Mohamed Mustafa Ishak

Naib Canselor, Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sebagai permulaan, seramai lapan anak yatim diambil dengan semua kos sara hidup dan pengajian mereka hingga ke peringkat tinggi akan ditanggung UUM.

Beliau berkata, pengurusan anak yatim di Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM yang beroperasi di kuarters imam dan bilal Pusat Islam itu dipantau pusat berkenaan.

“Semua anak yatim yang di­pilih ini adalah lelaki berusia 13 tahun dan cemerlang dalam pelajaran. Mereka bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok.

“Penubuhan rumah ke­bajikan pertama UUM ini adalah bagi membantu golongan terbabit dengan menyediakan tempat tinggal, bantuan persekolahan dan keperluan harian mereka, selain membina sahsiah anak yatim serta berusaha melahirkan hafiz dalam kalangan anak yatim ini menerusi program pengajian yang diaturkan.

“Kita juga menubuhkan Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM dengan tujuan menggembleng kebolehan dan kemampuan warga kampus, alumni dan mereka yang bersimpati terhadap nasib anak yatim ini agar dapat menghulurkan sumbangan kewangan, tenaga dan idea bagi menguruskan golong­an berkenaan dengan lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata, selain me­nubuhkan rumah kebajikan itu UUM juga akan membangunkan Pusat Wakaf dan Endowment UUM dalam tempoh terdekat.

Katanya, dengan dana wakaf dalam bentuk harta atau tunai itu nanti akan digunakan bagi membantu pelajar yang memerlukan selain menampung projek pembangunan UUM.