya, JPB 2017 yang telah memasuki tahun kedua akan mencari pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan pedalaman dan masih menyimpan niat untuk menyam­bung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bagi edisi kali ini, lebih 50,000 surat tawaran daripada 36 buah agensi pendidikan yang melibatkan Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan kolej kemahiran akan diberikan kepada mereka yang layak.

“Tahun lalu, kita menerima permohonan daripada 80,631 orang dan seba­nyak 37, 324 surat tawaran telah dikeluarkan bagi kemasukan Julai dan Disember tahun lepas dan bagi tahun ini kita menjangkakan mendapat permohonan daripada lebih 100,000 prospek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan yang menjadi fokus pencarian adalah pelajar Melayu dan bumiputera yang telah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara tahun 2012 sehingga 2016.

“Justeru kita berharap pelajar yang berminat untuk datang terus ke lokasi ditetapkan de­ngan membawa sekali kad pengenalan, keputusan pe­periksaan dan pengesahan pendapatan ibu bapa.

“Bagi keluarga yang tidak mempunyai slip gaji, mereka ha­nya perlu membawa surat membabitkan pendapatan keluarga yang disahkan ketua kampung atau wakil rakyat di kawasan masing-masing kerana mungkin ada antara pelajar ini yang boleh menerima terus surat tawaran terutamanya daripada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” ujarnya.

Pelajar yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jelajah Pendidikan Bumiputera dengan melayari Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.