Abdul Rahim Hashim

Hab berkenaan bakal menjadi pemangkin kepada penyelidikan bersama antara pihak universiti, hospital dan syarikat membabitkan kajian sains otak sekali gus diharapkan dapat menyelesaikan pelbagai cabaran sosial melibatkan bidang perubatan dan pendi­dikan.

Aplikasi teknologi sains otak itu dijangka menyumbang kepada penambahbaikan kualiti kehidupan dalam aspek penjagaan kesihatan, pengalaman pembelajaran serta gaya hidup sosial.

Naib Canselor UTP, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim berkata, UTP bukan sahaja komited untuk menjalankan penyelidikan dasar tetapi juga sains asas bagi meningkatkan kesihatan manusia.

“UTP mengalu-alukan kerjasama ini yang akan melengkapkan lagi keupayaan serta kekuatan penyelidikan kami dalam bidang sains otak gunaan.

“Penubuhan OT-Hub juga selari dengan usaha kita untuk membantu komuniti setempat sekali gus merealisasikan hasrat UTP sebagai universiti swasta terkemuka di Malaysia termasuk di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Naib Pre­siden Hitachi, Dr. Norihiro Suzuki berkata, pihaknya sememangnya berhasrat untuk menyumbang kepada perkembangan ekonomi serta kualiti kehi­dupan menerusi inovasi sains dan teknologi.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memahami manusia serta menjalankan teknologi pembangunan berkaitannya.

“OT-Hub akan memainkan peranan penting yang mana kepakaran dan pengetahuan dalam sains otak gunaan akan dikumpul serta dimanfaatkan dengan sepenuhnya,” katanya.