Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM), satu program baharu diperkenalkan untuk membantu para mahasiswa universiti berkenaan meneruskan pengajian tanpa dibelenggu dengan isu berkenaan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, baru-baru ini universiti itu telah melancarkan program Food Bank dan On-Campus Jobs pada Majlis Santai Bersama Naib Canselor di Dewan TM.

“Program ini hasil daripada pengurusan universiti yang peka dengan nasib pelajar khususnya dari golongan B40.

“UUM dengan usahasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), syarikat swasta dan pusat tanggungjawab (PTJ) mengadakan Food Bank iaitu Program Bantuan Makanan Pelajar bagi membantu mereka mereka," katanya.

Menurutnya, pelajar akan diberikan baucar makanan yang mana mereka boleh menggunakan baucar tersebut di kafe Inapan Siswa (Inasis) dan pusat pengajian bagi mendapatkan bantuan makanan tersebut.

“Program ini diharapkan dapat membantu pelajar daripada terpaksa mengikat perut ekoran keadaan kedudukan kewangan keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad Bashawir berkata, bagi program On-Campus Jobs pula, para pelajar akan dibenarkan untuk membuat kerja sambilan di universiti dengan kadar maksimum 15 jam seminggu untuk seorang pelajar.

“Program ini akan dimulakan pada April ini.

“Tawaran tersebut akan diperluaskan kepada syarikat dan perniagaan yang beroperasi di dalam kampus UUM,” katanya.

MEMBERI PELUANG

Dr. Ahmad Bashawir berkata, semua program yang disediakan UUM itu menunjukkan bahawa pihak universiti tidak pernah mengabaikan kebajikan pelajar, malah memberi peluang kepada mereka untuk mencari duit dengan bekerja secara sambilan dalam kampus.

Sementara itu seorang pelajar, Muhamad Firdaus Mohmmad dari Pusat Pengajian Antarabangsa menyambut baik inisiatif yang dilakukan pengurusan universiti dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

“Bantuan ini bukan sahaja dari aspek bantuan makanan malah membantu kami mendapatkan wang perbelanjaan dengan bekerja secara sambilan,” katanya.

Dia berharap program seperti itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua pelajar seharusnya berasa bersyukur kerana berada di UUM yang sentiasa prihatin dengan keperluan pelajar.